04 November, 2009

Selembar Benang 9


Dalam siri Selembar Benang 8 pada minggu lepas, saya telah membawa anda ke zaman silam tentang bentuk aksara (angka/nombor) bahasa Melayu purba.  Isu yang berkaitan terdapat di sini.  Pada minggu ini, saya sambung sedikit lagi berkenaan dengan perkara yang sama.  Sebelum itu, saya ingin membetulkan tanggapan kebanyakan orang yang mengatakan aksara yang kita guna sekarang ini (0, 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8 dan 9) dan digunakan oleh kebanyakan penduduk dunia ialah aksara barat (Roman), sedangkan pada hakikatnya aksara-aksara itu ialah aksara Arab.   Aksara Roman (Rumawi) adalah berbentuk I, II, II, IV dan seterusnya (tidak bermula daripada 0).  



Seperkara yang perlu ditegaskan di sini ialah meskipun kita menggunakan aksara Arab,  tetapi kaedah penggunaannya sudah tidak lagi digunakan di Malaysia.  Contohnya, angka yang ditulis 697 adalah mewakili aksara yang diberi nama "enam ratus sembilan puluh tujuh" atau dalam bahasa Inggerisnya "six hundred and ninety seven”.  Sistem aksara Melayu dahulu yang diambil daripada sistem Sanskerta (kebetulan sama pula dengan sistem Arab), angka 697 ialah "tujuh sembilan puluh dan enam ratus".  Oleh sebab angka 697 itu ialah aksara Islam-Arab, maka tidak hairanlah namanya dibaca dari kanan ke kiri. Tulisan aksara ini dikekalkan di seluruh dunia hingga sekarang, walaupun bacaannya telah berubah kepada dari kiri ke kanan.


Tiga rajah di bawah ini menunjukkan evolusi bentuk aksara bahasa Melayu seawal 5 Masihi.  Kotak kosong pada Rajah A1 menunjukkan bentuk yang lama tidak mengalami perubahan.





Rujukan: Shaharir bin Mohd Zain, UKM, Bulletin of the Malaysian Mathematical Sciences Society.


Sambungan Selembar Benang


Teladan vs tauladan

Penggunaan kata teladan adalah betul. Ini kerana kata tauladan tidak terdapat dalam tatabahasa bahasa Melayu

Pusat beli-belah vs pusat membeli-belah 

Penggunaan kata yang betul ialah pusat beli-belah. Ini kerana pusat membeli-belah membawa maksud kompleks tersebut berjalan untuk melaksanakan urusan jual beli.


Kata alu-aluan vs kata-kata aluan
Penggunaan kata yang betul ialah kata alu-aluan. Ini kerana perkataan aluan tidak terdapat dalam Kamus Dewan Edisi-4.

5 comments:

abu muaz said...

Salam. Banyak penggunaan perkataan yang salah berlaku dalam kehidupan harian kita.Apa pun terima kasih di atas usaha baik ini.

... said...

Terima kasih Abu Muaz. Jika orang ramai dapat perbetulkan kesalahan sedikit demi sedikit lama kelamaan bahasa Melayu kita akan jadi bertambah baik. Insya-Allah.

Putra Al-Maliki said...

rupe2nye banyak lagi la tatabahasa bahase melayu yang kite semua salah ye tanpe kite sedari.. =)

tinta kasturi said...

salam my babah,

nampak ada perkembangan sambutan disini
alhamdulillah tumpang gembira
demi penggunaan bahasa yang betul,
lagi ramai respon lagi bagus
betul-betul bermanfaat

harapnya terus melekat kat memori

... said...

Salam untuk semua para pengulas di atas. Terima kasih atas sokongan anda.

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...