08 December, 2009
Khidmat Percuma
Assalamualaikum guru-guru/ AJK surau/masjid/ AJK Persatuan/ ketua-ketua komuniti,
Saya dengan segala hormatnya ingin menawarkan khidmat untuk memberi ceramah berkaitan dengan dua topik yang berikut:
1. Celik Kewangan Ceria Kehidupan; atau
2. Bahasa Melayu Kujunjung, Bahasa Inggeris Kukendong.
Khidmat ini adalah percuma, tetapi hanya terbuka kepada komuniti yang berada di Lembah Kelang sahaja dan terhad hanya pada hari Sabtu (Isnin-Jumaat - kerja; Ahad untuk Keluarga).
Tempoh ceramah: 1-2 jam.
Jumlah audiens: Kalau boleh jangan kurang 10 orang.
Ini adalah khidmat fisabillah saya dan azam untuk tahun Hijrah 1431 dan tahun Masihi 2010.
Biodata Ringkas:
1. Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Sarjana Ekonometrik;
2. Bertugas selama lebih 20 tahun di sebuah institusi kewangan terkemuka;
3. Berpengalaman lebih tiga tahun dalam memberi ceramah tentang kewangan di seluruh negara;
4. Berpengalaman sebagai penterjemahan (penyandang diploma penterjemahan) dan penyunting (editor); dan
5. Menjadi penceramah kursus bahasa Melayu untuk eksekutif baharu sebuah institusi kewangan terkemuka.
Jika berminat, sms saya di talian 013-3510250 atau emel kepada samsudin.jidin@yahoo.com
Sekian, terima kasih.
Read more...
07 December, 2009
Sehari Selembar Benang 13
Yang berhutang terjerat di kaki, yang menjamin terjerat di leher
Sebenarnya, banyak perumpamaan yang boleh kita gunakan apabila menggarap sesuatu isu yang bersangkutan dengan ekonomi, perbankan dan kewangan. Berikut ialah beberapa contoh peribahasa yang masih relevan digunakan dalam penulisan ekonomi, perbankan dan kewangan moden.
1. Cermat masa banyak, jimat masa sedikit - selalu berhati-hati ketika berbelanja;
2. Cicir dipungut, hilang dicari - jangan melakukan pembaziran;
3. Hempas tulang berisi perut - hidup akan senang jika rajin bekerja;
4. Ingat sebelum kena, jimat (hemat) sebelum habis - berwaspada setiap masa supaya tidak terpedaya dan habis harta;
5. Jika hendak beranak, ikutlah kata bidan - mendengar nasihat pakar;
6. Sempit bertimpuh, lega berlunjur - menyesuaikan perbelanjaan dengan pendapatan;
7. Air digenggam tidak tiris - orang yang kedekut atau terlalu cermat apabila berbelanja;
8. Air mudik sungai, semua teluk diranai - orang yang boros akan berbelanja tanpa perhitungan;
9. Alah membeli, menang memakai - tidak apalah barang yang dibeli itu mahal sedikit asalkan barang itu tahan lama;
10. Aur ditanam betung tumbuh - mendapat laba (untung) yang banyak dengan modal yang sedikit;
11. Baru bertunas sudah dipetik, masakan boleh hidup - belum banyak untungnya, sudah berbelanja besar;
12. Besar pasak daripada tiang, besar sendal daripada gelegar - lebih besar belanja daripada pendapatan; dan
13. Yang berhutang terjerat di kaki, yang menjamin terjerat di leher - penjamin lebih berisiko berbanding dengan peminjam.
Sila dapatkan lebih banyak contoh-contoh peribahasa Melayu di sisipan blog ini.
Sambungan Selembar Benang...
Istirahat vs istirehat
Istirahat bermaksud keadaan atau suasana santai. Perkataan ini tidak ada kena mengena langsung dengan perkataan rehat yang bermaksud melepaskan lelah atau mengaso. Tetapi, perkataan istirahat ini selalu disalah eja menjadi istirehat sedangkan tidak ada perkataan istirehat dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu.
Selsema vs selesema
Perkataan selsema juga tidak terdapat dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu. Yang ada ialah selesema. Selesema bermaksud sakit dan berhingus.
Hadirin vs hadirat
Hadiran bermaksud sekalian (bukan sekelian) yang hadir, manakala hadirat bermaksud kehadiran, tempat menghadap (raja, nabi, Tuhan). Orang Melayu telah menyalah guna perkataan ini dengan menganggap hadirin untuk lelaki manakala hadirat untuk perempuan, seperti muslimin dan muslimat. Cara yang betul mengungkap perkataan ini ialah hadirin yang dihormati....
Read more...
Apabila Azan Sakitkan Telinga...
Cerita yang bakal anda baca di bawah ini telah disahkan oleh seorang ustazah dan seorang guru akademik (isteriku) di sekolah agama yang berhampiran .
Diceritakan kepada saya, seorang Melayu Islam bertaraf pendidikan PhD yang tinggal di Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan telah menulis surat rungutan di sebuah akhbar utama tempatan beberapa bulan lalu tentang kesukaran beliau menidurkan anak-anaknya akibat “kebisingan" suara azan dan suara lantang Pak Ustaz ketika menyampaikan kuliah subuh. Masyarakat sekeliling tertanya-tanya siapakah gerangan Si Melayu Islam itu. Dengan menyembunyikan nama sebenar tetapi mendedahkan alamat kediaman tanpa nombor, bukan sahaja meninggalkan rasa resah dan rusuh hati masyarakat sekitar, bahkan menimbulkan sedikit sebanyak perasaan aib dan memberi leta kepada mereka. Jika individu berkenaan bukan dalam kalangan orang Islam, ini mudah dimengerti. Tetapi, di sekitar kawasan kejiranan tersebut, tidak ada bangsa lain yang tinggal di situ, selain Melayu Islam. Ini yang meninggalkan seribu persoalan dalam benak fikiran para penduduk.
Mungkin sahaja alasan yang diberikan oleh Si Melayu Islam “benar” kerana rumah tangga yang penuh didiami hantu jembalang tidak mungkin betah (tahan) untuk menerima laungan azan yang mampu menggegarkan bukit-bukau itu. Lantas syaitan menghasut “Si Bapa Mithali” berkenaan untuk menyalahkan azan (baca: syariat agama) sebagai penyebab anak-anak tidak boleh melelapkan mata, seterusnya mengganggu-gugat keharmonian rumah tangganya.
Siapakah Si Melayu Islam pemberi malu masyarakat ini? Persoalan yang agak lama menghantui fikiran para tetangga akhirnya terjawab. Pada suatu subuh yang hening, muncullah Si Polan dengan perasaan amarah yang tidak dapat dibendung lagi, merentap mikrofon yang tersangkut di leher Pak Ustaz yang baharu sahaja ingin memulakan kuliah subuhnya. Para jemaah terkedu dan terpinga-pinga. Bukan tidak mampu bertindak, tetapi mereka masing-masing nanar, termangu-mangu, tercenggung, terpisat-pisat, melopong dengan tindakan Si Melayu Islam sehingga ramai Si Ibu yang hadir ketika itu menitiskan air mata melihat Pak Ustaz diperlakukan sedemikian rupa. Selepas itu, Si Melayu Islam, pembawa onar pergi tanpa gugur sehelai bulu roma pun. Cerita sadis ini berakhir di situ. Tetapi kesannya, Pak Ustaz tidak lagi berani meninggikan suara ketika berceramah dan beliau begitu berjaga-jaga dengan nada suaranya supaya tidak lagi mengganggu tidur anak-anak Si Melayu Islam. Tentang azan, azan tetap berkumandang kerana syariat agama itu wajib diteruskan.
Jangan tergoda dengan pujukan syaitan!
Siapakah Si Melayu Islam pemberi malu masyarakat ini? Persoalan yang agak lama menghantui fikiran para tetangga akhirnya terjawab. Pada suatu subuh yang hening, muncullah Si Polan dengan perasaan amarah yang tidak dapat dibendung lagi, merentap mikrofon yang tersangkut di leher Pak Ustaz yang baharu sahaja ingin memulakan kuliah subuhnya. Para jemaah terkedu dan terpinga-pinga. Bukan tidak mampu bertindak, tetapi mereka masing-masing nanar, termangu-mangu, tercenggung, terpisat-pisat, melopong dengan tindakan Si Melayu Islam sehingga ramai Si Ibu yang hadir ketika itu menitiskan air mata melihat Pak Ustaz diperlakukan sedemikian rupa. Selepas itu, Si Melayu Islam, pembawa onar pergi tanpa gugur sehelai bulu roma pun. Cerita sadis ini berakhir di situ. Tetapi kesannya, Pak Ustaz tidak lagi berani meninggikan suara ketika berceramah dan beliau begitu berjaga-jaga dengan nada suaranya supaya tidak lagi mengganggu tidur anak-anak Si Melayu Islam. Tentang azan, azan tetap berkumandang kerana syariat agama itu wajib diteruskan.
Sebelum mendengar cerita ini, saya juga pernah dikhabarkan orang tentang seorang Melayu Islam lain menyalahkan azan sebagai penyebab rumah sewanya yang terletak berhampiran surau tidak disewa orang. Kononnya, para penyewa keluar masuk silih berganti kerana tidak sanggup mendengar “kebisingan” suara azan.
Sebelum itu, saya juga pernah mendengar satu cerita lain yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, iaitu seorang isteri yang sepanjang baki hayat beliau (diberitakan ketika itu beliau telah meninggal dunia) menyalak seperti anjing apabila tiba waktu maghrib. Semua itu berlaku akibat keceloparan (bukan celupar) mulut Si Isteri yang tergesa-gesa mahu pergi ke pasar malam yang berhampiran, sedangkan Si Suami bertegas untuk menunaikan solat maghrib terlebih dahulu. Lalu, apabila terdengar sahaja suara azan berkumandang, Si Isteri berkata ”cepatlah sembahyang, orang kat surau tu dah menyalak dah...”. Akibat kelancangan mulutnya, beliau dianugerahi keupayaan untuk menyalak pada setiap tibanya waktu maghrib.
Pesan Babah: Menjadi kafir (ingkar) bukan semata-mata dengan mengisytihar diri keluar daripada Islam, tetapi dengan melakukan perkara-perkara seperti yang di atas, anda sudah boleh dianggap tidak lagi menjadi penganut agama Islam yang suci ini. Nauzubillah dan wallahualam.
Mengapalah mak bapak aku selalu mengikut telunjuk syaitan?
Read more...
Subscribe to:
Posts (Atom)