28 January, 2013

Senyum itu sedekah...

Sekumpulan ahli sains dari School of Health Sciences and Social Work at the University of Portsmouth, telah menjalankan satu penyelidikan mengenai kesan senyum ke atas individu. Mereka mendapati bahawa senyuman membawa maklumat yang mampu meninggalkan kesan yang mendalam di dalam diri seseorang.



Kajian juga mendapati bahawa setiap individu mempunyai senyumannya yang tersendiri yang tidak sama dengan sesiapapun. Dan setiap senyuman itu mendatangkan kesan yang berbeza. Gambar yang diambil ketika seseorang tersenyum, kemudian ditayangkan di skrin dengan gerak perlahan mendapati beberapa pergerakan tertentu telah berlaku di wajah ketika senyum.

Seseorang individu tertentu juga memiliki beberapa jenis senyuman mengikut keadaan yang dialami dirinya dan mengikut percakapan serta orang-orang yang berada di hadapannya. Antara dapatan yang penting dalam kajian ini ialah saintis berbicara mengenai sumbangan yang boleh diberikan kepada seseorang melalui senyuman.



Sesungguhnya pemberian senyuman melebihi pemberian yang berupa benda kerana beberapa sebab:
1. Melalui senyuman anda dapat menggembirakan hati orang lain. Ini merupakan satu bentuk pemberian, malah boleh dikatakan pemberian yang paling berharga. Beberapa kajian yang pernah dilakukan menunjukkan keperluan manusia kepada kegembiraan kadang-kadang lebih daripada keperluan mereka kepada makanan dan minuman. Dan kegembiraan dapat merawat banyak penyakit, terutama penyakit keluh kesah atau gangguan emosi.
2. Melalui senyuman anda dapat menyampaikan maklumat kepada orang lain dengan mudah kerana perkataan-perkataan yang disulam dengan senyuman memberi kesan yang lebih besar ke atas otak. Perkataan yang sama jika diungkapkan tanpa senyuman kesannya akan berbeza.
3. Dengan sedikit senyuman sahaja anda mampu mengelakkan suasana tegang yang menyelubungi keadaan tertentu. Ini tentunya tidak boleh dilakukan dengan harta. Lantaran itu senyuman lebih penting daripada harta. Justeru sedekah paling mudah adalah senyuman.
4. Senyuman dan kesembuhan: ramai di kalangan pengamal perubatan mengenal pasti peranan senyuman dalam menyembuhkan penyakit. Lantaran itu para pengkaji berkata: senyuman doktor merupakan sebahagian daripada rawatan.

Oleh sebab itu apabila anda melemparkan sekuntum senyuman kepada kawan, isteri atau jiran, sebenarnya anda telah menghadiahkannya rawatan percuma tanpa anda sedari. Dan ini merupakan satu pemberian. Jelaslah bahawa senyuman merupakan satu bentuk pemberian, sedekah dan kemurahan hati. Maka benarlah sabda junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Senyumanmu di hadapan saudaramu adalah satu sedekah”.

No comments:

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...