13 January, 2010

Fahami Hutang!


Usaha menguruskan hutang sama sukarnya dengan usaha "menguruskan" badan.  Biasanya, kedua-dua ikhtiar tersebut tidak bertahan lama. Kebanyakan berlangsung hanya separuh jalan, "seperti hangat-hangat tahi ayam".

 

Kesukaran orang ramai menguruskan hutang berpunca daripada ketidakfahaman mereka tentang definisi sebenar hutang. Bagi mereka hutang hanya terhad kepada pinjaman yang dibuat daripada seseorang atau daripada institusi berlesen, seperti bank dan syarikat kewangan. Pada hakikatnya definisi hutang adalah lebih luas daripada itu, sehingga bil-bil utiliti, seperti bil air, bil api dan bil telefon sepatutnya perlu dianggap  sebagai hutang kerana perkhidmatan tersebut telah digunakan terlebih dahulu dan pembayaran hanya dibuat kemudian. Menjadi penjamin juga perlu dianggap sebagai berhutang kerana seandainya peminjam tidak menunaikan tanggungjawabnya membayar hutang berkenaan, maka penjamin perlu membayar hutang itu bagi pihak peminjam yang ingkar. Sekiranya gagal berbuat demikian, penjamin boleh diambil tindakan sehingga boleh diisytihar muflis. Ingatlah, hutang merupakan satu kebocoran dalam pendapatan. Oleh itu, awas, kebocoran yang kecil, jika dibiarkan, boleh menenggelamkan sebuah kapal yang besar!




Masih ramai dalam kalangan orang Melayu (dibaca: Islam) yang tidak sedar bahawa istilah-istilah seperti kredit, pinjaman, pembiayaan, ansuran, gadaian, jual beli, overdraf dan kutu-kutu (bahagian pemain telah diterima) merupakan istilah-istilah yang indah bagi hutang.  Namun, hutang tetap hutang. Ia wajib dibayar. Ramai pula yang mendakwa bahawa mereka telah mengkhatamkan al-Qur'an sebanyak beberapa kali. Namun, hanya sedikit daripada mereka yang sedar bahawa terdapat satu ayat di dalam al-Qur'an (salah satu ayat yang terpanjang) membicarakan soal hutang secara yang amat mendalam.


Ayat 282, Surah al-Baqarah


Kesan tidak melangsaikan hutang bukan sahaja akan ditanggung di akhirat, tetapi juga deritanya dapat dirasai di dunia lagi. Sabda Rasulullah s.a.w yang mafhumnya: "Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan pada malam hari dan menyebabkan kehinaan pada siang hari.”


Rumah dibakar kerana tidak dapat membayar hutang Ah Long

Pesan Babah.
Kita boleh berhutang tetapi dengan syarat, berusahalah untuk membayar balik hutang  tersebut. Perkara-perkara yang dibolehkan berhutang, antaranya adalah untuk membiayai pembelian rumah, kenderaan, perubatan, pendidikan dan makanan (jika langsung tidak mempunyai sumber wang).  Apabila sudah berhutang, maka uruslah hutang tersebut secara yang berhemat. Banyak kaedah pengurusan hutang yang boleh dipelajari dan digunakan. Salah satu daripadanya ialah kaedah "Debt Snowball" yang diperkenalkan oleh Dave Ramsey. Untuk pembacaan lanjut klik di sini. Babah telah menggunakan kaedah ini dan mendapati ia sungguh berkesan. Babah juga mengamalkan doa yang berikut dan tidak pernah  alpa daripada membacanya selepas solat (sejak beberapa tahun dahulu).



Katakanlah (wahaiMuhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang  menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup daripada benda yang mati dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati daripada sesuatu yang hidup. Engkau jualah memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,dengan tiada hitungan hisabnya.


Babah masih berhutang kepadaku sehelai baju...



Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...