16 January, 2013

Siapakah Hana Tajima Simpson?

Sejak kebelakangan ini, nama Hana Tajima Simpson mula menjadi topik perbincangan dalam kalangan blogger Muslim. Nama gadis kacukan Jepun dan Inggeris ini dikenali kerana gaya berhijabnya yang unik dan lebih kasual. Wajah manis ini juga telah mula menghiasi sejumlah media di UK dan Brazil. Hana yang lebih dikenali sebagai seorang pereka fesyen membuat kejutan melalui produk dengan jenama Maysaa. Produk yang telah diperkenalkan ke pasaran dunia itu berupa hijab bergaya 'layers'. Melalui jenama tersebut, Hana mencuba untuk memperkenalkan gaya berbusana yang mengikut trend semasa, namun tetap sesuai dengan syariat Islam dalam kalangan Muslimah.


Mula memeluk Islam seawal usia 17 tahun, Hana datang daripada latar belakang keluarga Kristian yang tidak terlalu mementingkan agama dalam kehidupan mereka. Ayahnya berasal dari Jepun manakala ibunya merupakan seorang wanita Inggeris. Minatnya kepada Islam bermula semasa belajar di sekolah tinggi. Hana bertemu dan bersahabat dengan beberapa pelajar Muslim. Pada pandangan Hana, sahabat-sahabatnya yang beragama Islam kelihatan berbeza dengan yang lain. "Mereka kelihatan menjaga jarak dengan beberapa pelajar tertentu. Mereka juga menolak ketika diajak untuk pergi berhibur di kelab malam." katanya. Bagi Hana, perkara itu sangat menarik. Selain itu, sahabat-sahabatnya yang Muslim dianggap sangat menyenangkan apabila diajak berbincang berkaitan hal kuliah. Menurutnya, pelajar Muslim lebih banyak menghabiskan masa mereka membaca di perpustakaan ataupun berbincang. Daripada sahabat-sahabat Muslim itulah, secara perlahan-lahan Hana mula tertarik dengan ilmu falsafah terutamanya falsafah Islam. Sejak saat itu, Hana mula mempelajari falsafah Islam langsung dari sumbernya, iaitu Al-Quran. Kenyataan bahawa Al-Quran tetap sama seperti sebelumnya memberi maksud bahawa sentiasa ada titik rujukan untuk semua perkara.

Tajima semasa mendirikan rumah tangga

"Di dalam Al-Quran, saya menemukan banyak rujukan berkisar tentang isu-isu mengenai hak wanita. Semakin banyak saya membaca, semakin diri saya bersetuju dengan idea-idea di sebalik Al-Quran dan saya boleh melihat bagaimana Islam boleh mewarnai kehidupan sahabat-sahabat Muslim saya. Namun saat itu, keinginan untuk memeluk agama ini masih belum tiba. Sehinggalah tiba pada satu titik yang mana saya tidak dapat mengatakan tidak pada diri saya mengenai kebenaran agama ini, maka saya memutuskan untuk menjadi seorang Islam" katanya. Rasa kagumnya terhadap ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran akhirnya membuatkan Hana memutuskan untuk memeluk Islam. Tanpa menemui sebarang paksaan dan halangan, dengan hanya disaksikan oleh teman-teman Muslimahnya, Hana pun mengucapkan dua kalimah syahadah. "Menyatakan perkara tersebut kepada keluarga adalah sesuatu yang mudah. Saya tahu mereka akan gembira selagi mana saya juga gembira, dan mereka boleh melihat ianya adalah sesuatu yang baik," tuturnya.

Tajima bersama Yuna

Seperti halnya semasa Hana memutuskan untuk memeluk Islam, begitu juga keputusan untuk mengenakan hijab datang tanpa paksaan. Hana mula mengenakan hijab pada hari sama dia mengucap dua kalimah syahadah. "Ini merupakan cara terbaik bagi membezakan kehidupan saya pada masa lalu dengan kehidupan saya pada masa hadapan," ujarnya. Keputusan untuk mengenakan hijab pada masa yang sama menerima pelbagai reaksi daripada orang-orang di sekelilingnya, terutamanya kawan rapatnya. Sebelum mengenakan hijab, Hana sudah memahami fahaman negatif terhadap orang-orang yang berhijab. "Saya tahu apa yang mereka fikirkan mengenai hijab, tetapi saya akan bersikap berpura-pura tidak mengetahuinya. Namun seiring dengan masa, orang-orang di sekitar saya kini sudah boleh menerima penampilan saya dengan balutan hijab." katanya lagi. 



Dalam blog peribadinya, Hana mengakui bahawa menjadi seorang Muslimah di sebuah negara barat adalah sedikit menakutkan, terutamanya ketika semua mata di sekitarnya memandangnya dengan pandangan yang aneh. Maklum sajalah, sebahagian penduduk di negara-negara barat telah dijangkiti wabak Islamofobia. "Oleh sebab itu, saya ingin mencipta sesuatu yang akan membantu para muslimah di mana jua mereka berada untuk terus berusaha mengatasi perasaan takut itu." ujarnya. Kini, dengan busana Muslimah yang dirancangkannya, kaum Muslimah di negara-negara barat mampu tampil dengan busana yang boleh diterima oleh masyarakat di sana tanpa meninggalkan peraturan yang ditetapkan Islam. Kini fesyen busana Muslimah yang diperkenalkannya bukan saja mendapat sambutan yang hangat daripada muslimah di seluruh dunia, malah penerimaan daripada yang bukan Islam juga sangat menggalakkan.




Read more...

15 January, 2013

Patrick Teoh kecut telur beb...

Kisah bermula apabila Si Polan bernama Patrick Teoh dengan penuh keberanian mencerca dasar baharu kerajaan negeri Kedah...



Sekonyong-konyong, apabila menerima reaksi negatif daripada orang-orang Islam (atau takut dilempang atau diterajang oleh orang yang panas baran seperti Mybabah), beliau secara tergesa-gesa menarik balik "posting" yang dihantar melalui Facebook beliau yang popular itu.





Kalau kail panjang sejengkal, jangan diduga lautan yang dalam!

Read more...

Tarikh lahir Nabi s.a.w. salah...

Saban tahun kita menyambut hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. pada 12 Rabiul Awal kerana tarikh itu telah idiwartakan sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. (Maulidur Rasul) yang menjadi cuti umum di Malaysia.



Sebelum ini tidak ada pihak yang mempersoalkan tarikh tersebut. Jika ada pun, tidak ada yang ambil peduli kerana kata mereka perkara itu adalah soal remeh. Pada hakikatnya, hal ini bukan perkara kecil. Cuba bayangkan jika keluarga anda mengucapkan selamat hari lahir kepada anda pada tarikh yang lain. Kalaupun anda tidak marah, sekurang-kurang anda berasa hairan mengapa mereka berbuat demikian. Selain dari tarikh lahir, 12 Rabiul Awal juga telah diterima umum sebagai tarikh wafat Nabi s.a.w.

Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w dilahirkan pada 12 Rabiul Awal itu, walaupun masyhur, tetapi hanya berasaskan riwayat yang lemah berpunca daripada Ibnu Ishaq, seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya.

Adakah perarakan maulidur Rasul seperti ini suatu bida'ah?

Menurut ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya. Imam Nasa'i mengatakan bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan hadis itu tidak boleh menjadi hujah. Imam Abu Daud juga berkata, "Ibnu Ishaq adalah seorang yang berfahaman Qadariah dan Mu'tazilah"

Imam Sulaiman At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Sa’id Al-Qatthan dan Imam Malik mengatakan Ibnu Ishaq seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata, "Dia seorang dajal". (Mizanul I’tidal, Imam Zahabi, jld. 3, hal. 468-475). Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat ambilannya.

Melanggar "sunnah"

Pendapat yang paling sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w. ialah pada hari Isnin, 9 Rabiul Awal, Tahun Gajah. Antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin 'Aini. (Al Bidayah wa An Nihayah, jld. 2, hal. 260-261).

Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal, iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w. hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12 Rabiul Awal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan (Rabiul Awal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya.

Teruskan pembacaan di sini.

Berhubung dengan tarikh wafat Nabi Muhammad SAW pula, beberapa perkara yang telah diterima oleh ulama hadis dan sirah perlu diletakkan di hadapan untuk menentukan tarikhnya, iaitu:

• Tahun kewafatan Baginda s.a.w ialah 11H.
• Dalam bulan Rabiul Awal antara 1 hingga 12.
• Hari Isnin. (Sahih Muslim, jld. 8, hal. 51-52).
• Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada' pada 9 Zulhijah tahun ke 10H jatuh pada hari Jumaat (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll). Daripada hari itu (wuquf) sampai ke hari wafatnya Nabi Muhammad s.a.w adalah 81 hari (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, At Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j. 11 hal. 139, Tafsir Baghawi, Fathul Bari).

Berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah diterima oleh para ulama tadi, maka boleh diandaikan tarikh kewafatan Baginda s.a.w seperti yang berikut:
• Diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijah, Muharram dan Safar mempunyai 30 hari (walaupun tidak pernah berlaku begitu tetapi diandaikan mungkin juga berlaku) maka hari Isnin menepati 6 atau 13hb. Rabiul Awal.
• Jika diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijah, Muharram dan Safar mempunyai 29 hari (walaupun ini juga tidak pernah berlaku) maka hari Isnin menepati 2, 9 atau 16hb. Rabiul Awal. Daripada kenyataan-kenyataan yang disebut di atas, tarikh yang lebih tepat bagi kewafatan Nabi SAW ialah pada hari Isnin 1hb. Rabiul Awal tahun 11H bersamaan dengan 25hb. Mei 632M.

Wallahu 'alam.

(Dipetik daripada Siri Risalah Suluhan terbitan Darul Quran Was Sunnah dengan sedikit pindaan).




Mari sayang Nabi s.a.w. dengan membetulkan semua fakta mengenai baginda!
Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...