27 December, 2012

Bukan Lagi Bahasa Malaysia, Tetapi Bahasa Melayu

Pemakaian terma bahasa Malaysia tidak akan kekal lama. Itulah telahan saya pada tahun 2007 apabila Kerajaan mengambil langkah tidak popular dengan menggantikan nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Semua ini saya zahirkan dalam e-Tip Bahasa Melayu untuk edaran di pejabat.

Ada rakan sekerja yang meminta pandangan peribadi saya tentang perkara ini. Jawapan saya, "kita mesti akur dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh pihak atasan" walaupun kadangkala lahir rasa sedikit pertentangan dengan prinsip yang kita pegang. Pada pendapat peribadi saya, sebab-sebab yang dinyatakan sebagai justifikasi penukaran itu agak longgar dan tidak kukuh (no substance). Apabila alasan yang diberikan kurang mantap, maka sesuatu dasar itu tidak akan bertahan lama dan pasti akan berubah semula apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan. Pada amnya, bahasa selalu dirujuk dengan bangsa, kaum atau suku, bukannya negara. "Bahasa menunjukkan bangsa, hilang bahasa hilanglah bangsa" merupakan salah satu peribahasa bahasa Melayu yang dihafal oleh segenap golongan masyarakat di Malaysia. Apa yang tidak berapa kena adalah dengan penukaran terminologi itu, peribahasa yang dinyatakan akan menjadi "Bahasa menunjukkan negara" bukan lagi bangsa. Contoh yang paling ketara ialah bahasa Inggeris. Bahasa ini digunakan oleh orang Inggeris dan diterima pakai hampir di seluruh dunia. Malah, banyak negara menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara mereka tanpa menukar nama bahasa itu mengikut negara pengguna seperti Australia, Canada, Amerika Syarikat dan lain-lain. Dalam pengetahuan saya, hanya satu negara yang menukar nama bahasanya mengikut nama negara iaitu negara jiran kita Indonesia, yang menukar nama Bahasa Melayu ke Bahasa Indonesia. Di sini, yang menjadi mangsa masih Bahasa Melayu. Seandainya kita mencontohi negara Indonesia, maka pada pendapat saya, kita akan gagal kerana negara itu telah gagal mempertahankan martabat bahasa mereka seperti yang kita saksikan sekarang ini. Saya sering bertemu para pakar bahasa Indonesia dan mereka begitu kagum dengan usaha kita memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Universiti di seluruh dunia yang menawarkan bidang linguistik juga hanya mengenali Bahasa Melayu, bukannya Bahasa Malaysia. Jika terminologi Bahasa Malaysia ini terus diterima pakai, sudah tentu bahasa kita akan dianggap salah satu bahasa termuda di dunia kerana Malaysia hanya ditubuhkan pada tahun 1963.

Pada petang ini, satu ketetapan untuk melucutkan istilah bahasa Malaysia dan menggantikannya semual dengan istilah bahasa Melayu akan dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri. Ketetapan ini telah dibuat dalam Muzakarah Munsyi Dewan di Institut Aminudin Baki yang berlangsung pada 28 November hingga 1 Disember 2012.  Sila rujuk di sini.  Insya-Allah, penukaran ini akan mendapat restu Timbalan Perdana Menteri, selepas berlangsungnya penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.







Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...