13 October, 2009

e-Tip Bahasa Melayu 3


Sebagai pembuka tirai ilmu bahasa kita kali ini (Siri Pertama merupakan mukadimah dan Siri Kedua pula memaparkan sanggahan saya tentang dakwaan bahawa tatabahasa kurang penting berbanding mesej yang ingin disampaikan), saya ingin mengetengahkan penggunaan kata ialah dan adalah yang sering disalah guna oleh kebanyakan orang. Dalam tatabahasa bahasa Melayu, kedua-dua kata ini ini dikategorikan sebagai kata pemeri.

Bagi sesiapa yang tidak mengendahkan tentang penggunaan tatabahasa yang betul, mereka menganggap bahawa kata ialah sama sahaja dengan kata adalah.   Mereka menggunakan kata-kata itu secara saling bertukar ganti, seperti kata-kata lain yang mempunyai makna yang sama.

Pada hakikatnya, kata ialah menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala kata adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan kata adjektif (sifat) dan frasa sendi nama.

Contoh:
Salah: Petroleum adalah salah satu komoditi penting negara.
Betul: Petroleum ialah salah satu komoditi penting negara.

Salah: Bank Negara Malaysia adalah sebuah agensi kerajaan.
Betul: Bank Negara ialah sebuah agensi kerajaan.

Salah: Ruangan ini ialah untuk memantapkan penggunaan Bahasa Melayu.
Betul: Ruangan ini adalah untuk memantapkan penggunaan Bahasa Melayu.

Selepas ini saya akan kemukakan banyak lagi teknik penggunaan kata pemeri ini.

Semoga berjumpa lagi...

Nota:
1/ Banyak dalam kalangan kita masih menggunakan kata mengenengahkan (salah), sedangkan kata yang betul ialah mengetengahkan.
2/ Kata kebanyakan menjadi dasar mengapa kita menggunakan kata banyak sebagai penjodoh bilangan bagi orang iaitu banyak orang bukannya ramai orang.


No comments:

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...