17 December, 2009

Kawan Karibku Murtad


Pengalaman saya di bawah ini boleh dijadikan iktibar oleh kawan-kawan sempena  sambutan Maal Hijrah 1431 ini.



Saya mengenali Abang Mat lebih lima tahun yang lalu.  Kami merupakan rakan kongsi dalam kegiatan penterjemahan.  Abang Mat sememangnya cukup arif dan berpengalaman dalam bidang ini dan beliau amat dikenali dalam kalangan para penterjemah tanah air. Beliau merupakan penterjemah sepenuh masa dan bergantung hidup pada usaha yang agak "mewah" ini. Klik di sini jika kurang yakin.

Hubungan persahabatan kami berputik apabila saya memberi komen yang menghina hasil karya terjemahan beliau.  Cara begini biasa saya gunakan untuk mendapat perhatian seseorang.  Tetapi awas, anda perlu ada kehebatan untuk berbuat demikian.  Maksudnya, ada perlu cukup kekuatan dari segi ilmu dan jati diri sebelum menggunakan teknik "melampau" ini.

Bermula detik itu, kami selalu berhubung antara satu sama lain dan menjadi semakin akrab apabila kami mula berkongsi "projek".  Beliau kata (bukan saya kata) saya hebat dan berbakat dalam bidang penterjemahan, khususnya dalam laras perbankan dan kewangan. Saya tidak berasa begitu, sehingga suatu hari beliau tergetar-getar menelefon saya bertanyakan sama ada saya boleh membantu beliau menterjemah laporan tahunan sebuah syarikat swasta ternama. Katanya, tanpa saya, beliau akan menolak tawaran itu.  Wow, saya rasa cukup hebat! Itu satu motivasi  yang paling terkesan di jiwa saya.

Abang Mat memang baik.  Bertutur lembut dan teratur.  Kami sering ke masjid bersama-sama.  Semasa ibu saya meninggal dunia pada tahun 2006, beliau adalah antara kawan yang terawal muncul memberikan takziah dan mengiringi jenazah ibu ke tempat persemadian. Beliau sempat menyudahkan pembacaan Surah Yasin di atas kuburan ibu. Abang Mat memang prihatin dan peka.  Satu ketika saya menerima satu pesanan ringkas (SMS) daripada beliau berbunyi "Salam Din, saya baru memasukkan duit sebanyak RM3,000 ke dalam akaun awak.  Duit itu untuk anak awak yang akan masuk ke universiti tidak lama lagi, jangan guna untuk perkara lain".  Saya kaget, tetapi cuba berbuat selamba. SMS dibalas ringkas, "TQ bang".  Banyak lagi kebaikan beliau kepada saya yang tidak dapat disebutkan satu per satu di sini, takut nanti meleret-leret pula.

Awal tahun lepas, kawan rapat kami yang seorang lagi datang bertemu saya dan berbisik kepada saya, "Din, Abang Mat sudah keluar Islam.  Dia pesan suruh beritahu engkau. Dia tidak sanggup beritahu sendiri.  Bukan baharu, tetapi lama dulu.  Sejak tahun 1998 lagi.  Sekarang ini dia sudah pun menjadi Paderi. Setiap Ahad beri khutbah di Gereja". Saya terdiam. Lidah kelu. Otak buntu.  Masya-Allah...

Saya ambil telefon dan hantar SMS kepada kawan-kawan bergelar ustaz yang saya kenali untuk meminta pandangan mereka apa yang perlu saya buat.  Semuanya memberi respons "Putuskan hubungan".  Saya balas "Mana boleh ustaz.  Sayalah sekerat dua kawan dia yang Islam.  Yang lain-lain, China, India dan Mat Saleh. Nanti siapa nak bawa dia ke pangkal jalan".  Sekonyong-konyong Ustaz menarik balik fatwa, "Berkawanlah baik-baik Din.  Tetapi ingat, jangan kau terpesong pula".

Saya pulang ke rumah lalu mengambil buku Ahmed Deedat "The Choice, Islam and Christianity, Volume I"  yang saya beli beberapa tahun lalu dan saya tulis nota di dalamnya, "Abang Mat,  saya mohon abang baca buku ini dengan hati yang terbuka. Mungkin ia bermanfaat untuk abang.  Kita bersaudara bang, tetapi persaudaraan itu tidak seperti dahulu kerana kini ia menjadi janggal dan tidak semurni persaudaraan sesama Islam".



Sampai sekarang, buku bersama nota itu masih dalam simpanan saya kerana belum ada masa yang  paling sesuai untuk saya serahkan buku tersebut kepada beliau. Kami tidak pernah berbincang tentang perkara ini dalam setiap pertemuan dan beliau senantiasa mengelak untuk berbicara tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan agama.  Maal Hijrah 1431 ini, usia Abang Mat menjangkau 57 tahun.  Semoga Allah mengasihani beliau kembali dan melontarkan semula cahaya iman di lubuk hati Abang Mat....

Pesanan Babah: 
Abang Mat (bukan nama sebenar) murtad atas pengakuannya.  Tetapi sebahagian daripada kita tidak sedar betapa kita juga terdedah pada fenomena itu kerana kejahilan kita.  Ramai yang tergelincir akidah daripada landasan iman dan Islam, tanpa disedari, melalui pertuturan dan perbuatan. Justeru, awasilah perlakuan dan pertuturan. Teruskan memperdalam ilmu dan jadikan ucapan taubat sebagai wirid yang senantiasa bermain di bibir. Wallahualam.



Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami dan terimalah taubat kami...


Read more...

13 December, 2009

Sehari Selembar Benang 14


Dalam siri Selembar Benang kali ini, saya ingin mengulas serba sedikit tentang beberapa penggunaan bahasa Melayu di papan-papan tanda iklan yang terpampang di jalan-jalan raya sepanjang perjalanan saya ke utara tanah air baru-baru ini.  Saya memilih tiga iklan yang menarik untuk dijadikan contoh, seperti yang di bawah ini:

1. P1 Wimax: Rangkaian Broadband Wayarles Terpantas
Ulasan:
Dari segi penulisan, jika sesuatu perkataan itu masih belum lagi mempunyai istilah yang persis, perkataan itu boleh dieja mengikut ejaan bahasa sumber tetapi ditulis condong (italik).  Tetapi, jika perkataan tersebut telah mempunyai istilah yang mantap (diketahui umum) dan diiktiraf oleh DBP, maka istilah yang terdapat pada daftar istilah DBP perlulah diikuti.  Oleh itu, penggunaan perkataan broadband yang diitalikkan meskipun betul dari segi penulisan, istilah jalur lebar adalah lebih tepat digunakan. Namun, dari segi pengiklanan, hal-hal begini selalu diabaikan. Kononnya, penjimatan kata dapat menjimatkan ruang seterusnya dapat menjimatkan kos. Mengenai istilah wayarles pula, perkataan ini telah diiktiraf oleh DBP.  Istilah lain bagi wayarless ialah tanpa dawai bukan tanpa wayar.

2. MOA: Pitaya
Ulasan:
Istilah dragon fruit yang diguna pakai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) ialah Pitaya.  Istilah ini masih belum terdapat dalam Kamus Dewan atau daftar istilah pertanian.  Begitu juga dengan istilah buah naga, meskipun istilah ini telah lama digunakan sebagai nama Melayu bagi dragon fruit, tetapi hingga ke saat ini ia kekal sebagai nama julukan (bukan jolokan) sahaja.




3. Sharp: Tajam & Jelas
Ulasan:
Istilah sharp dalam laras foto ialah tajam (dalam fokus). Walau bagaimanapun, untuk iklan ini istilah tajam tidak sesuai digunakan kerana perkataan tajam perlu dikaitkan dengan fokus, seperti fokus yang tajam dan jelas bagi televisyen berjenama Sharp.  Tanpa perkataan fokus, iklan itu kelihatan janggal, melainkan syarikat tersebut ingin membuat gimik untuk mengaitkan tajam dengan pedang samurai yang dipegang oleh wanita Jepun berkimono yang terdapat pada iklan itu. Sekiranya wanita dan pedang samurai itu tidak termasuk dalam iklan papan tanda ini, slogan "tajam & jelas" mungkin perlu ditukar kepada "terang & jelas".




Sambungan Selembar Benang

Stesyen vs stesen
Ejaan Melayu yang betul bagi perkataan bahasa Inggeris station ialah stesen bukan stesyen.  Begitu juga dengan perkataan commission yang dieja komisen bukan komisyen (istilah lain: pesuruhjaya). Tetapi ejaan Melayu bagi istilah television ialah televisyen, manakala bagi istilah profession pula ialah profesion.

Tusyen vs tuisyen vs tiusyen
Ejaan bahasa Melayu yang betul bagi tuition ialah tuisyen, bukan tusyen atau tiusyen.  Tetapi bagi perkataan action, collection dan function, perkataan-perkataan tersebut diistilahkan dan dieja sebagai aksi, koleksi dan fungsi.  DBP tidak mengiktiraf istilah perkataan position dan corruption sebagai posisi dan korupsi. Begitu juga perkataan selection sebagai seleksi.  Istilah-istilah berkenaan diguna pakai secara meluas di Indonesia.  Di Malaysia istilah yang mantap bagi perkataan position dan corruption ialah kedudukan dan rasuah.


Babah "mengganas" dengan kamera baharu...

Read more...

10 December, 2009

Cerita Sedih Di Pantai Remis


Petang tadi, ketika dalam perjalanan menuju ke Taiping dari Lumut, setelah dua hari bermalam di Pulau Pangkor, kami melewati Pantai Remis dan berdepan dengan satu peristiwa yang benar-benar menyayat hati.  Gambar-gambar di bawah ini menceritakan segala-galanya...


Photobucket


Si Ibu tidak mahu meninggalkan anaknya yang telah dilanggar kereta (bukan kereta kami) dan dia tetap berada di sisi anaknya yang telah mati di tengah-tengah jalan.  Sewaktu kami sampai di tempat kejadian, seorang penduduk di kampung berkenaan telah membawa Si Ibu dan Si Anak itu ke tepi jalan.  Walaupun kedua-duanya telah dipindahkan, Si Ibu masih tetap bersama-sama anaknya, tanpa menghiraukan orang ramai yang berada di sekeliling kawasan itu.  Si Ibu nampak begitu sedih dan terus menatap Si Anak, sambil menguis-nguiskan kakinya pada Si Anak dengan harapan agar Si Anak akan sedar kembali.  Air liur Si Ibu terus mencucuran.  Adakah itu tanda kesedihan yang teramat sangat bagi seekor haiwan?  Sengaja saya tidak mahu menyebut nama haiwan ini kerana tiba-tiba timbul perasaan malu untuk menyebut nama itu kerana makhluk ini saya rasa lebih tahu erti kasih sayang berbanding dengan sebahagian daripada makhluk yang diberikan Allah akal dan perasaan, tetapi gagal menghayatinya. Wallahualam.

Gambar-gambar lain:






Sebak hatiku...

Saya menghantar entri ini dari sebuah Kafe Siber di Kamunting, Perak Darul Ridzuan.
Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...