10 December, 2009

Cerita Sedih Di Pantai Remis


Petang tadi, ketika dalam perjalanan menuju ke Taiping dari Lumut, setelah dua hari bermalam di Pulau Pangkor, kami melewati Pantai Remis dan berdepan dengan satu peristiwa yang benar-benar menyayat hati.  Gambar-gambar di bawah ini menceritakan segala-galanya...


Photobucket


Si Ibu tidak mahu meninggalkan anaknya yang telah dilanggar kereta (bukan kereta kami) dan dia tetap berada di sisi anaknya yang telah mati di tengah-tengah jalan.  Sewaktu kami sampai di tempat kejadian, seorang penduduk di kampung berkenaan telah membawa Si Ibu dan Si Anak itu ke tepi jalan.  Walaupun kedua-duanya telah dipindahkan, Si Ibu masih tetap bersama-sama anaknya, tanpa menghiraukan orang ramai yang berada di sekeliling kawasan itu.  Si Ibu nampak begitu sedih dan terus menatap Si Anak, sambil menguis-nguiskan kakinya pada Si Anak dengan harapan agar Si Anak akan sedar kembali.  Air liur Si Ibu terus mencucuran.  Adakah itu tanda kesedihan yang teramat sangat bagi seekor haiwan?  Sengaja saya tidak mahu menyebut nama haiwan ini kerana tiba-tiba timbul perasaan malu untuk menyebut nama itu kerana makhluk ini saya rasa lebih tahu erti kasih sayang berbanding dengan sebahagian daripada makhluk yang diberikan Allah akal dan perasaan, tetapi gagal menghayatinya. Wallahualam.

Gambar-gambar lain:






Sebak hatiku...

Saya menghantar entri ini dari sebuah Kafe Siber di Kamunting, Perak Darul Ridzuan.
Read more...

08 December, 2009

Khidmat Percuma



Assalamualaikum guru-guru/ AJK surau/masjid/ AJK Persatuan/ ketua-ketua komuniti,

Saya dengan segala hormatnya ingin menawarkan khidmat untuk memberi ceramah berkaitan dengan dua topik yang berikut:

1. Celik Kewangan Ceria Kehidupan; atau
2. Bahasa Melayu Kujunjung, Bahasa Inggeris Kukendong.

Khidmat ini adalah percuma, tetapi hanya terbuka kepada komuniti yang berada di Lembah Kelang sahaja dan terhad hanya pada hari Sabtu (Isnin-Jumaat - kerja; Ahad untuk Keluarga).

Tempoh ceramah: 1-2 jam.

Jumlah audiens: Kalau boleh jangan kurang 10 orang.

Ini adalah khidmat fisabillah saya dan azam untuk tahun Hijrah 1431 dan tahun Masihi 2010.

Biodata Ringkas:
1. Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Sarjana Ekonometrik;
2. Bertugas selama lebih 20 tahun di sebuah institusi kewangan terkemuka;
3. Berpengalaman lebih tiga tahun dalam memberi ceramah tentang kewangan di seluruh negara;
4. Berpengalaman sebagai penterjemahan (penyandang diploma penterjemahan) dan penyunting (editor); dan
5. Menjadi penceramah kursus bahasa Melayu untuk eksekutif baharu sebuah institusi kewangan terkemuka.

Jika berminat, sms saya di talian 013-3510250 atau emel kepada samsudin.jidin@yahoo.com

Sekian, terima kasih.
Read more...

07 December, 2009

Sehari Selembar Benang 13


Salah satu komponen yang menjadikan bahasa Melayu sedap didengar ialah peribahasanya (bidalan, pepatah atau perumpamaan) yang diwarisi zaman berzaman. Peribahasa menggambarkan ketajaman pemerhatian dan pemikiran nenek moyang kita yang membandingkan realiti kehidupan dengan segala tingkah laku manusia dan suasana alam sekeliling. Aspek ini telah diabaikan atau dipandang enteng (ringan atau mudah) oleh para penulis ekonomi, perbankan dan kewangan sehingga bahasa Melayu yang digunakan kaku dan hilang keindahannya.



Photobucket
Yang berhutang terjerat di kaki, yang menjamin terjerat di leher

Sebenarnya, banyak perumpamaan yang boleh kita gunakan apabila menggarap sesuatu isu yang bersangkutan dengan ekonomi, perbankan dan kewangan. Berikut ialah beberapa contoh peribahasa yang masih relevan digunakan dalam penulisan ekonomi, perbankan dan kewangan moden.

1.        Cermat masa banyak, jimat masa sedikit - selalu berhati-hati ketika berbelanja;
2.        Cicir dipungut, hilang dicari - jangan melakukan pembaziran;
3.        Hempas tulang berisi perut - hidup akan senang jika rajin bekerja;
4.        Ingat sebelum kena, jimat (hemat) sebelum habis - berwaspada setiap masa supaya tidak terpedaya dan habis harta;
5.        Jika hendak beranak, ikutlah kata bidan - mendengar nasihat pakar;
6.        Sempit bertimpuh, lega berlunjur - menyesuaikan perbelanjaan dengan pendapatan;
7.        Air digenggam tidak tiris - orang yang kedekut atau terlalu cermat apabila berbelanja;
8.        Air mudik sungai, semua teluk diranai - orang yang boros akan berbelanja tanpa perhitungan;
9.        Alah membeli, menang memakai - tidak apalah barang yang dibeli itu mahal sedikit asalkan barang itu tahan lama;
10.       Aur ditanam betung tumbuh - mendapat laba (untung) yang banyak dengan modal yang sedikit;
11.       Baru bertunas sudah dipetik, masakan boleh hidup - belum banyak untungnya, sudah berbelanja besar;
12.       Besar pasak daripada tiang, besar sendal daripada gelegar - lebih besar belanja daripada pendapatan; dan
13.       Yang berhutang terjerat di kaki, yang menjamin terjerat di leher - penjamin lebih berisiko berbanding dengan peminjam.

Sila dapatkan lebih banyak contoh-contoh peribahasa Melayu di sisipan blog ini.

Sambungan Selembar Benang...

Istirahat vs istirehat
Istirahat bermaksud keadaan atau suasana santai. Perkataan ini tidak ada kena mengena langsung dengan perkataan rehat yang bermaksud melepaskan lelah atau mengaso. Tetapi, perkataan istirahat ini selalu disalah eja menjadi istirehat sedangkan tidak ada perkataan istirehat dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu.

Selsema vs selesema
Perkataan selsema juga tidak terdapat dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu. Yang ada ialah selesema. Selesema bermaksud sakit dan berhingus.

Hadirin vs hadirat
Hadiran bermaksud sekalian (bukan sekelian) yang hadir, manakala hadirat bermaksud kehadiran, tempat menghadap (raja, nabi, Tuhan). Orang Melayu telah menyalah guna perkataan ini dengan menganggap hadirin untuk lelaki manakala hadirat untuk perempuan, seperti muslimin dan muslimat. Cara yang betul mengungkap perkataan ini ialah hadirin yang dihormati....


Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...