06 January, 2010

Kaki...


Mengapa pejalan kaki perlu ada kaki (pejalan kaki), sedangkan pelari tidak perlu kaki? Seperti berjalan, berlari juga menggunakan kaki. Dalam Kamus Dewan Edisi ke-4, Pedestrian bermaksud pejalan kaki. Jika perkataan kaki tidak relevan, buang sahajalah, seperti kita membuang kaki dalam ukuran metrik. Ukuran kaki digantikan dengan meter.


Pejalan @ pejalan kaki


Lucu dan salah

Football pula tidak dipanggil bola kaki, sebaliknya bola sepak. Foot bermakna kaki. Ke mana perginya kaki? Kaki bola lain pula maksudnya...



Siapa pernah melihat kaki gunung atau kaki langit? Gunung dan langit ada berapa kaki?



Apa pula maknanya siar kaki? Sila lihat papan tanda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di bawah. Dahulu laluan jalan kaki dipanggil orang kaki lima (five foot way, pavement, sidewalk) dan digantikan pula dengan siar kaki. Walau bagaimanapun, istilah kaki lima masih kerap digunakan. Timbul pula persoalan, mengapa kaki lima, tidak kaki enam, kaki tujuh atau kaki lapan?


Siar kaki jarang didengar dan salah dieja

Apabila kaki ditambah imbuhan “meng”, perkataan itu menjadi “mengaki”. Tahukah anda apakah makna mengaki? Mengaki bermaksud menurut segala perintah, mengabdi, patuh. Contoh ayat: Betapa samsengnya ia, tunduk mengaki juga kepada anggota polis.


Meskipun betina merupakan panggil untuk haiwan, tetapi kaki betina ialah orang

Makna lain bagi kaki:

1. Bahagian (sebagai penyangga atau penopang) tempat sesuatu benda berdiri: ~ kerusi; ~ meja;

2. Bahagian yang di sebelah bawah sesuatu; ~ gunung bahagian bawah gunung; ~ kain bahagian kain sarung yang di sebelah bawah; ~ langit bahagian langit yang kelihatan seperti bertemu dengan permukaan laut atau bumi; ~ seluar bahagian seluar yang menyelubungi kaki (apabila dipakai);

3. Penjodoh bilangan bagi beberapa jenis benda: se~ bunga; se~ payung; se~ kunyit;

4. Ukuran panjang yang sama dengan 12 inci atau 30 sentimeter: kira-kira satu ~ setengah tingginya;

5. Orang yang suka melakukan sesuatu: ~ arak; ~ pancing; ~ arak orang yang suka minum arak; ~ bajang tiang yang beralaskan batu dll yang lebar; ~ bangkang orang yang sering menentang atau tidak bersetuju dengan pandangan, pendapat dsb orang lain; ~ bangku (orang yang) tidak pandai bermain (menyepak) bola; ~ botol, kaki arak, kaki tunggang orang yang suka minum minuman keras; ~ buli orang yang suka menyakiti, menganiayai atau menakuti orang yang lemah (untuk membuat sesuatu); ~ butang benang penjahit yang dililitkan di bawah butang yang dikenakan pada baju dll; ~ gaduh (orang yang) suka bergaduh; ~ hutan tepi (pinggir) hutan; ~ judi (orang yang) suka berjudi; ~ lima a) lantai di antara depan (deretan) kedai atau rumah dengan tepi jalan; b) lantai yang beratap yang menghubungkan dua buah rumah; ~ (meng)umpat orang yang suka mengumpat; ~ pancing orang yang suka dan biasanya pandai memancing.

6. Perumpamaan: ~ papan unit ukuran papan gergaji (dengan dimensi satu kaki panjang, satu kaki lebar, dan satu inci tebal); ~ perempuan orang yang suka main perempuan; ~ seribu lari kerana ketakutan, langkah seribu; ~ telanjang kaki yang tidak berkasut; ~ tengkar orang yang suka bertengkar; ~ tiga penopang kamera dll, tripod; ~ tiung padi yang hampir masak; ~ naik, kepala turun prb tidak berhenti-henti bekerja utk mencari rezeki; ~ pekuk lenggang ke perut prb orang yg hodoh; ~ sudah terlangkahkan, tangan sudah terjembakan Mn, prb sudah melakukan kesalahan; berjalan peliharakan ~, berkata peliharakan lidah prb berhati-hati apabila melakukan atau memperkatakan sesuatu; cepat ~ ringan tangan prb sangat cekap dan suka menolong; naik basuh ~ sahaja prb mendapat sesuatu dgn mudah sahaja; terikat ~ tangan prb tidak bebas atau tidak berkuasa (lagi).


Kaki tidur...

Read more...

05 January, 2010

Bola Golek...


Salah satu aktiviti riadah keluarga yang popular ialah permainan boling. Selain daripada selamat, boling dimainkan dalam keadaan santai dan selesa. Istilah boling diambil daripada perkataan Inggeris  “bowling”.  Secara kebetulan, kata nama itu seakan-akan terhasil daripada kata gabungan antara perkataan bola dan guling. Dalam bahasa Melayu, permainan ini juga digelar bola golek.



Keseronokan bermain boling terserlah apabila kesemua barisan “pin” dapat dijatuhkan sekali gus dalam satu golekan bola.  Ini dinamakan “strike”.

Satu keadaan lain yang menggeletek hati ialah apabila bola yang dilontar bergolek masuk ke dalam longkang di sisi “track” boling.



Namun...
Semua itu hanya tanggapan lampau. Kini, tanggapan itu telah berubah setelah melihat gambar di bawah:




Tak sanggup tengok...



Kamus bahasa Melayu:
1. Riadah bermaksud: 1. gerak badan, senaman; 2. segala kegiatan yg dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan badan dan fikiran (seperti bersenam, bermain, dsb), rekreasi.
2. Tanggapan: apa yang diterima oleh pancaindera, gambaran (bayangan) dalam hati, cerapan.


Read more...

03 January, 2010

Jangan Terjebak...


Kenaikan harga gula menyambut kita di gerbang sambutan tahun baharu 2010. Ini akan disusuli dengan kenaikan harga petrol (maklumat ini masih bertaraf desas-desus atau khabar-khabar angin) dan harga barang-barang lain yang menggunakan gula atau petrol sebagai input pengeluaran barangan tersebut. Natijahnya, harga umum akan meningkat dan kos hidup juga akan turut melonjak.


Semua ini akan menyusahkan hidup kita yang sedia susah, iaitu  kesusahan yang diwarisi dari tahun 2009 atau tahun-tahun sebelumnya.


Jika kita sedar akan hakikat ini, maka kita akan lebih berhati-hati dalam segala tindak tanduk dan cuba mengelakkan hidup lebih terhimpit dan menjadi lebih "miskin", seperti terjebak dalam pelbagai bentuk penipuan, antaranya penipuan kewangan...




Penipuan di mesin teler automatik (ATM) yang berlaku di banyak tempat baru-baru ini merupakan antara bentuk penipuan terkini dan berupaya membuatkan anda tidak tidur lena untuk satu jangka masa yang panjang. Bagaimana penipuan ini berlaku?



Kronologi kejadian:
1. Mangsa berbaju kuning. Suspek A bertopi berbaju belang. Suspek B bertopi berbaju kelabu.
2. Suspek B mengintai nombor pin mangsa.
3. Suspek A memberi isyarat kepada suspek B.
4. Suspek B menabur beberapa keping duit kertas.
5. Suspek A menegur mangsa dan memberitahu bahawa duit mangsa tercicir.
6. Suspek B menukar kad ATM mangsa.
7. Mangsa terpedaya dengan helah mereka.
8. Suspek C cuba menarik perhatian pelanggan lain.
9. Suspek B bergerak ke mesin ATM yang lain, sementara mangsa masih mengutip duitnya yang disangka tercicir.
10. Suspek B mencuba kad ATM yang baharu ditukar (milik mangsa).
11. Mangsa yang tidak sedar pergi meninggalkan bank.
12. Suspek B dan suspek C berjaya mengeluarkan duit mangsa.


Penipuan pelaburan merupakan satu lagi bentuk jenayah kewangan yang sedang berlaku secara berleluasa dan berskala lebih besar, berbanding dengan penipuan ATM.  Penipuan ini bukan sahaja boleh membuatkan anda tidak tidur lena pada malam hari, malah anda akan mengalami trauma yang berpanjangan dan sering terkejut daripada tidur (seperti orang yang dirasuk syaitan).  Di bawah ini disenaraikan nama-nama syarikat penjenayah yang telah mengambil deposit secara haram daripada orang ramai. Sila lihat satu persatu di sini. Mungkin anda juga sudah terjebak dalam salah satu syarikat yang tersenarai...




Asia Ceramic Marketing Sdn Bhd
Etika Emas Estet Sdn Bhd
Genneva Sdn Bhd
Bestino Group Berhad
AK United Sdn Bhd
Dinari Capital Sdn Bhd
myDNA International Sdn Bhd
E-Eagle Sdn Bhd
Walton International Property Group (M) Sdn Bhd
Gemilang Mirza Sdn. Bhd
Buluhmas Enterprise Sdn. Bhd
Noradz Travel & Services Sdn.  Bhd
Jazmeen (M) Sdn. Bhd
Eastana Farm Industries Sdn. Bhd
Reed Corporation Sdn Bhd
Sigma Platinum Sdn Bhd
Wisdom Spectrum Sdn Bhd
Maxficient Consultancy Sdn Bhd
Practical Support Sdn Bhd
Pan Phoenix Dina Sdn. Bhd
Sunshine Empire Sdn Bhd
Mercantile Point Sdn Bhd
AB Fund
G-Gold Gallery Sdn Bhd


Selain itu, terdapat juga penipuan atau jenayah kewangan lain yang perlu anda elakkan, seperti jenayah pelaburan yang melanggar Akta Suruhanjaya Sekuriti dan Akta Jualan Langsung. Kedua-duanya boleh dirujuk di sini dan di sini.

Pesan Babah:
Bagi penipuan di ATM, anda hendaklah sentiasa berwaspada terhadap orang yang tidak dikenali yang berada di sekitar kawasan ATM. Bagi golongan wanita, mintalah suami atau abang menemani anda apabila anda  berhasrat untuk mengeluarkan wang di mesin ATM.  Cuba elakkan daripada melakukan transaksi perbankan pada waktu malam.

Bagi penipuan berskala besar, seperti "Skim Cepat Papa" (bukan "Skim Cepat Kaya"), ingatlah tidak ada di  dunia ini perniagaan yang sangat mudah memperoleh keuntungan yang besar dalam sekelip mata. Elakkan segala bentuk tawaran yang terlalu istimewa, iaitu dalam istilah bahasa Inggerisnya, "too good to be true". Melaburlah di syarikat-syarikat berlesen, dengan mengesahkan terlebih dahulu lesen-lesen syarikat berkenaan dengan pihak-pihak berkuasa, seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.





Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...