18 February, 2010

Aku Pemburu Jin 6


Setiap sesuatu perlu dipelajari, begitu juga ilmu berkaitan dengan jin. Tidak semestinya dengan pandai membaca al-Qur'an, anda sudah boleh diiktiraf sebagai seorang yang arif dalam hal ini. Anda juga belum boleh dinobatkan sebagai Pemburu Jin hanya sekadar anda pernah mengimamkan solat waktu di masjid atau  di surau atau biasa menjadi khatib ketika solat Jumaat. Untuk membolehkan anda memburu jin, syarat ketiga di bawah perlu dipenuhi.



Syarat Ketiga: Mengetahui teknik berhadapan dengan syaitan dan jin jahat.
Teknik bertempur dengan syaitan dan jin jahat perlu dipelajari. Seorang muallim, al-hafiz, ustaz, imam, bilal dan lain-lain tidak semestinya mampu berhadapan dengan syaitan dan jin tanpa ilmu pengetahuan yang mencukupi dalam hal ini. Seperti memburu binatang liar di hutan, teknik-teknik pemburuan dan pertempuran perlu dipelajari. Saya secara peribadi berpendapat bahawa "pemburu jin" boleh menjadi satu profesion jika dipelajari secara bersungguh-sungguh, seperti doktor-doktor perubatan moden.


Kita membaca pelbagai teknik digunakan oleh orang-orang terdahulu ketika berhadapan dengan gangguan syaitan dan jin, antaranya:

i. Teknik yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. yang meludah sebanyak tiga kali ke dalam mulut seorang budak yang diganggu jin.
ii. Kisah Imam Ahmad. Ketika itu beliau sedang duduk di masjid. Tiba-tiba datang seorang teman dari istana Khalifah Al-Mutawakkil dan berkata:  "Di rumah Amirul Mukminin ada seorang jariah sedang dirasuk jin. Beliau mengutuskan saya kepada tuan agar sudi berdoa kepada Allah supaya dia sihat semula". Imam Ahmad memberikan sepasang selipar yang terbuat daripada kayu kepadanya dan berkata: "Engkau pergi ke rumah Amirul Mukminin, duduklah dekat kepada jariah dan kata kepada jin itu: "Imam Ahmad berkata kepadamu, yang mana satu yang engkau suka; keluar dari jariah ini atau dipukul dengan selipar ini tujuh puluh kali". Selepas kembali kepada jariah dan membuat apa-apa yang dipesan oleh Imam Ahmad, jin itu berkata: "Aku mendengar dan taat kepada Imam Ahmad. Sekiranya beliau memerintahkan aku keluar dari negeri Iraq ini, tentu aku akan keluar darinya kerana beliau seorang yang taat kepada Allah, sedangkan barang siapa yang mentaati Allah, dia akan ditaati segala sesuatu". Jin segera keluar.

Bersambung 









Read more...

17 February, 2010

AWAS!


Jika tiada kekuatan jasmani, jangan bersikap terlalu berani;
Jika tiada kekuatan rohani, usah berlagak meninggi diri.

Lebih baik menyimpan wang membeli rumah;
Daripada habis membela anda di mahkamah. 

 Gambar sumbangan Daud Mili

Pesanan ikhlas daripada babah yang lebih takut pada Allah...











Read more...

16 February, 2010

Aku Pemburu Jin 5



Setelah memenuhi syarat pertama, syarat kedua rasanya lebih berat. Itulah sebabnya mengapa saya agak kurang yakin bahawa seseorang wanita boleh menjadi Pemburu Jin. Namun begitu, tiada yang MUSTAHIL dalam hidup ini.




Syarat Kedua: Mempunyai sikap "membujur lalu, melintang patah", "berani kerana benar" dan  "benci pada kemungkaran".
Walaupun ada sedikit perasaan gentar di hati, pantang sekali perasaan itu terpancar pada wajah . Ingatlah, hanya Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui isi hati dan perasaan manusia. Hatta, malaikat Raqib dan Atid pun tidak mengetahui niat yang tersimpan di dada manusia. Kedua-dua malaikat itu hanya mula mencatat baik buruk amalan manusia hanya selepas amalan itu dilakukan.  Jika begitu, apalah kelebihan yang ada pada jin dan syaitan. Jika anda takut sekali pun, jin dan syaitan tidak mengetahuinya, melainkan anda menggigil ketakutan, lari bertempiaran dan terkencing dalam celana (seluar). Syaitan dan jin tidak mengetahui kewafatan Nabi Allah Sulaiman sehingga patah tongkatnya yang reput dimakan anai-anai.  Oleh itu, sikap garang, tubuh badan yang tegap, suara yang tinggi dengan tempikan dan sifat-sifat keberanian lain (walaupun di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu) merupakan antara aset penting untuk menjadi Pemburu Jin yang hebat.




Syarat kedua yang saya tetapkan di atas diperteguh dengan dalil-dalil di bawah:

i. "Kemudian Kami tundukkan kepadanya (Nabi Sulaiman) angin yang berhembus dengan baik menurut ke mana sahaja yang dikehendakinya, dan (Kami tundukkan pula kepadanya) syaitan-syaitan semuanya pakar binaan dan penyelam. Dan syaitan yang lain ada yang diikat dalam belenggu" (As-Shad: ayat 36-38);

ii. Sabda Rasulullah s.a.w. kepada Saidina Umar r.a. :"Sesungguhnya syaitan betul-betul lari daripada engkau wahai Umar!" (Riwayat Imam Ahmad, Turmizi dan Ibnu Hibban);

iii. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya saya betul-betul melihat syaitan-syaitan jin dan manusia lari bertempiaran daripada Umar" (Riwayat Turmizi dengan Isnad Sahih); dan

iv. Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya orang mukmin itu dapat mengheret syaitannya sebagaimana salah seorang daripada kamu mengheret untanya dalam perjalanan" (Riwayat Iman Ahmad).

v. Seorang sahabat bernama Ya'la bin Murrah menceritakan pengalamannya bersama Rasulullah s.a.w., katanya: "Aku melihat Rasulullah s.a.w tiga kali yang orang lain tidak melihatnya sebelumku, juga tak seorang pun melihatnya sesudahku. Aku keluar bersama baginda dalam satu perjalanan. Apabila sampai di tengah jalan, kami melewati seorang perempuan sedang duduk bersama anaknya. Perempuan itu berkata: " Wahai Rasulullah, anakku ini terkena bala', dan aku juga terkena bala' daripadanya. Pada hari ini sahaja, entah beberapa kali, aku tidak tahu". Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bawa kemari". Perempuan itu pun mengangkat anaknya kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda mendudukkan di antaranya dengan tengah kenderaan. Kemudian membuka mulutnya dan meludah tiga kali, lalu baginda bersabda: "Dengan nama Allah, Aku hamba Allah, aku menghalau wahai musuh Allah". Rasulullah s.a.w. dapat menghalau jin itu dengan amaran, tengkingan dan kutukan, tetapi ini tidak cukup. Sesungguhnya kerana kekuatan, keyakinan dan hubungan baiknya dengan Allah mempunyai pengaruh yang besar.

Bersambung...













Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...