06 November, 2009

e-Tip Bahasa Melayu 9


Mendalami dan menyampaikan ilmu bahasa seperti bahasa Melayu adalah satu usaha yang mencabar dan memerlukan kesabaran, lebih-lebih lagi kepada pejuang bahasa.  Kendatipun kesabaran melahirkan kematangan, kadangkala timbul juga rasa gundah.   Salah satu cabaran besar yang dihadapi penggiat bahasa ialah persepsi penutur yang tidak sedar bahawa selama ini mereka melakukan kesilapan dan tambah menyulitkan lagi apabila golongan ini mempunyai tanggapan bahawa tiada konsep "salah betul" dalam bahasa, "yang penting faham" dan sikap old habit, die hard. Natijahnya, mereka akan "membetulkan" kembali apa yang sudah diperbetulkan oleh pihak yang setingkat lebih tinggi ilmunya. Pada masa yang sama, kita terbelenggu tanpa dapat menjelaskan akan kesilapan mereka itu kerana proses membetulkan yang salah dalam budaya kita memerlukan acara rasmi dan pengiktirafan (akreditasi).  Silap mengatur langkah, kita akan ditohmah dengan kata-kata:

1.  " Kalau mesej sampai, dah betullah bahasa kita tu.  Tak payahlah nak rigid sangat!"

2.  "Surat khabar, TV, orang politik, kerajaan sudah pakai cara begitu, pandai-pandai pulak kata kita salah";
     
3.  "Alah, perubahan yang dia buat hanya 'choices of words' sahaja"

Golongan ini sudah lupa betapa bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang sangat dinamik dan cepat berubah mengikut masa.  Kepentingannya bukan sahaja ke takat penggunaan rasmi di pejabat, tetapi jauh melangkaui sempadan pekerjaan.  Fikir-fikirkanlah...(INGAT! Dalam tatabahasa yang betul, tanda titik bagi ayat tergantung hanya tiga kali sahaja).

Aiman tak kisah...

Lanjutan e-Tip Bahasa Melayu
Seperti yang dijanjikan pada entri yang lepas, kali ini saya akan merumuskan pelbagai contoh kesalahan besar dari segi tatabahasa yang sering dilakukan oleh kebanyakan orang, sama ada dalam pertuturan atau penulisan.  Saya berharap, selepas ini kita dapat menghindarkan diri kita daripada terus melakukan kesilapan tatabahasa seperti ini ketika berkomunikasi. 

Oleh sebab 
Penggunaan oleh yang diikuti kerana dalam ungkapan oleh kerana adalah salah.  Ini disebabkan oleh (kata sendi nama)  mesti diikuti oleh kata nama atau frasa nama, sedangkan kerana ialah kata hubung.  Bentuk yang betul ialah oleh sebab.  

Contoh: 
Salah:  Oleh kerana sesuatu sebab, dia tidak dapat hadir. 
Betul:   Oleh sebab sesuatu halangan, dia tidak dapat hadir. 

Kata hubung kerana tidak boleh disamakan dengan kata nama sebab. 

Contoh: 
Salah:  Mesyuarat itu ditangguhkan sebab pengerusinya tidak dapat hadir. 
Betul:   Mesyuarat itu ditangguhkan kerana pengerusinya tidak dapat hadir 

Ianya  
Ia dan -nya mempunyai maksud yang sama.  Kedua-duanya ialah kata ganti nama diri ketiga.  Oleh itu, elakkan kesalahan daripada terus menggunakan perkataan ini. 

Contoh: 
Salah:  Ianya merupakan satu kejayaan yang besar pada Malaysia. 
Betul:   Ia merupakan satu kejayaan yang besar pada Malaysia. 

Banyak lagi perkataan yang haram selalu digunakan tetapi sudah sebati (berdarah daging atau berkarat kata orang zaman sekarang) dalam minda kita.

5 comments:

Daud Mili said...

semangat tuan dalam usaha memartabatkan bahasa ini amat membanggakan...tahniah...saya secara peribadi menyokong sepenuhnya usaha ini.....

umi_e said...

salam... bagus sekali!

Ampuan Awang said...

salam... org kita terlalu lelah tuk bersatu memartabatkan bahasanya. eh, nak cakap apa lagi ni cikgu?


lawatlah sekali http://ampuanawang.blogspot.com

... said...

Terima kasih Daud, Umi dan Ampuan pagi-pagi dah ziarah babah. Semoga anda semua diberkati Allah.

tinta kasturi said...

pada saya..

semua mafhum,
bahasa jiwa bangsa.

Maka..
memperlekehkan bahasa bermakna memperlekehkan bangsa,
hilang bahasa hilanglah bangsa.

Jadi..
jagalah bahasa, anda menjaga bangsa
pertahankanlah bahasa, anda mempertahankan kewujudan bangsa.

Takkan Melayu hilang di dunia!

saya sokong penuh usaha murni tuan blog!

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...