19 November, 2009

Selembar Benang 11


Selama tiga minggu berturut-turut saya memaparkan isu tentang nombor atau angka atau aksara (sila rujuk Selembar Benang 8, Selembar Benang 9 dan Selembar Benang 10).  Meskipun banyak lagi perkara penting soal nombor yang boleh dibincangkan dengan lebih lanjut (khususnya dari aspek bahasa, bangsa dan agama), namun biarlah kita tinggalkan isu ini buat sementara waktu dengan satu rumusan, iaitu nombor sangat berkait rapat dengan kehidupan kita. 



Nombor itu hidup, walaupun tidak bernyawa.  Saban hari, sama ada  kita sedar atau tidak, nombor mengekori kita, seperti bayang-bayang.  Umur yang disebut dengan nombor setiap saat bertambah.  Kita mengerling nombor di jam, pada dinding, setiap pagi supaya tidak terlepas solat subuh.  Kita pastikan kita bersolat lebih daripada satu orang kerana ia lebih afdal dan mendapat pahala tujuh kali lebih banyak.  Kita memandang nombor pada meter kereta supaya jangan terlanjur memandu melebihi had yang dibenarkan kerana khuatir disaman polis.

Ketika berurusan di Bank, kita mengambil nombor giliran dan patuh pada nombor itu.  Jika tidak ada nombor, nescaya manusia menjadi kurang ajar dengan melangkah barisan, macam dulu-dulu  Nombor berjaya mendisiplinkan manusia rupanya. Selepas itu, kita mengisi borang dengan terhegeh-hegeh kerana belum lagi menghafal nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank, kendatipun kad pengenalan dan akaun bank itu milik kita.

Ketika keluar dari Bank, kita nampak di seberang jalan sana masih ramai manusia degil membeli nombor di kedai Empat Nombor Ekor.  Mereka ini digelar kaki nombor, walaupun nombor tidak pernah mempunyai tangan dan kaki mencari manusia.  Manusia yang berlari mencari nombor, adakalanya sehingga ke makam keramat.   Ada ketikanya, kaki nombor  digelar kaki ekor.  Mudah-mudahan suatu masa nanti mereka berekor.

Tiba-tiba,  telefon berdering... Isteri kita menelefon memberitahu yang anak kita mendapat 10A dalam peperiksaan SPM.  Kita mendengar sayup-sayup suara si anak bersorak, di belakang suara ibunya, hore!. Kita girang kerana anak yang disayangi berjaya mendapat satu gandingan nombor dan huruf yang baik, iaitu 10 dan A, tidak 10 dan B atau 10 dan C.  Kita pernah bimbang kerana ada pelajar yang sanggup membunuh diri semata-mata kerana kecewa dengan nombor "buruk" yang mereka terima. Nauzubillah.


Demikian hebatnya nombor itu jika tidak dipantau dengan baik kita mungkin sengsara akibatnya.  Sengsara di dunia sini dan di dunia sana.  Di dunia sana, nombor tidak lagi signifikan kerana hampir kesemuanya bersifat infiniti.  Justeru, nombor perlu diberi perhatian yang wajar di dunia ini.  Nombor perlu dipelajari (matematik), difahami dan dihayati.  Nombor tidak layak dipelajari menggunakan bahasa lidah bangsa lain.  Nombor perlu dikuasai bukan dihafal kerana kesinambungan hidup kita di dunia ini amat berkait rapat dengan nombor.  Wallahualam.



Sambungan Selembar Benang

1. Pukul vs jam
Gantikan jam dengan pukul bagi menunjukkan waktu. Penggunaan jam lebih cenderung kepada bahasa Indonesia.
Contoh:

Salah: Saya ke pejabat jam 8.00 pagi.
Betul: Saya ke pejabat pukul 8.00 pagi.

2. Untuk dan bagi
i). Buang untuk yang datang daripada nahu Inggeris ataupun nahu Arab.
Contoh:
Salah: Dengan tujuan untuk menambah pendapatan
Betul:  Dengan tujuan menambah pendapatan

ii. Gantikan untuk dengan bagi apabila diikuti oleh subjek yang dirujuk.
Contoh:
Salah: Untuk mereka yang belum mendaftar, sila isi borang ini.
Betul:  Bagi mereka yang belum mendaftar, sila isi borang ini.
Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...