26 March, 2010

Sofia, Maafkan Babah...


Pagi tadi Babah menziarahi rumah Sofia Adila, anak keenam Babah. Sofia Adila kembali ke rahmatullah pada 23 Mei 2002. Dari tarikh itu, beginilah rumah Sofia...

Rumah Sofia Adila dikelilingi Banglo dan Semi-D

Tanpa kemewahan...

Bukan Babah tidak mampu. Malah, Babah boleh sahaja membina rumahmu lebih hebat daripada rumah jiran-jiranmu...

Rumah yang berjerejak atau berkekisi


Rumah yang bermar-mar

TETAPI anakku, Babah terpaksa menelan kesedihan Babah kerana...

Jabir r.a. pernah berkata: “Rasulullah s.a.w. telah melarang kuburan dikapur (disimen), dijadikan tempat duduk, dan juga didirikan bangunan di atasnya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Diharamkan oleh syara’ menghias, membuat batas, meninggikan tanah di atas kubur, memayungkan, mendirikan kubah, bangunan, menulis apa pun tulisan dan mengecat kubur berdasarkan hujah syara’ dan fatwa Imam as-Syafie rahimahullah: Daripada Abdullah bin Hasanah berkata: "Aku lihat Osman bin Affan r.a. memerintahkan agar diratakan kubur".

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (beliau merupakan salah seorang dalam kalangan ulama besar as-Syafieyah) menjelaskan dalam kitabnya (المنهاج) bahawa Imam as-Syafie telah berfatwa: Dibenci mengapur, membaca dan menulis tulisan di atas kubur, sama ada menulis namanya di atas batu di sebelah kepalanya atau di tempat-tempat yang lainnya.

Maafkan Babah wahai sayangku.

Juga, mohon kemaafan yang tulus dari sanubari Babah kerana Babah tidak pernah memohon keampunan untukmu atau menghadiahimu dengan surah al-Fatihah, seperti yang biasa Mama lakukan, kerana Babah percaya kamu tidak pernah berbuat dosa...

Doa Babah hanyalah "Ya Allah, izinkan aku melawat anakku di syurga apabila sampai waktunya nanti..."


Pengalaman tambahan hari ini:
1. Jiran sebelah rumah dirompak. Jumlah kerugian RM22 ribu.
2. Rumah jiran belakang rumah dipanah petir sehingga atap rumahnya berlubang sebesar 5 kaki persegi.
3. Babah bersyukur kerana musibah tersebut tidak mengenai Babah dan keluarga.







  




Read more...

Masih ada yang percuma...


Kata orang, mana ada lagi khidmat percuma di dunia ini? Kencing dan berak pun dikenakan bayaran...


Tetapi, penduduk kawasan Petaling Jaya Selatan masih beruntung kerana pengurusan keberangkatan mereka ke alam barzakh diberi percuma oleh sebuah parti politik yang selalu dikecam oleh pihak pemerintah...

Kelengkapan kain kapan  PERCUMA
Mandian jenazah PERCUMA
Kenderaan van jenazah PERCUMA
Tempahan tanah kubur* PERCUMA
Bacaan talkin * PERCUMA
Kos minyak dan tol PERCUMA
Sagu hati pemandu  PERCUMA

Gambar diambil di pagar masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Petaling Jaya

Babah, Jebat Berani, Ayid, Bujang Susah,Ijoks2009, Mohamad Azhan, Amalhaj, Anak Muallaf, Rohaifi dan rakan-rakan seperjuangan babah yang lain pasti gembira dan bangga atas usaha para sahabat  kita yang terus menerus berkhidmat untuk masyarakat tanpa  mengira penat dan lelah. Syabas!

Nota:
* Tak tahu pula Babah selama ini tanah kubur dan bacaan talkin dikenakan bayaran.
** Kalau orang kata insiatif ini merupakan salah satu usaha untuk menarik hati pengundi, tentulah silap tohmahan itu kerana ketika ini kawasan tersebut tidak berada dalam suasana pilihan raya dan Si Arwah tidak lagi ada kesempatan untuk mengundi...










Read more...

24 March, 2010

Quranic Law of Attraction


Sejak awal minggu ini, jiwaku resah gelisah, marah, geram, sedih dan bermacam-macam. Ya Allah, apakah yang patut aku lakukan untuk melegakan perasaan ini? Aku selak buku yang baharu dibeli semalam (belum sempat membacanya), iaitu buku "Quranic Law of Attraction" karangan Rusdin S.Rauf. Aku membeli buku ini kerana ingin membandingkan dengan buku "The Secret" karya Rhonda Byrne dan "The Law of Attraction" karya Esther Hicks yang telah kubaca beberapa tahun lalu.

Hasil...


Aku terjumpa sebutir mutiara pada muka surat 108 buku itu:

Ketika ditimpa masalah besar dan saudara rasakan susah mendapat penyelesaiannya, cuba buka al-Qur'an, berdoalah terlebih dahulu, dan luruskan niat saudara. Saudara boleh berdoa seperti ini, "Ya Allah, sampai saat ini aku masih belum menemui penyelesaian untuk masalah yang aku tanggung ini. Aku memohon dengan penuh harapan kepada-Mu supaya memberikan aku jalan yang terbaik".

Sesudah berdoa, ambil al-Qur'an dan bukalah secara rambang. Kemudian baca halaman yang saudara buka itu.

Aku melakukan apa yang disarankan oleh pengarang buku.

SUBHANALLAH... Ayat-ayat yang berikut tertera di depan mata:

Surah as-Sajadah: ayat 12-15

Ayat 12: Dan (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata:) "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal solih, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin".

Ayat 13: Dan kalau kami menghendaki nescaya kami akan berikan kepada tiap-tiap jiwa petunjuk (bagi)nya, akan tetapi telah tetaplah perkataan (ketetapan) daripadaKu; "sesungguhnya akan aku penuhi neraka jahanam itu dengan jin dan manusia bersama-sama".

Ayat 14: Maka rasailah olehmu (siksa ini) disebabkan kamu melupakan akan pertemuan dengan harimu ini (hari kiamat); sesungguhnya kami telah melupakan kamu (pula) dan rasakanlah siksa yang kekal, disebabkan apa yang selalu kamu kerjakan.

Ayat 15: Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat kami, adalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat (kami), mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya, sedang mereka tidak menyombongkan diri.

Alhamdulillah...
Jawapan kepada keresahanku terjawab. Allah berjanji kepada kita semua  "tinggalkan masalah itu kepada-Ku, nanti Kuselesaikan semuanya..." Kini, hati nuraniku berasa lega kerana Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya.. 

Nota: Buku "Quranic Law of Attraction" telah memberikan sebutir mutiara kepadaku, mutiara yang tiada ternilai harganya. Belilah buku ini. Harga cuma RM13.90. Hanya tajuk sahaja dalam bahasa Inggeris, kandungannya 100% berbahasa Melayu.











Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...