05 February, 2010

Aku Pemburu Jin 2


Makluman: Aku terpaksa menangguhkan sambungan entri yang lalu kerana terpanggil untuk menjawab pelbagai persoalan yang bermain di minda beberapa sahabat blogger, lebih-lebih bagi menangkis tohmahan Si Polan yang berbicara sombong, kosong tanpa ilmu.

Ramai yang sudah banyak termakan cokelat ini...

Sebentar tadi aku didatangi sahabat lama, Abdul Hakim namanya. Usia Hakim lebih 300 tahun (anggaran beliau sendiri), tetapi masih remaja dalam dimensi masa manusia. Aku yakini perkara ini kerana Allah memaklumkan kepada kita semua "Demi masa, sesungguh manusia itu dalam kerugian...". Dalam hal ini, Allah tidak menyebut Jin, bukan kerana Allah lupa, tetapi bagiku Jin tidak relevan jika dikaitkan dengan masa. Usia mereka panjang-panjang belaka. Mereka juga bergerak pantas dari satu tempat ke satu tempat. Tidak seperti kita, yang senantiasa rugi dari segi masa (contoh:  masa yang terbuang akibat kesesakan jalan raya pada waktu pagi). Umur manusia pula, secara relatifnya pendek. Tidak cukup untuk beribadat mensyukuri nikmat yang kurniakan Allah kepada mereka. Walaupun begitu, kecenderungan manusia lebih kepada melakukan hal-hal yang sia-sia.

 
Dan demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian... 
 
Abdul Hakim fasih mengucapkan dua kalimah syahadah, "jarang" meninggalkan solat dan agak "tartil" apabila membaca al-Qur'an.

Abdul Hakim: Assalamualaikum Abang.

Babah: Waalaikumsalam. Hakim ke?
(kadang kala aku geram juga apabila dia memanggil aku Abang, sedangkan usianya jauh lebih tua daripada aku)

Abdul Hakim: Mengapa nampak sedih sahaja Abang ni?

Babah: Abang sedang sedih dan bengang dengan apa yang berlaku di mahkamah tinggi dua tiga hari ini. Semuanya berpunca daripada Si Bahlol yang cuba membahlolkan orang lain. Hakim boleh buat sesuatu tak?

Abdul Hakim: Tak berani saya Abang. Diaorang punya kawan-kawan yang hebat. Kita berdoa sahajalah memohon Allah melindungi sahabat Abang itu daripada fitnah yang berterusan. Kalau abang mahu, saya boleh cuba.

Babah: Tak usahlah. Bahaya tu. Hakim, boleh Abang tanya sikit tak?

Abdul Hakim: Apa dia Abang?

Babah: Ada "orang" kata, kami orang Islam haram berkawan dengan golongan Jin seperti awak.  

Abdul Hakim: Cis, celaka orang itu! Beritahu saya, biar saya pergi cungkil mata mereka.

Nota: Aku faham sangat dengan perangai Hakim yang panas baran yang sesuai dengan asal kejadiannya dari angin api seperti firman Allah dalam surah al-Hijr: ayat 26-27:

"Dan sesungguhnya Kami telah mencipta manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma"

Babah: Sabarlah Hakim. Abang akan tetap berkawan dengan Hakim meskipun ada "ulama" dalam kalangan mereka mengharamkan kami berkawan dengan Hakim. Abang teringat empat ayat di dalam surah Al-Jin: ayat 1-4:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah kitab suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!"

"Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu Kami beriman kepadaNya, dan Kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami"

"Dan (ketahuilah wahai kaum kami!) Bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau beranak"

"Dan (dengan ajaran Al-Quran nyatalah) bahawa sesungguhnya: (ketua) yang kurang akal pertimbangannya daripada kalangan kita telah mengatakan terhadap Allah kata-kata yang melampaui kebenaran"

Abdul Hakim: Terima kasih Abang. Orang itu memang bahlol. Sedangkan apa yang mungkin dimaksudkan oleh ulama itu ialah berkawan dengan jin jahat (syaitan) adalah haram, begitu juga dengan manusia jahat (syaitan), seperti firman Allah dalam surah al-An'am: ayat 112:

"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu"

Babah: Betul kata Hakim. Satu lagi, lebih teruk daripada itu, ada kawan-kawan Abang berkata kononnya Nabi s.a.w. berkata "sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin". 

Abdul Hakim: Masya-Allah. Ini lagi celaka! Betul-betul menghina kami. Tidakkah sejahat-jahat manusia ialah orang yang syirik kepada Allah, sedangkan kami beriman. Sejahat-jahat manusia ada yang merogol anak sendiri, sedangkan kami menjaga anak-anak kami seperti menatang minyak yang penuh. Sejahat-jahat manusia....(Abdul Hakim terus merungut...). Beritahulah saya siapa yang menghina kami sampai begitu sekali. Biar saya penggal kepala dia.

Babah:  Jangan marah kepada mereka kerana mereka semua masih jahil. Sudahlah. Nanti Abang minta mereka memohon maaf kepada awak. Jika tidak, Abang janji Abang akan berikan nama mereka kepada awak. Sebenarnya Abang lagi sedih kerana orang-orang yang jahil ini mendustai Nabi s.a.w. dengan mengatakan bahawa "sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin". Mereka berani mendustai kekasih Allah.

Abdul Hakim: Saya betul-betul marah ni Abang. Beritahu saya siapa yang berkata begitu?

Babah: Nantilah...

Nota: Jangan risau, jin tidak pandai membaca. 

Abdul Hakim: Abang janji ya!

Babah: Baiklah. Hakim baliklah dulu, Abang nak bersolat dan tidur.Hari sudah larut malam.

Abdul Hakim: Saya balik dulu. Assalamulaikum.

Babah: Waalaikumsalam.












Read more...

04 February, 2010

Aku Pemburu Jin...


Perhatian: Pembaca dinasihati supaya membaca dan memahami dengan teliti entri ini dan entri-entri seterusnya. Tanpa pemahaman dan penelitian yang jitu anda mungkin dirasuk jin.

Selama enam tahun aku memburu jin yang nakal, seperti anggota polis memburu para penjenayah yang keras kepala. Seperti manusia, dalam kalangan jin juga ada golongan haprak yang perlu dijentik telinga mereka yang runcing itu supaya mereka sedar betapa mereka bukanlah sehebat mana...


Jin merupakan salah satu makhluk yang dijadikan Allah seperti manusia, flora dan fauna, gunung-ganang, bakteria, haiwan, bintang di langit dan lain-lain. Anehnya, jin tidak pernah mendapat perhatian manusia untuk dikaji sedangkan makhluk-makhluk lain diselidik sehingga ke akar umbi.  Lebih malang lagi, orang Islam menganggap jin musuh mereka, sedangkan Allah tidak pernah merestui tanggapan itu. Hal ini saling tak tumpah dengan tanggapan orang Islam kepada khinzir yang dijadikan musuh, sedangkan Allah hanya melarang memakan daging haiwan itu.


Jin tidak semestinya syaitan, tetapi syaitan wujud dalam kalangan jin. Allah senantiasa menyuruh kita berlindung dengan-Nya daripada syaitan yang direjam - bukan jin. Allah tidak pernah menyuruh kita memusuhi jin, tetapi ramai "ulama" menyesatkan orang yang berbaik-baik dengan jin. Mereka lupa bahawa Nabi Allah Sulaiman mempunyai ribuan@jutaan kawan-kawan dalam kalangan jin.


Adakah disebabkan oleh nila setitik habis susu sebelanga atau seperti kerbau terpalit lumpur, habis terpalit kerbau sekandang? Adakah wajar seorang dua manusia dirasuk jin, kesemua makhluk jin patut dibenci?

Bersambung...


  









Entri akan datang:
Bila menjadi "dukun" jatuh wajib ke atas diri anda? 
Babah mengubati Allahyarham Sudirman
Babah menyelamatkan rakan sejawat daripada terjun dari tingkat 12 sebuah bangunan

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai"
Surah Al-A'raf: Ayat 179 



Read more...

31 January, 2010

Isteri melamar untukku...


 "Semoga berbahagia" kata arwah emak dengan nada sinis, sambil bangun menuju ke bilik dan menghempas daun pintu dengan kuat. Arwah emak begitu marah apabila isteriku meluahkan hasratnya untuk meminangkan untukku seorang gadis bekas pengikut Arqam, Norlaila namanya. Emak antipoligami. Abah pun tidak bersetuju, tetapi abah tidak melenting seperti emak.Yang pasti mak dan abah tidak merestui hasrat itu.

Norlaila (bukan nama sebenar) berpurdah seperti ini.

Kami mengenali Norlaila kerana si gadis itu selalu berkunjung ke kedai kami. Lama kelamaan  hubungan isteriku dan Norlaila menjadi akrab. Menurut isteriku, Norlaila memang cantik, kulitnya putih mulus. Cun kata orang sekarang. Aku tidak pernah melihat wajahnya walau sepicing pun, kerana terlindung dik purdah. Berapa kali aku cuba menjeling  dan mengintai wajah di sebalik purdah itu, tetapi gagal. Semasa kami membawa si gadis genit makan di luar pun, aku masih tidak dapat mengintai wajahnya kerana dia menyuap makanan melalui bawah jilbab.

  Cinta Kecil?

Aku pernah membawa Norlaila berjalan-jalan, bersama-sama mahram, iaitu anak-anakku. Semasa sedang berdua, aku bertanya, apakah perasaan awak kepada saya. Dia menjawab dengan tersipu, "suka". Selang beberapa minggu selepas itu, isteriku meneruskan hasratnya melamar Norlaila. Aku menunggu di rumah. Norlaila bersetuju. Mana lelaki yang tidak memberi reaksi positif jika mengalami peristiwa yang semacam ini. Menurut isteriku, tidurku  setiap malam selepas hari itu sangat nyenyak dan senyum meleret-leret di muka. Kononnya, pada pandangan isteriku, aku seronok. Hakikatnya, perasaanku bercampur baur dan lebih cenderung pada kekhuatiran. Siapa yang tidak khuatir? Aku benar-benar khuatir rumah tangga bahagia yang kami bina bersama akan hancur musnah dengan kehadiran orang ketiga. Selepas hari itu, kami tidak henti-henti menunaikan solat hajat berjamaah, memohon petunjuk Allah. Akhirnya...



Allah menghantar bala tenteranya memberitahu kami siapakah gadis di sebalik purdah itu. Tanpa pertolongan Allah, mustahil kami dapat mengetahui sejarah lampau si gadis Ketereh, Kelantan ini. Tidak payahlah dihuraikan apa yang telah berlaku. Yang pasti, setelah peristiwa tersebut, isteriku tidak berani lagi menawarkan peluang kedua kepadaku untuk beristeri. Aku tak kisah kerana bagiku isteriku sudah hampir sempurna dalam serba serbi.


Luahan Hati Babah:
Cerita di atas adalah antara beberapa cebis kisah hidup yang pernah babah lalui. Bagi babah, isteri babah memang hebat dan sangat berani ketika itu. Katanya "apa salahnya kebahagiaan kita dikongsi bersama-bersama orang lain". Hati babah yang naik kecut dibuatnya. Perasaan bercampur baur antara seronok nak berkahwin lagi dan takut kebahagiaan yang ada musnah bak kata orang tua-tua "yang dikejar tak dapat, yang dijinjing berciciran". Selama hampir 23 tahun kami berkahwin tidak pernah kami merasa tidak bahagia. Allah mengasihi keluarga kami. Kepadamu wahai isteriku, inginku katakan, seandainya kau tidak berbuat syirik kepada Tuhanmu, aku pasti yang menantimu di akhirat ialah syurga firdaus, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai... Amin...







Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...