21 January, 2010

BUAYA...


Buaya Darat 
Buaya darat merupakan satu spesies "haiwan" berkaki dua. Buaya jenis ini juga dikenali sebagai "haiwan" mata keranjang, kaki betina/perempuan, donjuan, romeo, kasanova dan kadangkala disebut hidung belang. Reptilia berupa manusia ini suka menukar-nukar pasangannya dan meninggalkan mereka setelah dinodai. Tabiat buaya darat yang gemar "memakan" mangsa secara berhelah telah dibuktikan benar oleh satu saluran TV terkemuka "National Geography" yang merakamkan secara "live" gelagat sang buaya ketika berada di darat.   



Buaya di Darat
Apabila sang buaya berada di darat, haiwan itu tidak dapat bergerak aktif kerana ruas kakinya yang pendek. Ini menimbulkan kesukaran kepada sang buaya untuk mengejar mangsanya. Tiada jalan lain bagi sang buaya untuk memerangkap mangsa mereka di daratan, selain daripada mengangakan mulut seluas-seluasnya dan menanti mangsa masuk ke mulutnya sebelum di"ngap". Semua ini dipelajari oleh sang buaya daripada buaya darat.

Buaya di Air
Di Malaysia terdapat pelbagai jenis buaya di air, seperti buaya katak, buaya tembaga, buaya jenjulung, buaya jolong-jolong, buaya serunai atau aligator.  Hampir kesemua buaya ini tinggal di air tawar. Buaya yang paling dikenali dan amat berbahaya ialah Bujang Senang (bukan Bujang Susah) yang menghuni Sungai Rejang di Sarawak. Tetapi kini, buaya di laut semakin menunjukkan taringnya...


Buaya dilihat di Tanjung Tuan, Port Dickson

Gambar di atas dirakamkan di Tanjung Tuan, Port Dickson oleh Encik Khoo Swee Seng. Beliau merupakan salah seorang ahli Pencinta Alam Malaysia (MNS).  Menurut beliau, buaya yang dipercayai buaya air masin atau nama saintifiknya, estuarine crocodylus prosus, muncul kira-kira 20 meter dari pantai selama kira-kira 30 minit dan kelihatan bergerak melawan arus ke arah selatan.



Kaki dibaham buaya di Corus Paradise Resort, Port Dickson

Seperti buaya darat dan buaya di darat, buaya di laut juga boleh mengganas. Gambar di atas dirakamkan oleh salah seorang keluarga mangsa yang dibaham buaya pada kakinya baru-baru ini ketika sedang bermandi manda di tepi pantai Corus Paradise Resort.

Pesan Babah:
Dunia semakin sempit. Bahaya berada di mana-mana. Kalau dahulu, buaya hanya ditakuti di sungai-sungai yang besar, tetapi kini buaya sudah mula bermaharajalela di laut pula. Namun, ada yang lebih bahaya daripada itu, khususnya kepada anak-anak perempuan atau adik beradik perempuan kita, iaitu bahaya daripada dibaham sang buaya darat yang tubuh badan mereka menyerupai manusia. Berwaspadalah...






Peribahasa Melayu berkaitan dengan buaya
1. Adakah buaya menolak bangkai - orang yang jahat tidak akan meninggalkan kesempatan untuk membuat kejahatan;
2. Air tenang, jangan disangka tiada buaya - orang yang tidak banyak cakap itu, jangan dipermudah (jangan disangka tiada beranil);
3. Bergalah ke hilir tertawa buaya, bersuluh di bulan terang tertawa harimau - perbuatan yang sia-sia itu ditertawakan orang;
4. Kalau menyeberang sungai biarlah ditelan oleh buaya, tetapi janganlah dipagut oleh ikan kecil-kecil - kalau berbuat salah biarlah dihukum oleh orang besar, jangan dianiaya oleh orang kecil-kecil;
5. Tak akan terlawan buaya menyelam air - tidak mungkin kita melawan orang yang kaya (berkuasa, pandai, dll); dan
6. Tak usah diajar anak buaya berenang, ia sudah pandai juga (sedia) - tidak usah diajar orang yg sudah tahu.



Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...