08 January, 2010

Melayu dan Mata


Tahukah anda bahawa orang Melayu terlalu berlebih-lebihan menggunakan mata mereka. Mereka bukan sahaja memandang, tetapi melihat, memerhati, menengok, menatap, mengintai, melirik, menjeling, mengerling, mengamat-amati, meneliti, mengintip,  menyaksikan, menatap, membelek, menjenguk, menjengah, meninjau, meluluk, mengintip, menonton, merenung, menenung, mencalik, melenak, melengung dan banyak lagi.


Mata melirik

Tidak ada bangsa lain di dunia ini yang mempunyai fungsi mata sebanyak orang Melayu. Ini menunjukkan betapa orang Melayu sangat menyakini mata, kadang kala mengetepikan (bukan mengenepikan) mentah-mentah mata hati (kata hati). Akibatnya, mereka mudah terpedaya. Terpedaya dalam memilih pasangan hidup – mata hanya memandang pada rupa paras (cantik atau yang kacak) dari segi luaran; terpedaya dalam akidah – mata melihat pada keluarbiasaan seseorang; terpedaya dalam perniagaan – mata hanya memerhati kekayaan harta benda (materialistik) dan pelbagai tipu daya lain.



Mata kati           Mata Orang


Menjolok mata      Mencolok mata


Mata kail vs mata orang

Keyakinan orang Melayu terhadap mata dapat diperhatikan dengan banyaknya istilah-istilah Melayu yang menggunakan kata mata, seperti yang berikut:
Mata kapak, mata pisau, mata anak tangga, mata bisul, mata air (punca air), mata air (kekasih), mata (markah), mata angin (arah yang ditunjukkan oleh kompas), mata batin (perasan dalam hati), mata benda (barangan yang berharga), mata gergaji (bahagian gergaji yang tajam atau orang yang suka bermuka-muka), mata hati, mata huruf, mata jahitan, mata jala, mata jalan, mata kail, mata kain (corak kain), mata kaki (buku lali), mata kasar (tanpa mengguna teropong), mata kati (tahil), mata kayu (bekas dahan yang dipotong atau buta huruf), mata keranjang, mata kerbau (telur yang digoreng bulat-bulat), mata lipas (mata yang suram), mata luka (liang luka), mata  panah, mata pelajaran, mata panah, mata pelajaran, mata pena, mata pencarian, mata wang, mata-mata (polis), silap mata dan banyak lagi.


Peribahasa Melayu yang menggunakan perkataan mata:
Mata memandang apa hendak sakit, bahu memikul timpa perasaan
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul
Mata tidur, bantal berjaga
Hilang di mata, di hati jangan.
Jadi mata dan telinga
Kerana mata buta, kerana hati mati
Silap mata pecah kepala
Tentang mata dengan mata

Pesan babah:
Gunakanlah pancaindera penglihatan anda sebaik-baiknya. Seimbangkan penglihatan mata dengan penglihatan hati dalam membuat pertimbangan. Orang kata ikut hati mati, ikut mata merana. Allah menjadikan mata untuk menilai, bukan untuk membuat keputusan. Serahkan kerja itu kepada akal yang waras. Wallahualam.








 

Kamus bahasa Melayu:
Meluluk - mengintai, mengintip (musuh dll);
Mencalik -  memandang, melihat;
Melengung -   memandang, menoleh.
Melirik - menjeling dgn tajam, mengerling

Read more...

07 January, 2010

Sehari Selembar Benang 15


Paradoks Bahasa Melayu
Keunikan bahasa Melayu boleh dilihat dalam pelbagai aspek, antaranya sifat paradoks yang terkandung dalam bahasa tersebut. Paradoks bermaksud sesuatu yang bertentangan dengan pendapat yang diterima umum. Punca pertentangan ini ialah disebabkan oleh intotasi yang salah, struktur ayat yang carcamarba dan ketidakfahaman seseorang tentang maksud yang tersirat dalam ayat yang diungkap. Di bawah ini dipaparkan beberapa contoh untuk menjadi renungan (dan hiburan) para pembaca.

Ahli bahasa mengkategorikan kata ganti nama diri orang pertama "aku" dan ganti nama diri kedua "kau" sebagai bahasa kasar. Sebaliknya "saya" dan "kamu" bernilai lebih tinggi dan lebih sopan. Tetapi, mengapa bahasa yang halus ini (saya dan kamu) tidak serasi (tidak sesuai) digunakan untuk berkata-kata dengan Tuhan atau dengan ibu bapa?

Contoh:
Ya Allah, ya Tuhan saya (tidak sesuai).
Ya Allah, ya Tuhanku (sesuai).

"Ali, tolong saya mengangkat barang ini" kata ibu kepada anaknya, Ali (tidak sesuai).
"Ali, tolong mak mengangkat barang ini" kata ibu kepada anaknya, Ali (sesuai).



Dia cantik? (pada hakikatnya dia hodoh).
Dia cantik. (dia memang cantik).


Adakah saya cantik?

Dia gila perempuan (dia lelaki).
Dia perempuan gila (dia perempuan).


Siapa cakap saya gila?

Itu binatang (benar-benar binatang).
Dia binatang! (dia orang).




Sambungan Selembar Benang 15

Kesilapan yang jarang disedari:

Salah: Di seluruh negara mengalami banjir.
Betul: Seluruh negara mengalami banjir.

Salah: Dengan kehadiran tuan akan menyerikan majlis ini.
Betul: Kehadiran tuan akan menyerikan majlis ini.

Salah: Ada pihak membangkang cadangan itu.
Betul: Ada pihak yang membangkang cadangan itu.

Salah: Turut menghadiri majlis itu ialah Menteri Besar.
Betul: Yang turut menghadiri majlis itu ialah Menteri Besar.

Salah: Kesan kemelesetan ekonomi, pengangguran meningkat.
Betul: Sebagai kesan kemelesetan ekonomi, pengangguran meningkat.

Salah: Yang manakah betul?
Betul: Yang manakah yang betul?











Kamus bahasa Melayu:
Intonasi: turun naik atau tinggi rendah nada suara (sewaktu bercakap)
Cacamarba: mengandungi pelbagai unsur, bercampur aduk, (ber)pelbagaian


Read more...

06 January, 2010

Kaki...


Mengapa pejalan kaki perlu ada kaki (pejalan kaki), sedangkan pelari tidak perlu kaki? Seperti berjalan, berlari juga menggunakan kaki. Dalam Kamus Dewan Edisi ke-4, Pedestrian bermaksud pejalan kaki. Jika perkataan kaki tidak relevan, buang sahajalah, seperti kita membuang kaki dalam ukuran metrik. Ukuran kaki digantikan dengan meter.


Pejalan @ pejalan kaki


Lucu dan salah

Football pula tidak dipanggil bola kaki, sebaliknya bola sepak. Foot bermakna kaki. Ke mana perginya kaki? Kaki bola lain pula maksudnya...



Siapa pernah melihat kaki gunung atau kaki langit? Gunung dan langit ada berapa kaki?



Apa pula maknanya siar kaki? Sila lihat papan tanda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di bawah. Dahulu laluan jalan kaki dipanggil orang kaki lima (five foot way, pavement, sidewalk) dan digantikan pula dengan siar kaki. Walau bagaimanapun, istilah kaki lima masih kerap digunakan. Timbul pula persoalan, mengapa kaki lima, tidak kaki enam, kaki tujuh atau kaki lapan?


Siar kaki jarang didengar dan salah dieja

Apabila kaki ditambah imbuhan “meng”, perkataan itu menjadi “mengaki”. Tahukah anda apakah makna mengaki? Mengaki bermaksud menurut segala perintah, mengabdi, patuh. Contoh ayat: Betapa samsengnya ia, tunduk mengaki juga kepada anggota polis.


Meskipun betina merupakan panggil untuk haiwan, tetapi kaki betina ialah orang

Makna lain bagi kaki:

1. Bahagian (sebagai penyangga atau penopang) tempat sesuatu benda berdiri: ~ kerusi; ~ meja;

2. Bahagian yang di sebelah bawah sesuatu; ~ gunung bahagian bawah gunung; ~ kain bahagian kain sarung yang di sebelah bawah; ~ langit bahagian langit yang kelihatan seperti bertemu dengan permukaan laut atau bumi; ~ seluar bahagian seluar yang menyelubungi kaki (apabila dipakai);

3. Penjodoh bilangan bagi beberapa jenis benda: se~ bunga; se~ payung; se~ kunyit;

4. Ukuran panjang yang sama dengan 12 inci atau 30 sentimeter: kira-kira satu ~ setengah tingginya;

5. Orang yang suka melakukan sesuatu: ~ arak; ~ pancing; ~ arak orang yang suka minum arak; ~ bajang tiang yang beralaskan batu dll yang lebar; ~ bangkang orang yang sering menentang atau tidak bersetuju dengan pandangan, pendapat dsb orang lain; ~ bangku (orang yang) tidak pandai bermain (menyepak) bola; ~ botol, kaki arak, kaki tunggang orang yang suka minum minuman keras; ~ buli orang yang suka menyakiti, menganiayai atau menakuti orang yang lemah (untuk membuat sesuatu); ~ butang benang penjahit yang dililitkan di bawah butang yang dikenakan pada baju dll; ~ gaduh (orang yang) suka bergaduh; ~ hutan tepi (pinggir) hutan; ~ judi (orang yang) suka berjudi; ~ lima a) lantai di antara depan (deretan) kedai atau rumah dengan tepi jalan; b) lantai yang beratap yang menghubungkan dua buah rumah; ~ (meng)umpat orang yang suka mengumpat; ~ pancing orang yang suka dan biasanya pandai memancing.

6. Perumpamaan: ~ papan unit ukuran papan gergaji (dengan dimensi satu kaki panjang, satu kaki lebar, dan satu inci tebal); ~ perempuan orang yang suka main perempuan; ~ seribu lari kerana ketakutan, langkah seribu; ~ telanjang kaki yang tidak berkasut; ~ tengkar orang yang suka bertengkar; ~ tiga penopang kamera dll, tripod; ~ tiung padi yang hampir masak; ~ naik, kepala turun prb tidak berhenti-henti bekerja utk mencari rezeki; ~ pekuk lenggang ke perut prb orang yg hodoh; ~ sudah terlangkahkan, tangan sudah terjembakan Mn, prb sudah melakukan kesalahan; berjalan peliharakan ~, berkata peliharakan lidah prb berhati-hati apabila melakukan atau memperkatakan sesuatu; cepat ~ ringan tangan prb sangat cekap dan suka menolong; naik basuh ~ sahaja prb mendapat sesuatu dgn mudah sahaja; terikat ~ tangan prb tidak bebas atau tidak berkuasa (lagi).


Kaki tidur...

Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...