15 October, 2009

Selembar Benang 6


Tahukah anda apakah makna sebenar perkataan lestari? Kalau tidak tahu, saya berikan satu klu atau pembayang. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggunakan perkataan ini sebagai slogan, iaitu “Jadilah Pengguna Lestari”.  Bunyi sebutannya semacam bestari yang membawa maksud cerdas, pandai, berpendidikan, berpengetahuan dan berbudi pekerti yang baik. Begitulah tanggapan kebanyakan orang. Tetapi cuba kita lihat Kamus Dewan Edisi Ke-4 untuk mencari makna sebenar perkataan lestari. Dalam Kamus Dewan, lestari bermaksud tidak berubah-ubah, kekal atau tetap, Melestarikan bermaksud menetapkan atau mengekalkan. Contoh: mengekalkan hutan. Kelestarian pula bermaksud keadaan (hutan, persekitaran) yang tidak berubah atau terpelihara seperti asal. Mari kembali kepada slogan “Jadilah Pengguna Lestari” dan gantikan perkataan lestari kepada makna sebenarnya "Jadilah Pengguna yang Tidak Berubah-ubah”. Harap-harap KPDNKK tidak bermaksud begitu...



Sambungan Selembar Benang.

Bila vs apabila
Bila ialah kata tanya, manakala apabila pula ialah kata hubung. Dengan perbezaan ini, kedua-dua kata tersebut tidak boleh disamakan.

Contoh:
Salah: Saya akan membantu awak bila tugas saya selesai.
Betul: Saya akan membantu awak apabila tugas saya selesai


Salah: Midah termenung bila menerima berita itu.
Betul: Midah termenung apabila menerima berita itu.

Antara vs di antara
Antara merupakan kata sendi nama, manakala di antara pula berfungsi sebagai penanda arah, iaitu digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau arah. Ini bermakna kedua-dua kata ini tidak boleh digunakan untuk maksud yang sama.

Contoh:
Salah:Ipoh terletak antara Kuala Kangsar dengan Gopeng.
Betul: Ipoh terletak di antara Kuala Kangsar dengan Gopeng.


Salah: Hubungan diplomatik di antara China dengan Taiwan tidak pernah wujud.
Betul: Hubungan diplomatik antara China dengan Taiwan tidak pernah wujud.

Jumpa lagi minggu hadapan.  Jom makan Kingkong Belacan.




Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...