13 November, 2009

Selembar Benang 10


Selembar Benang kali ini masih berkaitan dengan isu nombor, seperti dalam Selembar Benang 8 dan Selembar Benang 9. Terdapat beberapa kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang ramai dari segi penulisan nombor, antaranya ialah:

1. Kesilapan menulis nombor bilangan ke berapa.
Dalam sistem penulisan bahasa Melayu yang betul, ke dan sesuatu angka hendaklah dipisahkan oleh tanda sempang (-), iaitu berbentuk ke-50 (k mestilah berhuruf kecil kecuali  pada tajuk yang dieja dengan semua huruf besar). Bagi angka berbentuk roman, angka itu boleh berdiri sendiri tanpa ke yang telah membawa maksud yang dikehendaki.

Contoh:
Salah: ke 4
Betul: ke-4

Salah: ke-IV/ke IV
Betul: IV

2. Kata bilangan seperti setengah-setengah, tiap-tiap, berbagai-bagai dan kedua-dua tidak boleh disingkatkan.

Contoh:
Salah
a. setengah orang
b. tiap murid
c. berbagai warna
d. kedua mempelai
Betul
a. setengah-setengah orang
b. tiap-tiap murid
c. berbagai-bagai warna
d. kedua-dua mempelai

3. Kata para tidak boleh diulang.

Contoh:
Salah: Para-para penduduk perlu bekerjasama
Betul: Para penduduk perlu bekerjasama

4. Kata bilangan tentu seperti satu, dua dan tiga tidak boleh didekatkan dengan kata bilangan pecahan, seperti suku dan setengah.

Contoh:
Salah: dua setengah meter
Betul: dua meter setengah

Salah: dua suku jam
Betul:dua jam suku

Salah:tiga setengah ringgit
Betul: tiga ringgit setengah



Sambungan Selembar Benang

Landskap vs lanskap
Ejaan yang betul bagi landskap ialah landskap bukan lanskap. Walau bagaimanapun, sebutan bagi perkataan itu hendaklah mengikut ejaan lanskap.

Faksimili vs faksimile
Ejaan bahasa Melayu bagi facsimile ialah faksimile bukan faksimili. Ejaan bagi fax pula ialah faks.

Trend vs tren
Perkataan bahasa Inggeris trend (arah aliran) dieja trend dalam bahasa Melayu bukan tren kerana tren bermaksud kereta api.


Read more...

09 November, 2009

e-Tip Bahasa Melayu 10


Sebentar tadi saya membawa teman-teman sekursus dari Timor Leste, Republik Chad dan Filipina yang sama-sama menghadiri kursus Certified Training Programme di Mount Kiara, bersiar-siar di Kuala Lumpur. Kami sempat melalui pinggir KLCC. Ketika itu, teringat saya akan ungkapan Melayu bagi Petronas Twin Towers, iaitu Menara Berkembar Petronas. Kebanyakan orang tidak menyedari bahawa terjemahan tersebut adalah salah. Malah media massa pun turut mempopularkan istilah salah berkenaan sehingga dianggap betul. Pada hakikatnya, istilah yang tepat bagi Petronas Twin Towers ialah Menara Kembar Petronas kerana nama Inggerisnya ialah Petronas Twin Towers, bukannya Petronas Twinning Towers. Bangunan pencakar langit itu tidak boleh disebut sebagai "Menara Berkembar" kerana istilah itu menggambarkan bahawa ada satu lagi mercu tanda yang serupa atau yang sama di tempat lain, seperti universiti berkembar atau twinning university dan juga bandar berkembar atau twinning city, seperti yang selalu kita dengar.



Menara Berkembar atau Menara Kembar

Sambungan e-Tip Bahasa Melayu
e-Tip kali kali ini meneruskan isu tentang ungkapan-ungkapan lain yang ditegah penggunaannya oleh ramai pakar bahasa, antaranya:

1. Di mana/ yang mana
Mana dikategorikan sebagai kata tanya, iaitu kata yang digunakan untuk menanyakan tempat, orang atau benda. Menterjemah atau menggunakan ungkapan ini bagi ayat bahasa Inggeris yang menggunakan perkataan of which atau where adalah salah.
Contoh:
Salah: Kuala Lumpur ialah bandar yang menarik di mana/ yang mana terdapat pelbagai tumpuan menarik pelancong.
Betul: Kuala Lumpur ialah bandar menarik yang terdapat pelbagai tumpuan menarik pelancong.

Nota: Selain yang, di mana/yang mana juga boleh digantikan dengan perkataan dengan, apabila, yakni dan iaitu.

2. Mereka-mereka
Mereka, iaitu kata ganti nama diri ketiga sudah berbentuk jamak dan tidak perlu diulang.
Contoh:
Salah: Mereka-mereka yang salah akan dihukum.
Betul: Mereka yang salah akan dihukum.

3. Demi untuk
Demi dan untuk ialah kata sendi nama. Oleh itu, demi tidak boleh digunakan bersama-sama dengan perkataan untuk dalam bentuk demi untuk.
Contoh:
Salah: Rakyat perlu bersatu demi untuk kestabilan negara.
Betul: Rakyat perlu bersatu demi/untuk kestabilan negara.


Read more...

08 November, 2009

Siri 1- Kuliah Terjemahan


Kerap kita dengar ungkapan yang memperlekehkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang tidak mempunyai nilai ekonomi dalam pembangunan negara dan kegiatan perdagangan serta perindustrian yang banyak bertunjangkan bahasa Inggeris. Biasa juga kita dengar ungkapan retorik yang mengatakan bahasa Melayu hanya sebagai alat perpaduan dan kepentingan untuk menyemarakkan nasionalisme semata-mata. Hampir tidak pernah sampai ke telinga kita betapa bahasa telah menjadi suatu industri yang besar di negara-negara maju, seperti di Perancis, Kanada, Jepun, Korea dan Taiwan serta negara-negara yang sangat kuat mempertahankan bahasa ibunda mereka, seperti Negara Thai dan Indonesia.


Bidang penterjemahan ialah antara beberapa bidang yang telah menjulang “Industri bahasa” di negara-negara yang dinyatakan di atas. Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan mengambil contoh negara Taiwan bagi menggambarkan betapa Malaysia telah jauh ketinggalan dalam industri ini.

Menurut Abdullah, pasaran buku di negara Taiwan bernilai RM3.8 bilion setahun. Pada tahun 2000, Taiwan telah menerbitkan 38,000 tajuk buku baharu. Yang sangat ketara dan memeranjatkan ialah 8,000 daripada tajuk itu datangnya daripada buku asing yang diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin. Jumlah ini adalah sangat besar jika dibandingkan dengan bilangan buku yang mampu diterjemahkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) sejak 1993, yang hanya berjumlah 153 tajuk. Apa yang beliau perhatikan ialah sebilangan besar daripada 100 buku terlaris yang dijual di kedai-kedai buku besar di Taiwan, datangnya daripada karya terjemahan.

Menurut Abdullah, negara ini perlu belajar daripada Taiwan.  Dengan penduduk yang hanya berjumlah 20 juta orang, Taiwan dapat menghidupkan industri perbukuan, khususnya yang melibatkan karya terjemahan. Ini membuktikan bidang penterjemahan sememangnya boleh menjana industri besar. Lebih-lebih lagi kedwibahasaan atau kepelbagaian bahasa dalam masyarakat kita pada hari ini membuka ruang yang terbentang luas bagi kerjaya dalam bidang bahasa, khususnya terjemahan.

Kini, secara senyap, melangkah tanpa berbunyi, seperti diamnya ubi, banyak pihak bersiul riang, mengumpul harta malam dan siang, mengeksploitasi kepandaian mereka, meneroka bidang yang masih “dara". Bidang yang menawarkan pulangan yang lumayan kepada individu yang tinggi kemahiran berbahasa, seperti sebahagian besar daripada anda wahai para blogger!. Jangan hiraukan retorik “mereka” tentang bahasa. Jangan pula bazirkan keupayaan yang ada.  Mulalah melangkah memajukan bahasa sambil mengambil peluang yang tersedia, yang terhidang di depan mata. Perniagaan yang lumayan ini hanya berada di hujung jari anda.  Tanya selera sebelum menepuk dada. Jadi teman facebook saya, baru anda percaya...

Bahan Rujukan:





Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...