29 November, 2009

SASANA KIJANG: MERCU TANDA BAHARU BNM



Sasana Kijang

Kompleks Sasana Kijang merupakan satu lagi mercu tanda unggul sektor kewangan yang dijangka menjadi tumpuan orang ramai pada tahun depan. Komplek ini terletak di hadapan Memorial Tun Hussein Onn, Jalan Dato’Onn, 50480 Kuala Lumpur. Galeri Numismatik (koleksi mata wang lama) yang terdapat di dalam kompleks ini dikatakan sebagai sebuah galeri yang terbesar di dunia. Selain itu, kompleks ini juga mempunyai ruang pejabat (pejabat baharu saya – kami akan berpindah dari Petaling Jaya (Pusat Latihan BNM) ke Sasana Kijang pada pertengahan tahun depan), dewan konvensyen, institusi pendidikan dan muzium. Anda boleh berkunjung ke Muzium dan Galeri Lukisan BNM apabila kompleks ini dibuka kelak (Klik di sini). Suatu pengalaman pembelajaran sepanjang hayat menanti anda di Galeri Ekonomi, Galeri Kewangan Islam, Galeri Numismatik dan Galeri Kanak-kanak.


Sudut-sudut yang menarik di dalam Sasana Kijang

 
Sebahagian koleksi lukisan di Galeri Seni


Sebahagian koleksi lukisan di Galeri Seni


Sebahagian koleksi lukisan di Galeri Seni


Sebahagian koleksi lukisan di Galeri Seni

Khidmat Percuma:


Read more...

28 November, 2009

Bahasaku: Kronikal Melayu Haprak Telinga Pekak Mata Tak Nampak




Dulu...
Bahasa Melayu bahasa buana...digelar orang lingua franca yang utama
Bahasa sarwajagat, bahasa yang tak pernah tergugat

Kini...
Bahasa itu semakin letai, lesu tidak bermaya
Bukan kerana bersiduga dengan bahasa asing yang semakin kaya
Tetapi dek sikap bangsanya yang mudah alpa dan terus maknga
”Kalau nak mati, matilah bahasaku” kata mereka...

Dulu...
Bahasa Melayu bahasa agama
Dengannya, tersebar dakwah Islamiah di serata ceruk nusantara
Mencantas fahaman animisme, menggantikan iman kepada yang Esa
Menyelamatkan manusia di sini daripada seksa api neraka

Kini...
Bahasa Melayu hanya diigau dan diracau
Haluannya tidak lagi lurus tetapi berpirau-pirau
Menjadi bahan mengenyeh, mengutngit dan mengaco
Pengetahuan agama mengecut semua tak hirau

Dulu...
Bahasa Melayu bahasa penggalasan
Diguna para khoja dalam urusan perniagaan
Memetrai perjanjian dan juga persahabatan
Dihormati kawan, ditakuti lawan

Kini...
Bahasa Melayu jarang digamit
Dalam perniagaan digunakan hanya sekelumit
Sudah tak diendah dan tidak lagi merelit
Bukan sahaja dipersenda, dicebik dan diece, malah tersepit

Selamanya...
Bahasa Melayu akan terus begini...
Itu pun sekiranya ia belum mati
 atau pun selagi Melayu haprak telinga pekak mata tak nampak
 masih bernafas di sini....



Nota:
Hamba bukanlah pejuang assobiyah, melulu dan semberono mempertahankan bangsa dan bahasaku.  Hamba benci pada hipokrasi sekelompok manusia dalam kalangan bangsaku yang menggunakan slogan dulu, kini dan selamanya dan slogan-slogan elusan dan retorik yang lain untuk meranapkan bangsa mereka sendiri...

Perbendaharaan kata (rujuk Kamus Dewan Edisi ke-4):
Buana = dunia, jagat, bumi
Lingua franca = bahasa perantaraan atau bahasa perhubungan antara masyarakat atau orang-orang yang berlainan bahasa;
Sarwajagat = sejagat, universal, meliputi seluruh dunia, alam semesta;
Letai = letih lesu lemah
Siduga (bersiduga) = berlumba
Maknga = cuai, lalai
Dek = kerana, oleh
Alpa = lalai, kurang mengendahkan
Igau = bercakap yang bukan-bukan, merepek
Racau = bercakap dengan tidak tentu fasal (tidak keruan) ketika demam, mengigau.
Pirau = tidak lurus perjalanannya, melencong (menyimpang) ke kiri atau ke kanan; berpirau-pirau berjalan menyimpang-nyimpang (menyerong-nyerong, berpal-pal, berperai-perai)
Mengenyeh = bergurau
Ngutngit (mengngutngit) = berkata yang bukan-bukan, meracau, merepek.
Aco (mengaco) = berkata tidak keruan (yang bukan-bukan).
Penggalasan = perdagangan
Khoja = (gelaran bagi) saudagar (yang datang dari negeri Parsi atau India Utara)
Merelit = berkilat-kilat
Ece = mengejek, mempersendakan
Elusan= memujuk(-mujuk), memperlakukan dengan baik (untuk mempengaruhi)
Retorik = pertuturan atau tulisan yang menggunakan bahasa atau kata-kata yang indah atau muluk-muluk untuk mempengaruhi pemikiran pendengar.
Read more...

26 November, 2009

SELEPAS PUSAKA DIPUSARAKAN


                  
                 Pusara Bahasaku



SELEPAS PUSAKA DIPUSARAKAN 
Nukilan Azhar Salleh 




  


Anak kecil itu bertanya
“Ayah, kubur siapa ini?”
 

Lihatlah batu nisannya
usahlah kausalahkan ayah
kerana tercatat di situ
suatu tragedi bangsa
anakku, ayah tidak ada kuasa
ayah lemah, tidak ada upaya
memelihara atau mengangkatnya
malah untuk mempertahankannya
ayah sudah terlalu lelah
dan terluka, lukanya parah.

“Ayah, kubur siapa ini?”
Anakku, bacalah catatan di nisan
itulah pusaka leluhur kita
yang pernah hidup dalam jiwa
kini tertanam dan telah dipusarakan
oleh tangan yang mengkhianati
bangsanya sendiri.

Anak kecil itu membaca catatan nisan
di sisinya seorang lelaki yang tewas
dia bangun lalu berlalu pergi
sambil merenung wajahku
telah hilang kata-kata dan suara
kerana suara dan bicaranya
telah direntap oleh bangsanya.

“Ayah, kini barulah saya mengerti
mengapa kita tidak lagi dihormati
mungkinkah roh dan jiwa bangsa kita
telah pun mati!”

Benar, anakku
di sinilah roh dan jiwa kita bersemadi!


Read more...

25 November, 2009

Selembar Benang 12


Bagi menyahut seruan Pengarah yang mengehendaki setiap kakitangan membaca sekurang-sekurangnya 10 buku setahun, saya telah mengambil inisiatif (belum lagi memulakan pembacaan tetapi) memulakan pembelian.  Buku terbaharu yang saya beli ialah The Complete 101 Collection karangan John C Maxwell (2009) dan Ensiklopedia Kemukjizatan Sains Dalam Al-Qur’an dan Sunnah nukilan Yusuf Al-Hajj Ahmad.  Sebulan yang lepas saya membeli buku Eat That Frog! tulisan Brian Tracy, buku Khazanah Pantun Melayu Riau susunan Tenas Effendy dan Tesaurus Bahasa Melayu Dewan, Edisi Baharu


Bukan untuk Prime 2010
Tetapi untuk ilmu sebagai penyuluh...

Selain daripada buku Khazanah Pantun Melayu Riau dan Tesaurus Bahasa Melayu  Dewan yang dibeli hanya sebagai rujukan, buku-buku lain perlu saya habisi pembacaannya dalam tempoh dua tiga bulan yang akan datang.  Saya akan cuba mengulang baca buku Don’t Be Sad karangan ‘Aaidh ibn Abdullah al-Qarni kerana ketika hati dilanda lara, buku yang satu inilah menjadi pengubat duka.


Sambungan Selembar Benang


Diraja vs di-Raja vs di raja

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, kata diraja ialah kependekan daripada kata adiraja.  Oleh itu, kata tersebut ditulis secara serangkai (satu perkataan yang utuh), contohnya Polis Diraja Malaysia, kerabat diraja dan panji-panji diraja.


Aidiladha vs Eidil-Adha vs Eidul Adha

Ejaan baku bagi Aidiladha (Aidilfitri) seperti yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi ke-4 ialah Aidiladha (Aidilfitri) bukannya Eidil-Adha (Eidil-Fitri) atau Eidul Adha (Eidul Fitri).


Setelah vs selepas vs sesudah

1.  Gantikan setelah dengan selepas bagi makna "masa"

Contoh:
Salah: Setelah merdeka, baharulah negara ini membangun.
Betul: Selepas merdeka, baharulah negara ini membangun.


2. Gantikan setelah dengan sesudah bagi makna "proses"

Contoh:
Salah: Setelah mereka makan.
Betul:  Selepas mereka makan.
  


Read more...

24 November, 2009

e-Tip Bahasa Melayu 11


Banjir dan bahasa Melayu

Dek lumrahnya fenomena banjir dalam kehidupan kita, maka banyaklah kata istilah atau kata sinonim lain yang boleh digunakan bagi menggambarkan keadaan itu, seperti bah (air naik, air pasang), bena, kojoh, empoh, sebak, lembak dan pelbagai lagi kata lain mengikut dialek setempat.  Selain air bah, perkataan-perkataan lain yang dinyatakan di atas amat jarang sekali diguna pakai pada masa ini, meskipun perkataan-perkataan itu terkandung dalam Kamus Dewan.



Bena - ombak, air bah; air ~ air pasang;
Kojoh - digenangi atau dibanjiri air (sawah dan lain-lain), sebak;
Empoh – (air sungai dan lain-lain) melimpah, bah, banjir, sebak;
Sebak - hampir akan bah (sungai), penuh dan banyak airnya, digenangi air: air sungai telah tenang tidak berarus lagi menandakan air sudah ~ pasang;
Lembak – melembak, melimpah (kerana air terlalu banyak atau mendidih), meluap.

Rujukan: Kamus Dewan Edisi ke-4

Namun, kata-kata yang tersebut di atas telah lama dilupakan orang, sehinggalah suatu masa nanti, saya yakin kata-kata ini akan hilang sedikit demi sedikit daripada perbendaharaan kata kita.

Mujurlah ada perumpamaan yang menggunakan kata bah, “sekali air bah, sekali pantai berubah”. Jika tidak, nescaya perkataan bah juga akan bersama-sama mengiringi perkataan Melayu lain meluncur ke liang lahad.


"Roti Canai Banjir"


Sambungan e-Tip Bahasa Melayu

1.   Hanya/sahaja
Penggunaan kata penegas hanya dan sahaja bersama-sama dalam satu ayat adalah salah. Ini kerana hanya dan  sahaja mempunyai maksud yang sama, iaitu "yang satu-satunya".
Contoh:
Salah: Guru itu akan berada di Kuala Lumpur hanya seminggu sahaja.
Betul: Guru itu akan berada di Kuala Lumpur hanya seminggu.
Betul: Guru itu akan berada di Kuala Lumpur seminggu sahaja.

2.   Justeru itu
Ungkapan ini tidak terdapat dalam kamus bahasa Melayu yang diiktiraf.  Ungkapan justeru itu sebagai alternatif kepada ungkapan oleh itu, oleh yang demikian dan lain-lain adalah salah sama sekali. Justeru (tanpa itu) digunakan dengan tepat untuk menggambarkan maksud kebetulan, tepat, benar atau malahan dan bahkan.

3.  Kami/Kita semua
"Kami" dan "kita" digunakan bersama-sama "semua" adalah salah.  "Kami" dan "kita" sudah merupakan kata jamak. 
Contoh: 
Salah: Kami semua akan mematuhi segala peraturan.
Salah: Kita semua harus akur pada arahan itu.

Tetapi,
Awak, anda, engkau dan kamu boleh diikuti oleh kata bilangan jika orang yang dilawan bercakap itu lebih daripada seorang. 
Contoh:
Betul: Awak berdua
Betul: Kamu semua.



Read more...

23 November, 2009

Artikel Khas: Bahasa Melayu Merempat di Negara Sendiri



Kerajaan menekankan peri pentingnya memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan walaupun hakikatnya ia tidak dipraktikkan sepenuhnya dalam pentadbiran dan komunikasi rasmi. Malah gagasan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri tidak diiringi dengan satu bahasa untuk semua kaum. Wartawan, NYZA AYOB mencungkil pandangan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia mengenai isu ini. 


Dalam gagasan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, kita dapati tidak ditekankan tentang 1Malaysia ‘Satu Bahasa’. Apakah Perdana Menteri kita terlepas pandang tentang perkara ini?

PROF DR NOR HASHIMAH: Betul, saya melihat konsep ‘Satu Bahasa’ tidak disebut dalam slogan tersebut. Apa makna konsep 1Malaysia jika tidak disertai dengan ‘Satu Bahasa Kebangsaan’?

Sewaktu Perdana Menteri di Paris baru-baru ini, beliau ditanya oleh seorang pelajar, apa konsep 1Malaysia jika tidak disertai dengan satu bahasa kebangsaan. Dalam akhbar tempatan berbahasa Inggeris, disiarkan jawapan yang diberikan Perdana Menteri iaitu kita mestilah meneruskan warisan sekolah-sekolah bukan pengantar Melayu sebab dikatakan itu kononnya merupakan warisan Perdana Menteri yang lama-lama.
 

Dia lupa daripada segi sejarahnya. Jika kita baca Penyata Razak, pada 1956 dikatakan semua sekolah menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Laporan Razak ini dibuat bukan berdasarkan satu pendapat.

Tetapi ia dibuat oleh wakil masyarakat Cina, India dan wakil kerajaan Komanwel serta wakil kerajaan British yang membentuk Akta 152 itu. Jadi Laporan Razak mengatakan semua sekolah mesti menggunakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

Mana-mana sekolah yang tidak menggunakan bahasa Melayu dan silibus negara kita tidak diberikan bantuan. Sebab itu apabila diubah Akta 1995 di mana sekolah-sekolah yang tidak menggunakan Bahasa Melayu dibenarkan dan lahirnya banyak sekolah menengah Cina dan diberikan bantuan, ia tumbuh bagai cendawan.
Jadi, kita hendak marah macam mana sebab akta itu pemerintah yang luluskan. Jadi bagaimana hendak ditekankan konsep 1Malaysia ‘Satu Bahasa Kebangsaan’.

Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan sudah banyak kali diadakan. Dan kali ini kerajaan mengisytiharkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan. Apakah Prof. yakin kempen kali ini berjaya memberi kesedaran tentang kepentingan Bahasa Kebangsaan ini?

Jika dahulu saya melihat pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan ini agak meriah dan melibatkan setiap negeri. Tetapi kali ini saya melihat kempen ini kurang diuar-uarkan.

Hampir setiap tahun Persatuan Linguistik Malaysia terlibat dengan kempen Bulan Bahasa Kebangsaan ini. Tahun ini, sekali lagi persatuan telah atur satu program iaitu syarahan Raja Ali Haji yang kita lakukan saban tahun.

Pemidato bergilir-gilir antara Malaysia dan luar negara. Tahun lepas Indonesia dan tahun ini kami telah mengundang Profesor Di Raja Ungku Aziz yang akan bercakap mengenai pantun dan akal budi Melayu. Sepatutnya ia diadakan pada penghujung Oktober, iaitu sewaktu kempen Bulan Bahasa. Bagaimanapun atas sebab-sebab tertentu ia terpaksa ditangguhkan kepada 4 Disember.

Malaysia sudah lebih 50 tahun menyambut kemerdekaannya. Tidakkah dalam tempoh ini kita masih tidak berjaya mendidik masyarakat menggunakan bahasa kebangsaan?

Jika sudah 50 tahun kita menyambut merdeka dan kita masih ingin melaksanakan Bulan Bahasa Kebangsaan saya rasa ini sangat tidak patut. Sebab bahasa kebangsaan ini sudah menjadi hak semua. Bukannya perkara yang harus diingati dalam masa sebulan sahaja. Ini seoalah-olah Bahasa Melayu belum menyerap sepenuhnya dalam sanubari rakyat Malaysia.

Mungkin Prof mempunyai pengalaman yang berbeza berbanding generasi hari ini dalam merealisasikan bahasa kebangsaan antara kaum?

Jika saya boleh imbau balik sewaktu saya belajar di UKM pada 1980-an, kawan-kawan perbincangan saya adalah orang Cina dan India, tanpa merasa canggung. Tetapi sekarang saya lihat di universiti-universiti, keadaan agak berbeza.

Kelompok Cina sesama mereka, kelompok India sesama mereka dan begitu juga kelompok Melayu. Saya berasakan situasi seperti ini berlaku kerana sistem pendidikan kita hari ini berjalan bukan secara bersepadu tetapi selari.

Maksud selari ialah sekolah Cina menggunakan bahasa Cina, sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu dan sekolah India menggunakan bahasa Tamil. Apabila kita mengizinkan sekolah menengah dalam bahasa pengantar Mandarin, ramai yang memilih untuk ke sekolah Cina.

Jadi, bagaimana kita hendak pupuk integrasi antara Melayu, Cina dan India?

Melayu dan India mungkin akan bergabung apabila naik tingkatan satu, tetapi Cina ada yang memilih sekolah kebangsaan dan ada yang memilih ke sekolah Cina.
 

Jadi, bila hendak integrasi apabila semua bahasa berjalan secara selari. Sedangkan bahasa dalam satu negara yang menjadi bahasa kebangsaan secara bersepadu. Ini menyebabkan kita berfikir sama ada bahasa kebangsaan ini tidak diterima atau tidak dihayati oleh populasi rakyat Malaysia.

Adakah Bulan Bahasa Kebangsaan ini dilihat seperti sambutan hari-hari penting dalam negara seperti Hari kebangsaan?

Apabila adanya Bulan Bahasa Kebangsaan ini seolah-olah seperti satu sejarah sebagaimana memperingati bulan kemerdekaan atau memperingati tokoh. Jadi, Bulan Bahasa Kebangsaan ini seolah-olah seperti sejarah dan bukan hendak menyemarakkan semangat penggunaan bahasa Melayu.

Siapa yang mencetuskan kempen Bulan Bahasa Kebangsaan ini?

Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan ini merupakan cetusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ia dicetuskan supaya rakyat terus menerus menggunakan bahasa kebangsaan. Pengisian program semuanya berasaskan bahasa Melayu.

Tetapi ia diadakan sepanjang tahun. Tujuan DBP itu saya sokong sebab hendak memastikan bahasa kebangsaan melekat di hati rakyat. Saya pernah ditanya wartawan mengenai penubuhan Pusat Pengajian Bahasa Melayu di kedutaan Malaysia di luar negara supaya orang asing dapat belajar Bahasa Melayu.

Mengapa bahasa Melayu Indonesia lebih popular?

Saya mengatakan bahawa kita kena belajar hendak menjual bahasa ini dengan Indonesia. Indonesia yang paling serius mengetengahkan bahasa Melayu. Kita menumpang kejayaan bahasa Melayu itu dengan Indonesia. Hampir semua tempat di dunia yang mengajar Bahasa Melayu ialah Indonesia.

Mungkin Prof ada pengalaman dengan penuntut asing…

Saya pernah menjadi koordinator Bahasa Melayu untuk penuntut asing. Pelajar saya datangnya dari Australia, England, Amerika, Jepun, Korea dan beberapa negara lain. Mereka suka belajar bahasa Melayu di sana dan mengatakan betapa susahnya untuk mendapatkan tempat belajar bahasa Melayu di Malaysia.

Lebih mudah untuk mencari kolej yang menawarkan bahasa Inggeris. Sedangkan kami datang untuk belajar bahasa Melayu. Komen ini harus dipandang serius. Bahasa Melayu di luar negara banyak dikendalikan oleh tenaga pengajar Indonesia.

Apakah Kedutaan Malaysia di luar negeri tidak membantu memasarkan bahasa Melayu Malaysia ini?

Apa yang berlaku Kedutaan Malaysia tidak serius dalam membantu mempromosikan bahasa Melayu. Pernah apabila delegasi dari DBP pergi ke Australia untuk penyelidikan, mereka bertembung dengan perayaan bahasa Melayu dan turut serta.

Semua kakitangan kedutaan Indonesia menolong membantu menampal poster dan menjayakan perayaan ini. Tetapi pihak kedutaan kita tidak begitu. Di Melbourne sahaja terdapat beberapa universiti yang ada pengajaran bahasa Melayu Indonesia.

Ini menunjukkan betapa bahasa tersebut boleh diterima oleh penduduk luar negara. Tetapi bahasa Melayu kita tidak. Saya juga sempat membuat penyelidikan dan bertanyakan soalan kepada penuntut di Australia.
Saya bertanyakan jika diberi peluang mereka ingin belajar bahasa Melayu Malaysia atau bahasa Melayu Indonesia?

Dan jawapan yang diberikan ialah bahasa Melayu Indonesia. Sebab mereka tidak kenal bahasa Melayu Malaysia ini. Selain itu, jawapan yang diberikan kenapa mereka memilih bahasa Melayu Indonesia kerana mereka suka mempelajari budaya Indonesia termasuk bahasanya.

Apakah ini bermakna orang luar langsung tidak berminat untuk mempelajari Bahasa Melayu?

Berdasarkan pengalaman saya, ada antara usahawan daripada negara luar seperti Taiwan yang berminat untuk mempelajari Bahasa Melayu. Apabila ditanya kenapa mereka berminat untuk mempelajari Bahasa Melayu? Jawapan yang diberikan, apabila mereka ingin mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia, mereka harus mempelajari bahasa kebangsaan di sini.

Ini bermakna, ada di luar sana yang minat dengan bahasa kita. Tetapi kenapa kita dekat sini tidak berapa memberikan perhatian serius kepada bahasa kebangsaan.

Maksudnya pihak kerajaan di Malaysia?

Mungkin orang marah apabila saya mengeluarkan kenyataan ini. Tetapi lihatlah keadaan bahasa Melayu kita, merempat. Akta Majlis Kerajaan Tempatan menyatakan iklan-iklan hendaklah menggunakan Bahasa Melayu tetapi boleh diterjemahkan ke bahasa lain dengan huruf yang lebih kecil berbanding Bahasa Melayu.

Tetapi lihat apa yang berlaku. Papan-papan iklan banyak ditulis dengan Bahasa Inggeris malah Mandarin dengan langsung tidak menggunakan bahasa Melayu. Ucapan sambutan majlis hari raya pun ditulis dalam bahasa Inggeris.

Sumber: Detikdaily

Read more...

21 November, 2009

Artikel Khas: Jangan Ketawakan Bahasa Orang


Learning English Language...

We'll begin with a box, and the plural is boxes;
but the plural of ox became oxen not oxes.
One fowl is a goose, but two are called geese,
yet the plural of moose should never be meese.

You may find a lone mouse or a nest full of mice;
yet the plural of house is houses, not hice.
If the plural of man is always called men,
why shouldn't the plural of pan be called pen?

If I spoke of my foot and show you my feet,
and I give you a boot, would a pair be called beet?

If one is a tooth and a whole set are teeth,
why shouldn't the plural of booth be called beeth?

Then one may be that, and three would be those,
yet hat in the plural would never be hose,
and the plural of cat is cats, not cose.

We speak of a brother and also of brethren,
but though we say mother we never say methren.
Then the masculine pronouns are he, his and him,
but imagine the feminine, she, shis and shim.



There is no egg in eggplant nor ham in hamburger; neither apple nor pine
in pineapple.

English muffins weren't invented in England.

We take English for granted. But if we explore its paradoxes, we find that
quicksand can work slowly, boxing rings are square and a guinea pig is
neither from Guineanor is it a pig.

And why is it that writers write but fingers don't fing, grocers don't
groce and hammers don't ham?

Doesn't it seem crazy that you can make amends but not one amend?

If you have a bunch of odds and ends and get rid of all but one of them,
what do you call it?

If teachers taught, why didn't preachers praught?

If a vegetarian eats vegetables, what does a humanitarian eat?

In what language do people recite at a play and play at a recital?

Ship by truck and send cargo by ship?

Have noses that run and feet that smell?

How can a slim chance and a fat chance be the same, while a wise man and a wiseguy are opposites?

You have to marvel at the unique lunacy of a language in which your house
can burn up as it burns down, in which you fill in a form by filling it
but and in which an alarm goes off by going on.

If Dad is Pop, how come! Mom isn't Mop?

GO FIGURE! That's American English.

Unlike Sanskrit English has its own rules of pronounciation & Grammar in a
different way based on the where the words have derived from.

For example CH is pronounced as ka when the word is derived from Greek. eg Character = karakter

CH is pronounced as sha when the word is derived from French. eg champagne, chateau


Ha...ha...ha...Kena ketawa juga...




Read more...

19 November, 2009

Selembar Benang 11


Selama tiga minggu berturut-turut saya memaparkan isu tentang nombor atau angka atau aksara (sila rujuk Selembar Benang 8, Selembar Benang 9 dan Selembar Benang 10).  Meskipun banyak lagi perkara penting soal nombor yang boleh dibincangkan dengan lebih lanjut (khususnya dari aspek bahasa, bangsa dan agama), namun biarlah kita tinggalkan isu ini buat sementara waktu dengan satu rumusan, iaitu nombor sangat berkait rapat dengan kehidupan kita. 



Nombor itu hidup, walaupun tidak bernyawa.  Saban hari, sama ada  kita sedar atau tidak, nombor mengekori kita, seperti bayang-bayang.  Umur yang disebut dengan nombor setiap saat bertambah.  Kita mengerling nombor di jam, pada dinding, setiap pagi supaya tidak terlepas solat subuh.  Kita pastikan kita bersolat lebih daripada satu orang kerana ia lebih afdal dan mendapat pahala tujuh kali lebih banyak.  Kita memandang nombor pada meter kereta supaya jangan terlanjur memandu melebihi had yang dibenarkan kerana khuatir disaman polis.

Ketika berurusan di Bank, kita mengambil nombor giliran dan patuh pada nombor itu.  Jika tidak ada nombor, nescaya manusia menjadi kurang ajar dengan melangkah barisan, macam dulu-dulu  Nombor berjaya mendisiplinkan manusia rupanya. Selepas itu, kita mengisi borang dengan terhegeh-hegeh kerana belum lagi menghafal nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank, kendatipun kad pengenalan dan akaun bank itu milik kita.

Ketika keluar dari Bank, kita nampak di seberang jalan sana masih ramai manusia degil membeli nombor di kedai Empat Nombor Ekor.  Mereka ini digelar kaki nombor, walaupun nombor tidak pernah mempunyai tangan dan kaki mencari manusia.  Manusia yang berlari mencari nombor, adakalanya sehingga ke makam keramat.   Ada ketikanya, kaki nombor  digelar kaki ekor.  Mudah-mudahan suatu masa nanti mereka berekor.

Tiba-tiba,  telefon berdering... Isteri kita menelefon memberitahu yang anak kita mendapat 10A dalam peperiksaan SPM.  Kita mendengar sayup-sayup suara si anak bersorak, di belakang suara ibunya, hore!. Kita girang kerana anak yang disayangi berjaya mendapat satu gandingan nombor dan huruf yang baik, iaitu 10 dan A, tidak 10 dan B atau 10 dan C.  Kita pernah bimbang kerana ada pelajar yang sanggup membunuh diri semata-mata kerana kecewa dengan nombor "buruk" yang mereka terima. Nauzubillah.


Demikian hebatnya nombor itu jika tidak dipantau dengan baik kita mungkin sengsara akibatnya.  Sengsara di dunia sini dan di dunia sana.  Di dunia sana, nombor tidak lagi signifikan kerana hampir kesemuanya bersifat infiniti.  Justeru, nombor perlu diberi perhatian yang wajar di dunia ini.  Nombor perlu dipelajari (matematik), difahami dan dihayati.  Nombor tidak layak dipelajari menggunakan bahasa lidah bangsa lain.  Nombor perlu dikuasai bukan dihafal kerana kesinambungan hidup kita di dunia ini amat berkait rapat dengan nombor.  Wallahualam.



Sambungan Selembar Benang

1. Pukul vs jam
Gantikan jam dengan pukul bagi menunjukkan waktu. Penggunaan jam lebih cenderung kepada bahasa Indonesia.
Contoh:

Salah: Saya ke pejabat jam 8.00 pagi.
Betul: Saya ke pejabat pukul 8.00 pagi.

2. Untuk dan bagi
i). Buang untuk yang datang daripada nahu Inggeris ataupun nahu Arab.
Contoh:
Salah: Dengan tujuan untuk menambah pendapatan
Betul:  Dengan tujuan menambah pendapatan

ii. Gantikan untuk dengan bagi apabila diikuti oleh subjek yang dirujuk.
Contoh:
Salah: Untuk mereka yang belum mendaftar, sila isi borang ini.
Betul:  Bagi mereka yang belum mendaftar, sila isi borang ini.
Read more...

18 November, 2009

Artikel Khas: Lelucon Bahasa Inggeris tentang Bahasa Melayu


Have you read a classic joke about the official language of the European Union? If you haven’t, you must read it. Because Bahasa Melayu might face a similar fate.



The European Commission has just announced an agreement whereby English will be the official language of the EU rather than German which was the other possibility. As part of the negotiations, Her Majesty’s Government conceded that English spelling had some room for improvement and has accepted a five-year phase-in plan that would be known as “Euro-English.” In the first year, “s” will replace the soft “c.” Sertainly, this will make the sivil servants jump with joy. The hard “c” will be dropped in favour of the “k.” This should klear up konfusion and keyboards kan have 1 less letter.

There will be growing publik enthusiasm in the sekond year, when the troublesome “ph” will be replaced with “f”. This will make words like “fotograf” 20 percent shorter. In the 3rd year, publik akseptanse of the new spelling kan be ekspekted to reach the stage where more komplikated changes are possible. Governments will enkorage the removal of double letters, which have always ben a deterent to akurate speling. Also, al wil agre that the horible mes of the silent “e”s in the language is disgraseful, and they should go away. By the fourth year, peopl wil be reseptiv to steps such as replasing “th” with “z” and “w” with “v.” During ze fifz year, ze unesesary “o” kan be dropd from vords kontaining “ou” and similar changes vud of kors be aplid to ozer kombinations of leters. After zis fifz yer, ve vil hav a reli sensibl riten styl. Zer vil be no mor trubl or difikultis and evrivun vil find it ezi to understand ech ozer. Ze drem vil finali kum tru! And zen world!

Are you laughing already? If you are, then you are laughing at the Malaysian national language too. The future of Bahasa Melayu is similar to the hypothetical Euro-English. I must admit, I haven’t been writing and reading in Malay for quite some time now. For the last four years, despite being Malay, I have blogged in English, done reports in English, read news pieces in English and probably even dreamt in English too. I was in an American school and I had little use for proper written Malay. As of right now, I struggle to write in Malay. Subsequently, I told myself if I couldn’t write proper Malay, I would be a laughing stock. Not wanting to be known as, if I may, a “Malay Banana,” I set myself upon a mission. My mid-year resolution was to read Malay articles.

Upon rediscovering the Malay world, certain imported words came up. First, it was “previu.” After that, “bajet” came up out of nowhere. Later, the word “polemik” came to surface. As if those words aren’t enough, like rabbits, a whole gamut of them started to jump out from their burrows. One naughty rabbit is called “akauntabiliti.” Another impeccable furball is known as “integriti.” That black rabbit is named “transparensi.” And don’t forget, our little cuties - “profil,” “kontroversi,” “emosi,” “posisi,” “cif,” “propisi,” “kondisi” and “ambisi.” And who knows what else in the store.

An explosion of rabbit population is usually a bad thing. I asked myself, are these legit words? Are these words actually Malay? The answer seems to be yes, and to me, this is more disturbing than seeing Malaysians freely hugging each other in public. I do understand that this new stream of imported words is an effort to enrich the language vocabulary. I understand the need for such importation. After all, crude Malay translation for the noun joystick – amusingly, “batang ria” - would not be one of the most well-refined word in the language history. Yet, massive importation is slowing transforming our national language into a kind of pseudo-English.

This evolution is detrimental to our language. It is a path that we as Malaysians - or it could just be me – will regret when it is all too late to turn back. Hence, I’m appealing to all that are reading this – please, please do not use “bajet” in place of “belanjawan.” Do not reject “cita-cita” in favor of “ambisi.” The Holy Roman Empire was neither holy, nor Roman, nor an empire. And please, there is nothing Malay about infotainment as much as there is nothing English about Euro-English.  And if you haven’t realised already, open up your eyes fellow countrymen. Somebody is hijacking our national language. Wake up Malaysians. Rise up!  

Lelucon = kelakar, jenaka, lawak, kelucuan

Sumber: Forum Maya


Read more...

17 November, 2009

Artikel Khas: Bukti Asal Usul Kita...


Artikel ini adalah berdasarkan catatan perjalanan Encik William Chai ke Taiwan yang telah disiarkan dalam akhbar Eastern Times bertarikh 28 April 2009, pada muka surat E8 dan E9.

Kaum Orang Asli Taiwan ialah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada kaum peribumi/bumiputera di Taiwan. Kajian terbaharu menunjukkan nenek moyang mereka sudah mendiami pulau Taiwan lebih kurang 8,000 tahun sebelum imigran Cina berketurunan Han berhijrah dari Tanah Besar China ke pulau ini pada kurun ke-17. Kaum Orang Asli Taiwan tergolong dalam kumpulan orang Austronesia, iaitu bahasa dan genetik mereka lebih dekat dengan kumpulan etnik Austronesia yang lain seperti orang Filipina, Melayu, Indonesia, Madagascar dan Oceania (Hill et al. 2007; Bird, Hope & Taylor 2004).




Menurut Encik William Chai, setiap pagi, pemandu pelancongnya, Hung Chia Hong akan mengucapkan “Selamat Pagi”. Encik William Chai tidak berasa terkejut kerana pada anggapannya, adalah menjadi satu kelaziman Pemandu Pelancong akan mempelajari beberapa patah perkataan negara pelancong yang hadir bagi mendekatkan diri dengan pelancong tersebut. Walau bagaimanapun, ketika Encik William Chai tiba di Ibu kota Taiwan, iaitu Taipei, kumpulan pelancongan beliau telah melawat firma komersial yang dikenali sebagai The Mao’s Princess House yang menjual produk dari kawasan pergunungan.



Keluarga Mao ini adalah dari kumpulan etnik Shao (Dieja sebagai “Thao” di Taiwan dan China). Etnik Shao merupakan etnik terkecil berbanding dengan kaum asli Taiwan yang lain, iaitu hanya berjumlah sekitar 300 orang. Perkampungan etnik Shao ini terletak di Danau Matahari Bulan (Sun Moon Lake), salah satu tarikan utama di Taiwan yang mendapat nama kerana keadaan bentuk danaunya. Mereka menjadikan Rusa Putih sebagai lambang etnik mereka. Kumpulan beliau telah disambut oleh dua orang wanita cantik yang menyajikan mereka minuman teh ketika hadir.


 
“Minum teh” wanita muda yang bernama Mao Siang Hui menyambut Encik William Chai ketika menghidangkan teh dari kawasan pergunungan tinggi kepadanya. “Xie-Xie Ni” (Bermaksud ‘terima kasih’ dalam Bahasa Mandarin).

“Terima kasih” balas wanita tersebut.


Mao Siang Hui kemudian bertanya kepada Encik William Chai dalam Bahasa Mandarin “Adakah anda datang dari Da Luk (Tanah Besar China)?” Encik William Chai berasa kehairanan kerana beranggapan sebelum ini wanita tersebut menyambutnya dalam Bahasa Melayu kerana mengetahui beliau datang dari Malaysia.


“Tidak, saya dari Malaysia. Tapi, jika awak menganggap saya datang dari China, mengapa awak bercakap dengan saya dalam Bahasa Melayu?” Encik William Chai bertanya penuh keraguan.


“Oh, tidak! Saya bercakap dalam bahasa saya sendiri, Bahasa Shao, yang mempunyai persamaan dengan Bahasa Melayu” Mao Siang Hui membalas.

Kemudian, seorang staf lelaki memaklumkan wanita tadi merupakan Puteri Shao, iaitu puteri kepada etnik Shao dengan nama keluarga Mao. Mereka merupakan cucu kepada Ketua Puak Shao. Encik William Chai kemudian membuat semakan di Wikipedia bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Kaum Orang Asli di Taiwan.


Fakta lain yang diperoleh ialah bahasa bagi etnik Ami (Puak terbesar dalam kalangan kaum asli Taiwan) menyebut nombor 5 sebagai “Lima” dan nombor 6 sebagai “Enam”. Walau bagaimanapun, pada hari ini, kebanyakan generasi muda orang asli di Taiwan tidak lagi mampu bertutur dalam bahasa asal mereka kerana mendapat pendidikan di Sekolah Cina.


Encik William Chai turut melawat Kampung Budaya Ami yang terletak di Daerah Hualien. Etnik Ami dalam Bahasa Mandarin disebut sebagai Ah Mei Zu.


“Naruwan! (Selamat datang)” Encik William Chai disambut oleh seorang wanita Ami, Chuang Yik Mei. Beliau dimaklumkan masyarakat Ami mengamalkan budaya sebagaimana adat masyarakat Minangkabau, iaitu perempuan menjadi ketua keluarga dan mempunyai kuasa yang lebih daripada lelaki. Walau bagaimanapun, kebanyakan adat ini tidak lagi diamalkan memandangkan ramai orang Ami yang telah berkahwin campur dengan masyarakat Han yang telah mempengaruhi budaya masyarakat Ami kini.

Chuang Yik Mei memaklumkan bagi memelihara kebudayaan etnik Ami, sebahagian penari di kampung budaya ini merupakan pelajar. Terdapat dua sesi persembahan budaya yang diadakan pada setiap petang, iaitu pada jam 5.30 petang dan 7.20 petang. Salah satu tarian etnik Ami, iaitu Tarian Buluh mempunyai persamaan dengan Tarian Alu-alu yang dimainkan oleh etnik Melanau di Negeri Sarawak.


Diambil daripada
http://ibnurusydi.blogspot.com dengan sedikit pembetulan tatabahasa dan ejaan oleh Mybabah.


Read more...

15 November, 2009

Kuiz Bahasa Melayu


Menangi hadiah buku agama terbitan Darul Nu'man



1.     Bulan rasmi sambutan Bulan Bahasa dan Sastera Negara ialah:
A.     Tidak ditetapkan bulannya
B.     Ogos
C.     September
D.     Oktober
E.     September-Oktober               

2.     Manakah ejaan frasa yang berikut adalah betul?
A.        Yang Di-Pertuan Agung
B.        Yang Dipertuan Agung
C.       Yang Di-Pertuan Agong
D.       Yang di-Pertuan Agong
E.       Yang Dipertuan Agong
           
3.         Manakah ayat di bawah ini yang paling tepat?
A.        Guru menasihatkan kami supaya rajin belajar
B.        Guru menasihati kami supaya rajin belajar
C.        Guru menasihat kami supaya rajin belajar
D.       Guru nasihat kami supaya rajin belajar
E.        Guru nasihati kami supaya rajin belajar   

4.        Apakah daftar baku bagi singkatan SMS bahasa Melayu untuk thank you?
A.       Tk
B.        t.k
C.       t.k.
D.       trm ksh
E.       Tiada satu pun di atas                        

5.        Apakah cilawagi?
A.       Nenek kepada ayah
B         Nenek kepada datuk
C.      Ayah kepada buyut
D.      Ayah kepada moyang
E.      Nenek kepada moyang                      

6.    Apakah rujukan kehormat bagi Pegawai Kewangan Negeri?
A.    Tuan
B.    Yang Berusaha
C.    Yang Berhormat
D.    Yang Berbahagia
E.    Yang Amat Berhormat            

7.     Maksud telimpuh dalam pepatah “Sempit bertelimpuh, lega berlunjur “:
A.     Berhimpit
B.     Berdiri
C.     Berbaring
D.     Duduk
E.     Bercangkung                                       
                         
8.     Apakah maksud simpulan bahasa "bahasa mulut"?
A.     Bahasa pasar
B.     Bahasa loghat
C.     Bahasa yang digunakan secara tidak rasmi
D.     Bahasa percakapan antara orang Melayu
E.     Bahasa rojak                                       

9.     Apakah bandingan semacam yang salah bagi perkataan cantik?:
A.     Bidadari
B.     Bunga
C.     Bulan Purnama
D.     Puteri Raja                                           
E.     Semua di atas             

10.   Manakah ayat yang berikut salah?:
A.     Penduduk kampung tolong-menolong
B.     Penduduk kampung saling menolong
C.     Penduduk kampung saling tolong-menolong
D.     Tiada yang salah
E.     Ayat A, B, dan C betul.                       

11.   Manakah apitan mempeR-...-i yang berikut salah?:
A.     Memperoleh
B.     Memperbaiki
C.     Memperakui
D.     Semua perkataan di atas betul
E.     Perkataan A, B dan C salah.                       

12.   Manakah makna simpulan bahasa “besar kepala” berikut yang salah?
A.     Kepala besar
B.     Degil
C.     Sombong
D.     Bongkak
E.     Tiada jawapan di atas.                       

13.   Manakah ayat yang berikut ditulis dengan betul?
A.     Aduh! sakitnya kaki ku.
B.     Aduh, sakitnya kaki ku!
C.     Aduh! sakitnya kakiku.
D.     Aduh, sakitnya kakiku!
E.     Aduh! sakitnya kakiku!                       

14.    Apakah istilah rasmi bagi brainstorming?
A.      Perah otak
B.      Himpun fikiran
C.      Bahas terbuka
D.      Memerah otak
E.      Sumbang saran                                   

15.    Pilih ejaan yang betul bagi kata perkataan-perkataan yang berikut:
A.      Hartanah
B.      Bandaraya
C.      Sama ada
D.      Pasaraya
E       Keretapi                                                           


Syarat dan peraturan

1.         Alamatkan penyertaan anda ke samsudin.jidin@yahoo.com;
2.         Hanya tiga (3) pemenang akan dipilih berdasarkan jawapan yang paling banyak betul;
3.         Kuiz ini terbuka kepada semua para blogger dan pembaca;
4.        Tempoh kuiz bermula dari 16 November sehingga 16 Disember, 2009.
5.        Setiap orang hanya layak menghantar satu penyertaan sahaja.
6.        Setiap orang hanya layak memenangi satu hadiah sahaja.
7.        Format jawapan:  1. A, 2. B, 3. C, 4. D, 5. E, 6. A, 7. B, 8. C, 9. D...
8.        Penganjur berhak membatalkan penyertaan yang tidak lengkap, lewat dan/atau tidak  menepati syarat-syarat pertandingan. Bukti penghantaran bukanlah bukti penerimaan.
9.        Pemenang akan dimaklumkan melalui Blog ini.
10.      Hadiah akan dihantar melalui pos.
11.      Semua hadiah tidak boleh ditukar dengan wang tunai dan tidak boleh ditukar milik  kepada individu lain.
12.      Keputusan penganjur adalah MUKTAMAD dan rayuan dalam segala bentuk komunikasi tidak akan dilayan. Penganjur berhak membatalkan pemenang yang didapati melanggar syarat dan peraturan peraduan tanpa perlu memberi sebarang notis kepada mana-mana pihak.
13.      Dengan menyertai kuiz ini, anda telah bersetuju mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan. Penganjur berhak menukar syarat dan peraturan peraduan tanpa perlu memberi notis kepada anda dan anda bersetuju untuk mematuhi penukaran tersebut.

Jawapan Kuiz:
1. C
2. D
3. B
4. A
5. E
6. C
7. D
8. D
9. D
10. C
11. A
12. A
13. D
14. A
15. C


Pemenang Kuiz: 
1.Mohd Noorhisham bin Rosli-K/P: 890723-03-5475 
2.Zaharah binti Ahmad-K/P:650718-10-6055
3.Sofia Farizan binti Razali-K/P:740202-14-6388


TAHNIAH!


Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...