25 February, 2010

Biodata Kekasih Allah No. 1


Kita sering berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita gagal mengenali baginda secara lebih mendalam. Sempena menyambut akan hari Keputeraan Rasulullah s.a.w pada 26 Februari 2010M, bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1431H , marilah kita mengimbas kembali biodata Penghulu Para Nabi ini. Ingatlah, jangan sekali kali kita lupa akan diri baginda dan pengorbanannya kepada seluruh umat manusia.


Firman Allah dalam surah al-Ahzab: ayat 56:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا
Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

Daripada Abu Hurairah ra. bahawa Nabi bersabda:
من صلى عليَّ واحدة صلى الله عليه بها عشراً
“Barangsiapa yang berselawat ke atas aku satu kali, Allah akan berselawat ke atasnya 10 kali” [hadith sahih riwayat Muslim].


BIODATA RASULULLAH SAW
1. Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
2. Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M
3. Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
4. Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
5. Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
6. Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman)
7. Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
8. Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah)

Usia 5 tahun
Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalamnya.

Usia 6 tahun
Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah). Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.

Usia 8 tahun
Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia. Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

Usia 9 tahun (sesetengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan. Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

Usia 20 tahun
Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.

Usia 25 tahun
Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah. Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah. Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu. Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

Usia 35 tahun
Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah. Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah. Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

Usia 40 tahun
Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

Usia 53 tahun
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

Usia 63 tahun
Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.

Isteri-isteri Rasulullah s.a.w.
1. Khadijah Binti Khuwailid
2. Saudah Binti Zam’ah
3. ‘Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
4. Hafsah binti ‘Umar (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab)
5. Ummi Habibah Binti Abu Sufyan
6. Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
7. Zainab Binti Jahsy
8. Maimunah Binti Harith
9. Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
10. Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)

Anak-anak Rasulullah s.a.w.
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra’

Anak tiri Rasulullah s.a.w.
Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

Saudara sesusu Rasulullah s.a.w.
1. Thuwaibah
2. Hamzah
3. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
4. Halimah Al-Saidiyyah
5. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
6. Abdullah bin Harith bin Abdul ‘Uzza
7.. Syaima’ binti Harith bin Abdul ‘Uzza
8. ‘Aisyah binti Harith bin abdul ‘Uzza

Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

Rujukan: Pelbagai sumber









Read more...

24 February, 2010

Aku Pemburu Jin 7: Satu Kontroversi


Makluman: Entri kali ini mungkin mewujudkan sedikit kontroversi dalam kalangan pembaca. Oleh itu, dalil akli (akal) dan dalil nakli (nas) mungkin dapat mengungkai persoalan yang ditimbulkan.

Persoalan: Adakah ayat-ayat al-Qur'an dapat memusnahkan jin atau syaitan, seperti yang diyakini oleh kebanyakan orang? Betulkah jin akan lari ketakutan apabila anda membaca ayat Kursi atau surah Yasin atau ayat-ayat al-Qur'an yang lain?

Jika jawapannya "tidak", maka anda telah ditipu hidup-hidup oleh pelbagai pihak, termasuk para ustaz (?) atau pembuat-pembuat filem atau drama seram di televisyen.


Pembuktian:
Jika orang Islam sendiri tidak faham apa yang mereka baca (contoh: ayat Kursi) ditambah pula dengan pembacaan secara "tonggang terbalik" (membaca secara tidak tartil), adakah diterima oleh akal yang waras, para jin dapat memahami ayat-ayat yang anda baca? Seperti anda, jin juga perlu mendalami al-Qur'an dari aspek pembacaan dan kandungannya.

Firman Allah:
"Katakanlah (hai Muhammad)!: "Telah diwahyukan kepadaku bahawasanya telah mendengarkan sekumpulan jin (akan al-Qur'an)" (Al-Jin, ayat 1).
"Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku" (Az-Zariyat, ayat 56).
"Wahai bangsa jin dan manusia! Apakah belum datang kepadamu rasul-rasul daripada golongan kamu sendiri" (al-An'am, ayat 130).

Jika jin atau syaitan boleh dihapuskan atau lari "lintang pukang" dengan hanya membaca beberapa potong ayat al-Qur'an, letak sahaja para Qari atau Qariah di tempat-tempat syaitan bertandang, seperti di kelab-kelab malam, rumah-rumah urut atau sarang-sarang pelacuran, nescaya perniagaan di tempat-tempat maksiat seumpama itu akan segera gulung tikar.


Anda berdalih lagi: Bukan semua jin akan musnah, tetapi syaitan dalam kalangan jin sahaja yang akan terbakar dik hembusan ayat-ayat suci al-Qur'an, jin Islam tidak...(fikiran anda tergambar tangisan dan raungan jin atau hantu syaitan yang ketakutan dan kesakitan apabila dibacakan ayat-ayat al-Qur'an kepada mereka dan anda juga terbayang rupa paras pelakon hebat M. Rajoli yang membacakan ayat itu).

Alasan Babah:
Tidak ada perbezaan antara jin Islam dan jin kafir, kecuali ketakwaan mereka kepada Allah s.w.t. Ada dalam kalangan mereka awalnya Islam, kemudian kafir, begitu juga sebaliknya.

Firman Allah:
"...kecuali iblis, dia adalah daripada golongan jin" (al-Kahfi: ayat 50).

Akal yang sihat tidak dapat menerima, apabila jin menjadi kafir, mereka tidak boleh mendengar al-Qur'an, sedangkan ketika Islam, membaca al-Qur'an merupakan satu cabang daripada cabang ibadat.

Firman Allah:
"Mereka (jin) berkata:"Wahai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan al-Qur'an yang diturunkan sesudah Musa..." (al-Ahkaf, ayat 30).

Allah tidak akan memungkiri janji dan anda juga tidak sepatutnya menuduh Allah memungkiri janji-Nya.

Firman Allah:
"Iblis menjawab: "Beri tangguhlah aku sampai waktu mereka dibangkitkan". Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau termasuk orang yang diberi tangguh" (al-A'raf: ayat 14-15).


Oleh itu, apakah peranan al-Qur'an dalam menangani masalah ini?
Tunggu sambungannya dalam siri akhir Aku Pemburu Jin 8...

Nota:
Seminggu lamanya Babah a.k.a. Pemburu Jin diserang demam selesema (bukan selsema). Pemburu Jin diserang demam dan sakit tekak? Anda jangan ketawakan Babah kerana  untuk pengetahuan anda jin juga diserang penyakit. Babah akan datang berkunjung ke blog anda selepas tubuh badan sihat dan "streamyx" tidak meragam, insya-Allah.





Read more...

18 February, 2010

Aku Pemburu Jin 6


Setiap sesuatu perlu dipelajari, begitu juga ilmu berkaitan dengan jin. Tidak semestinya dengan pandai membaca al-Qur'an, anda sudah boleh diiktiraf sebagai seorang yang arif dalam hal ini. Anda juga belum boleh dinobatkan sebagai Pemburu Jin hanya sekadar anda pernah mengimamkan solat waktu di masjid atau  di surau atau biasa menjadi khatib ketika solat Jumaat. Untuk membolehkan anda memburu jin, syarat ketiga di bawah perlu dipenuhi.



Syarat Ketiga: Mengetahui teknik berhadapan dengan syaitan dan jin jahat.
Teknik bertempur dengan syaitan dan jin jahat perlu dipelajari. Seorang muallim, al-hafiz, ustaz, imam, bilal dan lain-lain tidak semestinya mampu berhadapan dengan syaitan dan jin tanpa ilmu pengetahuan yang mencukupi dalam hal ini. Seperti memburu binatang liar di hutan, teknik-teknik pemburuan dan pertempuran perlu dipelajari. Saya secara peribadi berpendapat bahawa "pemburu jin" boleh menjadi satu profesion jika dipelajari secara bersungguh-sungguh, seperti doktor-doktor perubatan moden.


Kita membaca pelbagai teknik digunakan oleh orang-orang terdahulu ketika berhadapan dengan gangguan syaitan dan jin, antaranya:

i. Teknik yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. yang meludah sebanyak tiga kali ke dalam mulut seorang budak yang diganggu jin.
ii. Kisah Imam Ahmad. Ketika itu beliau sedang duduk di masjid. Tiba-tiba datang seorang teman dari istana Khalifah Al-Mutawakkil dan berkata:  "Di rumah Amirul Mukminin ada seorang jariah sedang dirasuk jin. Beliau mengutuskan saya kepada tuan agar sudi berdoa kepada Allah supaya dia sihat semula". Imam Ahmad memberikan sepasang selipar yang terbuat daripada kayu kepadanya dan berkata: "Engkau pergi ke rumah Amirul Mukminin, duduklah dekat kepada jariah dan kata kepada jin itu: "Imam Ahmad berkata kepadamu, yang mana satu yang engkau suka; keluar dari jariah ini atau dipukul dengan selipar ini tujuh puluh kali". Selepas kembali kepada jariah dan membuat apa-apa yang dipesan oleh Imam Ahmad, jin itu berkata: "Aku mendengar dan taat kepada Imam Ahmad. Sekiranya beliau memerintahkan aku keluar dari negeri Iraq ini, tentu aku akan keluar darinya kerana beliau seorang yang taat kepada Allah, sedangkan barang siapa yang mentaati Allah, dia akan ditaati segala sesuatu". Jin segera keluar.

Bersambung 









Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...