Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain - sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat - orang yang sabar akan berhasil usahanya.
Mari kita mempraktikkan pepatah ini dalam mempelajari bahasa Melayu agar mantap ilmu di dada, kekal di benak semua.
Tingkap papan kayu bersegi;
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi;
Tinggi darjat kerana bahasa.
Rumah mana tidak bersampah – semua orang tidak dapat mengelak daripada membuat kesilapan. Namun begitu, salah cotok melantingkan - tiap-tiap pekerjaan hendaklah dilakukan dengan sewajarnya, yang salah hendaklah dibetulkan. Ingatlah, salah makan memuntahkan, salah tarik mengembalikan, salah langkah surut kembali - jika salah dalam sesuatu pekerjaan hendaklah segera diperbaiki kesalahan itu.
Yang kurik kundi, yang merah saga
Yang baik budi, yang indah bahasa
Merbahaya vs berbahaya
Ketika dalam perjalanan pulang ke kampung bersempena hari raya nanti, perhatikan papan tanda ‘Awas Selekoh Merbahaya Di Depan’.
Rumusan:
• Ejaan merbahaya itu salah!
• Kata dasar sebenar ialah ‘bahaya’
• Merbahaya adalah hasil penambahan imbuhan ‘mer’ dengan bahaya
• Dalam bahasa Melayu tidak kedapatan imbuhan ‘mer’
• Ejaan yang betul ialah berbahaya.
Mencolok mata vs menjolok mata
Mencolok mata vs menjolok mata
Rumusan:
Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4 (2005:285), kata mencolok mata bermakna 1. mencucuk mata; 2. (bahasa kiasan) tampak jelas, kelihatan jelas benar, 3. membangkitkan marah orang yang melihat, menyakitkan hati, memberi malu. Sedangkan kata menjolok pula bermakna 1. menusuk (merodok) sesuatu dengan galah dan lain-lain. supaya gugur, menusuk ke dalam lubang dan lain-lain. 2. memasukkan jari tangan ke dalam lubang hidung (kerongkong dan lain-lain); 3. memancing-mancing keterangan dan lain-lain; daripada orang, mengajuk atau menduga.
Salah: “Pakaian yang menjolok mata, bukanlah budaya kita”
Salah: “Pakaian yang menjolok mata, bukanlah budaya kita”
Betul: “Pakaian yang mencolok mata, bukanlah budaya kita”
Jumpa lagi pada minggu depan...
No comments:
Post a Comment