08 February, 2013

Pra-PRU13: Beli undi HARAM...

Sheikh Muhammad Abdullah al-Khatib, salah seorang ulamak al-Azhar yang terkemuka, mengeluarkan fatwa bahawa amalan membeli undi di dalam proses pilihanraya adalah haram di sisi syarak. Ia adalah sejenis rasuah, keji sehingga ke hari kiamat, jijik, menjatuhkan maruah, meruntuhkan akhlak, memusnahkan akal pengundi, bahkan menghina keinsanan manusia itu sendiri.



Fatwa tersebut disandarkan kepada peristiwa Rasulullah s.a.w. mengutus Abdullah bin Rawahah kepada kaum Yahudi untuk membuat taksiran berapakah jumlah cukai yang mereka perlu bayar daripada hasil kurma mereka. Kaum Yahudi menawarkan kepada Abdullah sedikit harta untuk dirinya. Maka Abdullah berkata kepada mereka: “Adapun apa yang kamu tawarkan itu adalah rasuah. Sesungguhnya ia adalah jijik dan kami tidak memakannya!” (Riwayat at-Tirmizi)

Selain peristiwa itu, beliau juga mengemukakan dalil daripada al-Quran, iaitu firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Al-Baqarah:188)

Beliau menerangkan bahawa pemilihan melalui pilihanraya secara langsung merupakan satu proses yang penting dalam membina masa depan umat dan keutuhannya. Justeru, ia perlu diletakkan pada tempatnya yang betul, mengatasi segala bentuk tawar menawar dan urus niaga jual beli. Dari segi hukum syarak, mengundi adalah satu bentuk kesaksian. Maka tidak harus seorang muslim mengambil upah kerana memberikan kesaksian ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “… dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan kesaksian itu kerana Allah semata-mata…” (At-Talaq:2)

Beliau menyeru umat Islam agar mengambil berat masalah memberi undi. Undi hendaklah diberikan kepada calon yang membawa agenda mengembalikan umat ini kepada kemuliaan, keagungan dan ketuanannya, meletakkan kembali umat ini kepada kedudukan yang tinggi di kalangan bangsa-bangsa di dunia. Calon yang mengambil berat tentang penyebaran kebaikan, menolak kerosakan dan kemudaratan, yang menjaga amanah dan memikul tanggungjawab dengan serius.

Beliau juga menegaskan bahawa seseorang muslim wajib memiliki kesedaran yang murni dan kefahaman yang betul tentang agamanya. Dia tidak taasub kecuali kepada kebenaran, tidak berdiri kecuali di dalam barisan orang-orang yang berakal lagi matang serta menjauhi orang yang mengkhianati umatnya, meruntuhkan kepentingan tanah airnya sebagaimana firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat (benar dalam segala perkara). Supaya Dia memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” (Al-Ahzab:70-71).

Sumber: Di sini.




Malangnya bangsaku suka yang haram...

No comments:

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...