15 January, 2013

Tarikh lahir Nabi s.a.w. salah...

Saban tahun kita menyambut hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. pada 12 Rabiul Awal kerana tarikh itu telah idiwartakan sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. (Maulidur Rasul) yang menjadi cuti umum di Malaysia.



Sebelum ini tidak ada pihak yang mempersoalkan tarikh tersebut. Jika ada pun, tidak ada yang ambil peduli kerana kata mereka perkara itu adalah soal remeh. Pada hakikatnya, hal ini bukan perkara kecil. Cuba bayangkan jika keluarga anda mengucapkan selamat hari lahir kepada anda pada tarikh yang lain. Kalaupun anda tidak marah, sekurang-kurang anda berasa hairan mengapa mereka berbuat demikian. Selain dari tarikh lahir, 12 Rabiul Awal juga telah diterima umum sebagai tarikh wafat Nabi s.a.w.

Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w dilahirkan pada 12 Rabiul Awal itu, walaupun masyhur, tetapi hanya berasaskan riwayat yang lemah berpunca daripada Ibnu Ishaq, seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya.

Adakah perarakan maulidur Rasul seperti ini suatu bida'ah?

Menurut ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya. Imam Nasa'i mengatakan bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan hadis itu tidak boleh menjadi hujah. Imam Abu Daud juga berkata, "Ibnu Ishaq adalah seorang yang berfahaman Qadariah dan Mu'tazilah"

Imam Sulaiman At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Sa’id Al-Qatthan dan Imam Malik mengatakan Ibnu Ishaq seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata, "Dia seorang dajal". (Mizanul I’tidal, Imam Zahabi, jld. 3, hal. 468-475). Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat ambilannya.

Melanggar "sunnah"

Pendapat yang paling sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w. ialah pada hari Isnin, 9 Rabiul Awal, Tahun Gajah. Antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin 'Aini. (Al Bidayah wa An Nihayah, jld. 2, hal. 260-261).

Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal, iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w. hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12 Rabiul Awal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan (Rabiul Awal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya.

Teruskan pembacaan di sini.

Berhubung dengan tarikh wafat Nabi Muhammad SAW pula, beberapa perkara yang telah diterima oleh ulama hadis dan sirah perlu diletakkan di hadapan untuk menentukan tarikhnya, iaitu:

• Tahun kewafatan Baginda s.a.w ialah 11H.
• Dalam bulan Rabiul Awal antara 1 hingga 12.
• Hari Isnin. (Sahih Muslim, jld. 8, hal. 51-52).
• Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada' pada 9 Zulhijah tahun ke 10H jatuh pada hari Jumaat (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll). Daripada hari itu (wuquf) sampai ke hari wafatnya Nabi Muhammad s.a.w adalah 81 hari (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, At Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j. 11 hal. 139, Tafsir Baghawi, Fathul Bari).

Berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah diterima oleh para ulama tadi, maka boleh diandaikan tarikh kewafatan Baginda s.a.w seperti yang berikut:
• Diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijah, Muharram dan Safar mempunyai 30 hari (walaupun tidak pernah berlaku begitu tetapi diandaikan mungkin juga berlaku) maka hari Isnin menepati 6 atau 13hb. Rabiul Awal.
• Jika diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijah, Muharram dan Safar mempunyai 29 hari (walaupun ini juga tidak pernah berlaku) maka hari Isnin menepati 2, 9 atau 16hb. Rabiul Awal. Daripada kenyataan-kenyataan yang disebut di atas, tarikh yang lebih tepat bagi kewafatan Nabi SAW ialah pada hari Isnin 1hb. Rabiul Awal tahun 11H bersamaan dengan 25hb. Mei 632M.

Wallahu 'alam.

(Dipetik daripada Siri Risalah Suluhan terbitan Darul Quran Was Sunnah dengan sedikit pindaan).




Mari sayang Nabi s.a.w. dengan membetulkan semua fakta mengenai baginda!

2 comments:

MOHAMAD MAJDAN said...

1/3/11 AH (Isnin) = 27/Mei/632 AD

Tahun kewafatan Baginda s.a.w ialah 11H.i

Dalam bulan Rabiul Awal antara 1 hingga 12.

tarikh wafat Rasulullah SAW sy kira sendiri ni hehe korg boleh check sendiri ok http://www.religious-affairs.gov.bn/?tpl=th003_calendar

Dan Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada' pada 9 Zulhijah tahun ke 10H jatuh pada hari Jumaat

9/12/10 AH (Jumaat) = 8/Mac/632 AD


hadis sahih

• Tahun kewafatan Baginda s.a.w ialah 11H.i

• Dalam bulan Rabiul Awal antara 1 hingga 12.

• Hari Isnin. (Sahih Muslim, jld. 8, hal. 51-52).

• Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada' pada 9 Zulhijah tahun ke 10H jatuh pada hari Jumaat

(Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll).

Daripada hari itu (wuquf) sampai ke hari wafatnya Nabi Muhammad s.a.w adalah 81 hari

(Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, At Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j. 11 hal. 139, Tafsir Baghawi, Fathul Bari).

www.facebook.com/iloveislam12

Anonymous said...

lahir 2hb wafat 1hb.. cukup2 63 tahun..

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...