11 October, 2009

Selembar Benang 4


Banyak dalam kalangan kita yang tidak sedar atau tidak tahu bahawa kefahaman kita tentang sesuatu istilah itu berbeza dengan maksud sebenar istilah berkenaan, seumpama maksud batok yang bukan batuk dalam peribahasa “seperti melepaskan batok di tangga”, sebagaimana yang saya huraikan dalam beberapa siri yang lalu. 


Contohnya bahana. Banyak yang beranggapan bahawa bahana itu bermaksud “bala” atau "bencana”, sedangkan maksud sebenarnya ialah “bunyi kuat”, iaitu dalam bahasa Inggeris disebut volume. Dalam Kamus Dewan Edisi terbaharu ada menyenaraikan banyak maksud lain bagi bahana (seperti dengung, bising, berbeza, luar biasa, sebab, kerana dan lain-lain), tetapi tidak ada satu pun yang bermaksud “bala" atau “bencana”, seperti yang selalu digunakan oleh kebanyakan penutur. 

Satu contoh lain ialah perkataan “cumbu”. Banyak orang yang tersalah faham maksud sebenar perkataan ini. Pada hakikatnya, "cumbu” bukan bermaksud “cium”, seperti kata orang “Dia bercumbu di khalayak ramai”. Maksud sebenar “cumbu” ialah: 

· “pujukan”, iaitu kata-kata manis yang dituturkan sewaktu memujuk, berkasih-kasihan dan lain-lain); dan
· “lawak”. 


Dalam siri-siri yang akan datang kita sambung dengan contoh-contoh yang lain pula. 

Pedalaman vs pendalaman
Kata pedalaman bererti kawasan yang jauh. Kata pendalaman bererti usaha mendalamkan sesesuatu (menggali).

Contoh:
Salah: Kawasan pendalaman itu akan dimajukan
Betul: Kawasan pedalaman itu akan dimajukan


Temu janji vs janji temu
Kedua-dua frasa ini diterjemahkan daripada perkataan Inggeris “appointment”. Jadi, mana satu yang betul? Dalam konteks ini, hukum DM tidak boleh digunakan kerana perkataan Inggerisnya hanya satu perkataan. Nasihat guru saya, untuk meleraikan kekusutan ini, kita boleh menggunakan kaedah logik. Secara logiknya, kita membuat janji dahulu, kemudian baru bertemu. Oleh itu, kata janji temu adalah pilihan yang lebih tepat. Jangan terkeliru dengan perkataan temu duga (ditulis dua perkataan) atau temu bual (ditulis dua perkataan) yang diterjemahkan daripada perkataan Inggeris “interview”. Pun begitu, secara logiknya, kita bertemu dahulu, baru menduga atau berbual.

Wallahualam, jumpa lagi...


Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...