28 December, 2009

Jimat...


Antonim bagi perkataan “Motainai” ialah jimat atau berjimat. Jimat bermaksud cermat (tentang perbelanjaan wang atau penggunaan sesuatu), hemat, tidak boros. Sinonim bagi kata berjimat ialah berhemat, berdikit-dikit, berekonomi, berhati-hati, beringat-ingat dan berambi. Orang yang terlalu berjimat pula dipanggil Si Kedekut, iaitu sangat berkira-kira hendak membelanjakan wang, bakhil, kikir, lokek dan pelit.  Dalam simpulan bahasa, orang yang seperti ini dipanggil tangkai jering.


Haji Bakhil dalam filem Labu Labi

Dalam konteks ekonomi secara umum, pengguna yang terlalu berjimat akan memberi implikasi negatif kepada ekonomi. Sikap yang sedemikian akan melembapkan aktiviti perniagaan akibat penurunan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan. Syarikat dan kilang akan terpaksa ditutup dan orang ramai akan kehilangan pekerjaan. Ringkasnya, sikap yang terlalu berjimat akan membawa mudarat kepada ekonomi dan masyarakat. Justeru, jika ingin berjimat hendaklah berjimat secara yang berpada-pada.



Jangan terperangkap dengan fahaman salah...

Meskipun anda digalakkan berjimat secara tidak melampau-lampau, elakkan daripada terperangkap dengan istilah berjimat dalam perkara-perkara yang berikut:

1. Pendidikan – Hantar anak-anak ke pusat tuisyen atau universiti yang terbaik mengikut kemampuan dan kelayakan mereka. Jangan sama sekali berjimat untuk membeli buku-buku rujukan (elakkan membeli buku latihan terpakai). 
2. Perubatan – Jika ahli keluarga anda ditimpa musibah penyakit, jangan berkira-kira untuk mendapatkan pengubatan secara alternatif (selain daripada perubatan moden) terlebih dahulu atas alasan untuk menjimatkan belanja. Jika perlu, berhutanglah demi menyelamat nyawa keluarga.
3. Makanan – Utamakan makanan yang berkhasiat dan segar.  Jangan terlalu memikirkan soal harga dalam memilih makanan.
4. Perbelanjaan untuk ibu bapa – Berikan keperluan yang terbaik untuk ibu bapa. Anak-anak yang “tidak mengenang budi” sahaja yang berjimat untuk memberi wang atau memberi hadiah kepada ibu bapa mereka.

Jangan berkecil hati jika saya katakan anda adalah golongan yang kedekut dan bakhil (terlalu berjimat konon!) kerana Allah s.w.t. Sendiri yang mengatakan sedemikian.



Surah Al-Ma'arij ayat 19-25 yang membawa maksud:
Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.
Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). 


Nak berjimat, berjimatlah. Tetapi jangan sampai kedekut pula...




Nota Bahasa:
Antonim = kata yang berlawanan maknanya dengan kata lain
Sinonim = kata yang sama atau hampir sama maknanya dengan kata lain
Berambi = berhati-hati, beringat-ingat, cermat, teliti.
Kikir = terlalu berkira-kira atau berhati-hati membelanjakan wang, kedekut, lokek.
Pelit = kedekut, kikir, lokek.
Berpada-pada = elok-elok cukup, tidak berlebih-lebihan

Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...