13 October, 2009

e-Tip Bahasa Melayu 1


Mukadimah
Tiada siapa dapat menafikan betapa pentingnya penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kakitangan Kerajaan atau swasta. Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara, seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, 1957. Sebagai warganegara yang patuh pada perlembagaan, kita semua perlu akur akan kepentingan Bahasa Melayu yang diiktiraf sebagai bahasa utama pada peringkat kebangsaan yang juga tercatat dalam Akta Bahasa Kebangsaan, 1967. Akta ini meletakkan Bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada dasar sosioekonomi yang penting bagi penstrukturan semula masyarakat sehingga penggunaannya diwajibkan pada peringkat sekolah bantuan penuh kerajaan, beberapa institusi pengajian tinggi awam dan jabatan-jabatan kerajaan. Baru-baru ini, pencemaran dalam penggunaan bahasa Melayu telah menjadi isu hangat pada peringkat nasional sehingga banyak pihak mendesak kerajaan supaya meminda Akta DBP 1959 (Pindaan 1995) dengan memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang sengaja mencemarkan penggunaan bahasa Melayu. Hasilnya, kabinet telah meluluskan Pindaan Akta tersebut pada 4 Oktober 2006 dan seterusnya akan dibahaskan di Parlimen, sebelum dikuatkuasakan pada tahun 2007. Pindaan ini mampu memperkasakan fungsi DBP sebagai badan yang boleh mendakwa pihak yang menggunakan bahasa kebangsaan secara yang tidak betul dari aspek tatabahasa.





Menyedari hakikat ini, saya terpanggil untuk turut sama memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu menerusi alam siber dengan menyumbangkan ilmu bahasa Melayu yang diperoleh secara yang tidak formal dari sumber yang berwibawa melalui perkongsian pengetahuan (knowledge-sharing). Ini akan dilakukan melalui e-mel "e-Tip Bahasa Melayu" yang ringkas dan mesra pembaca dengan harapan dapat menambah sedikit sebanyak ilmu pengetahuan rakan bloger atau pengunjung blog ini, terutamanya tentang kesilapan lazim bahasa Melayu yang dilakukan saban hari. Dengan berkonsepkan “Belajar Daripada Kesilapan”, saya akan cuba menyediakan rumusan bagi setiap kesilapan supaya dapat memantapkan lagi pegangan dan pemahaman kita tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Nota:
1. Mukadimah berasal daripada perkataan Arab yang telah diserap ke dalam bahasa Melayu dengan maksud kata pengantar, prakata; atau pendahuluan dalam sesuatu ujaran atau wacana.
2. Kini majoriti pakar bahasa telah menukar penggunaan kata sendi nama di kepada dalam untuk digabungkan dengan kata kalangan kerana ini bertepatan dengan rumusan yang menyatakan kata sendi nama di hanya boleh digunakan khusus di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat sahaja, meskipun Kamus Dewan Edisi Ke-4 masih terus menggunakannya.

No comments:

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...