02 April, 2010

Jahilkah @ Gilakah?


Apabila anak kita berkata "Ayah, saya tak tahu apa yang saya baca?" Sekonyong-konyong kita akan bertanya "Tak tahu atau tak faham?".  "Kedua-dua sekali ayah" sampuk Si Anak. Kita mula khuatir anak kita sedang mengalami sindrom berfikir dan berkata yang tidak selari. Gejala ini sangat-sangat berleluasa dalam kalangan orang Islam. Kebanyakan mereka tidak faham apa yang dibaca ketika melafazkan ayat-ayat al-Qur'an.

Contoh jahil tukil dan jahil mukarab

Kalau Si Anak berusaha untuk mencari jawapan mengapa dia tidak memahami apa yang dibacanya, Si Jahil al-Qur'an pula terus merelakan diri untuk menjadi jahil, tidak mahu mengetahui dan memahami apa yang terkandung dalam bacaan mereka.



 Kanak-kanak ini tidak berbuat dosa walaupun sebesar zarah.
Tetapi dengan kemurahan hati anda, anda menyedekah al-Fatihah kepada mereka.
Betulkah perbuatan anda atau anda jahil?

Kemudian, Si Anak bertanya lagi "Ayah, kadang-kala saya tidak faham apa-apa yang saya kata". Jantung kita berderau apabila mendengar pertanyaan itu. Ini sudah termasuk dalam kategori orang yang merapu. Orang yang berkata tanpa mengetahui butir bicara adalah perbuatan merapu (Nota: merapu juga bermaksud memunguti (barang-barang yang terbuang atau tidak berguna), meminta sedekah), merepek, merapik. Kita mula risau. Risau adakah anak kita telah mengalami sindrom sewel, mereng, majun, junun, tak siuman, tak waras, edan, kalap, gelong, sakit otak, sakit jiwa atau hilang akal?

Sindrom berkata tetapi tidak memahami apa yang dituturkan ini berlaku secara berleluasa dalam kalangan orang Islam apabila berbicara dengan Allah Azzawajalla. Ketika solat, ramai yang tidak tahu dan tidak faham apa yang yang diungkapkan. Ketika mendengar imam berdoa pula, berlagak seperti burung kakak tua, amin...amin...amin...sampai ke sudah...

Yang gembira ialah Si Amin, anak jiran sebelah yang namanya sering diratibkan...

Tekalah, anda dalam kategori mana?

JAHILKAH @ GILAKAH?










Read more...

31 March, 2010

Orang Jahil...


Semua orang marah apabila dia dikatakan "bodoh". Tidak kurang juga yang marah apabila dia dikatakan "kurang cerdik".  Tetapi apabila seseorang itu dikatakan jahil, seperti "kau ni jahil betullah", ramai  pula yang akur.  Malah, ada yang memberi reaksi "aku memang jahil dalam hal ini".


Hakikatnya, jahil sama sahaja dengan bodoh atau "stupid". Jahil ialah perkataan Arab yang bermaksud bodoh atau tidak mengetahui (ajaran agama Islam, sesuatu hal, dan lain-lain). Contoh: Dolah jahil dalam hal agama; cetek pengetahuannya; Jahil basit (orang yang) jahil tetapi sedar akan kejahilannya; jahil murakab (orang yang) jahil dan tidak pula menyedari kejahilan dirinya; jahil teropong: bodoh dan tidak mahu menerima ajaran-ajaran orang; jahil tukil: terlalu jahil.


Sebenarnya, jahil juga bermaksud buta huruf, buta hati, tidak berpendidikan, tidak berpengetahuan dan tidak bertamadun. Dalam kata yang kurang enak didengar, jahil bermakna bebal, benak, bangang, bengap, bongok, tongong, tolol, dongok, baghal, bahlul, bingung, pandik, sementung, otak udang, otak tumpul, ngong, palui, pusung, ahmak, hamik, piras hangit, goblok, pongah, bongak, congong dan songor.
 
Apahal ni Babah? Nak tuduh-tuduh orang jahil pula?

Bukan, bukan dan bukan...
Tetapi... Dalam beberapa entri yang akan datang, Babah akan cuba menyenaraikan perkara-perkara jahil yang biasa dilakukan orang supaya dapat menjadi iktibar kepada anda yang masih jahil . Oleh itu, anda boleh mengaku akan kejahilan anda dan dapat mengelakkan sakit hati daripada dituduh jahil.

Sebagai mukadimah, elakkan daripada menyebut "amin" (bermaksud: perkenankanlah ya Allah doa kami) apabila pembaca doa (contoh: imam) baharu memulakan doa dengan puji-pujian kepada Allah dan salawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. kerana anda boleh dianggap jahil jika terus berbuat demikian. Pujian-pujian kepada Allah dan Salawat ke atas Nabi ialah permulaan doa yang belum boleh dianggap doa dan tidak perlu diaminkan. Cuba perhatikan contoh di bawah:

Imam: Segala puji bagi Allah, Tuhan Pencipta dan Pentadbir seluruh alam. Salawat dan Salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w, rasul yang mulia... sekalian rasul dan segala pujian itu tertentu kepada Allah yang memiliki sekalian alam...

Makmum: Amin...

Selepas doa diucapkan, baharulah kena tempatnya kita menyebut amin, seperti:

Imam: Ya, Allah ya Tuhan kami, ampun dosa-dosa kami.

Makmum: Amin...

Nota:  
Hal di atas merupakan satu contoh perbuatan yang tidak kena pada tempatnya kerana kejahilan, seperti orang bertanyakan nama anda, tetapi anda menjawab "umur saya 46 tahun". Jika dengan manusia kita perlu bertertib ketika berkata-kata, inikan pula dengan Allah Azzawajalla.

Bersambung....











Read more...

28 March, 2010

Orang Gila...


Setiap kali pulang ke kampung, babah sering terserempak dengan seorang lelaki tidak siuman di simpang empat berlampu isyarat, depan masjid, Pekan Hulu Langat. Dia mengejar kereta babah dan mengetuk tingkap kereta.  Biasanya, babah berhenti dan melayan hamba Allah itu. Maka terkeluarlah dialog yang berikut:

Orang Gila: Assalamualaikum encik.
Babah: Waalaikum salam tuan.
Orang Gila: Encik ada duit tak?
Babah: Ada. Mengapa?
Orang Gila: Saya nak pinjam sejuta. Nak buat bisnes. Dulu dah rugi berjuta-juta. Orang tipu.
Babah: Dulu bisnes apa?
Orang Gila: Import eksport.
Babah: Wow hebat tu! Nah sejuta, sambil babah menyerahkan sekeping duit seringgit. Cukup tak?
Orang Gila: Terima kasih encik. Sejuta dah cukup (sebelum pergi beliau merapatkan kaki dan memberi tabik hormat, gaya seorang tentera Nazi).


Babah memang bersimpati dengan nasib orang tidak siuman a.k.a. orang gila. Mereka berkata jujur, walaupun biasanya kata-kata mereka tidak betul. TETAPI, adakah Allah bersimpati dengan mereka di akhirat kelak? Babah pernah bertanya dengan seorang ustaz tentang kedudukan orang gila di sisi Allah.

Babah: Ustaz, semasa kecil dulu saya pernah diberitahu bahawa orang gila tidak berdosa. Apa-apa yang mereka lakukan semuanya tidak diambil kira. Kalam mereka terangkat ke langat. Betul ke ustaz?
Ustaz: No way! Orang gila juga akan dihisab oleh Allah. Sebahagian besar daripada mereka akan dihumban ke neraka!
Babah: Biar betul ustaz?
Ustaz: Ya. Tengok punca mengapa mereka gila. Kebanyakan mereka gila kerana perempuan, harta benda, akibat mempelajari ilmu syaitan, hatta dianiaya dengan ilmu sihir?
Babah: Gila kerana teraniaya pun akan dihisab oleh Allah?
Ustaz: Ya. Allah juga akan melihat sejauh mana anda berusaha mempertahankan diri anda daripada dianiayai. Jika tidak ada langsung "defence", anda boleh dianggapkan telah melakukan "suicide".
Babah: Walaupun daripada syaitan dan jin?
Ustaz: Ya.



Bagaimana pula dengan orang tak siuman yang berlagak gila, seperti seorang yang gila talak menerjah e-mel kawan-kawan babah dengan mengatakan cerita babah di sini dusta? Orang yang berlagak gila ini tidak sedar apa yang dia lakukan telah membuktikan bahawa babah bukan membuat cerita rekaan, sekurang-kurangnya pada perspektif babah. Mesej "isteri solehah perlu dihormati" tepat mengenai sasaran.


Nasihat: Saya suka menasihati Si Polan supaya membuka blog sendiri dan mencurahkan isi hati di blog anda itu. Janganlah "menerewang" lagak orang tidak siuman menerjah e-mel orang lain untuk menyampaikan mesej beracun yang akhirnya meracuni diri anda sendiri.


Nota: Selama tiga minggu ini babah sibuk mengendalikan beberapa kursus. Oleh itu,  babah tidak berkesempatan untuk mengemas kini blog. Namun, babah tetap melawati blog-blog anda melalui BlackBerry babah. Mana-mana blog yang membolehkan babah komen, babah catat sepatah dua kata. Tetapi rata-rata,  blog anda tidak membenarkan babah meninggalkan jejak melalui BlackBerry. Nantii jika ada masa terluang, babah akan menceritakan pengalaman yang "berbunga-bunga" ketika menjadi pengarah program untuk dua kursus yang melibatkan peserta antabangsa dan satu kursus yang melibatkan "unemployed graduates". Memang menarik...




Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...