17 November, 2009

Artikel Khas: Bukti Asal Usul Kita...


Artikel ini adalah berdasarkan catatan perjalanan Encik William Chai ke Taiwan yang telah disiarkan dalam akhbar Eastern Times bertarikh 28 April 2009, pada muka surat E8 dan E9.

Kaum Orang Asli Taiwan ialah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada kaum peribumi/bumiputera di Taiwan. Kajian terbaharu menunjukkan nenek moyang mereka sudah mendiami pulau Taiwan lebih kurang 8,000 tahun sebelum imigran Cina berketurunan Han berhijrah dari Tanah Besar China ke pulau ini pada kurun ke-17. Kaum Orang Asli Taiwan tergolong dalam kumpulan orang Austronesia, iaitu bahasa dan genetik mereka lebih dekat dengan kumpulan etnik Austronesia yang lain seperti orang Filipina, Melayu, Indonesia, Madagascar dan Oceania (Hill et al. 2007; Bird, Hope & Taylor 2004).




Menurut Encik William Chai, setiap pagi, pemandu pelancongnya, Hung Chia Hong akan mengucapkan “Selamat Pagi”. Encik William Chai tidak berasa terkejut kerana pada anggapannya, adalah menjadi satu kelaziman Pemandu Pelancong akan mempelajari beberapa patah perkataan negara pelancong yang hadir bagi mendekatkan diri dengan pelancong tersebut. Walau bagaimanapun, ketika Encik William Chai tiba di Ibu kota Taiwan, iaitu Taipei, kumpulan pelancongan beliau telah melawat firma komersial yang dikenali sebagai The Mao’s Princess House yang menjual produk dari kawasan pergunungan.



Keluarga Mao ini adalah dari kumpulan etnik Shao (Dieja sebagai “Thao” di Taiwan dan China). Etnik Shao merupakan etnik terkecil berbanding dengan kaum asli Taiwan yang lain, iaitu hanya berjumlah sekitar 300 orang. Perkampungan etnik Shao ini terletak di Danau Matahari Bulan (Sun Moon Lake), salah satu tarikan utama di Taiwan yang mendapat nama kerana keadaan bentuk danaunya. Mereka menjadikan Rusa Putih sebagai lambang etnik mereka. Kumpulan beliau telah disambut oleh dua orang wanita cantik yang menyajikan mereka minuman teh ketika hadir.


 
“Minum teh” wanita muda yang bernama Mao Siang Hui menyambut Encik William Chai ketika menghidangkan teh dari kawasan pergunungan tinggi kepadanya. “Xie-Xie Ni” (Bermaksud ‘terima kasih’ dalam Bahasa Mandarin).

“Terima kasih” balas wanita tersebut.


Mao Siang Hui kemudian bertanya kepada Encik William Chai dalam Bahasa Mandarin “Adakah anda datang dari Da Luk (Tanah Besar China)?” Encik William Chai berasa kehairanan kerana beranggapan sebelum ini wanita tersebut menyambutnya dalam Bahasa Melayu kerana mengetahui beliau datang dari Malaysia.


“Tidak, saya dari Malaysia. Tapi, jika awak menganggap saya datang dari China, mengapa awak bercakap dengan saya dalam Bahasa Melayu?” Encik William Chai bertanya penuh keraguan.


“Oh, tidak! Saya bercakap dalam bahasa saya sendiri, Bahasa Shao, yang mempunyai persamaan dengan Bahasa Melayu” Mao Siang Hui membalas.

Kemudian, seorang staf lelaki memaklumkan wanita tadi merupakan Puteri Shao, iaitu puteri kepada etnik Shao dengan nama keluarga Mao. Mereka merupakan cucu kepada Ketua Puak Shao. Encik William Chai kemudian membuat semakan di Wikipedia bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Kaum Orang Asli di Taiwan.


Fakta lain yang diperoleh ialah bahasa bagi etnik Ami (Puak terbesar dalam kalangan kaum asli Taiwan) menyebut nombor 5 sebagai “Lima” dan nombor 6 sebagai “Enam”. Walau bagaimanapun, pada hari ini, kebanyakan generasi muda orang asli di Taiwan tidak lagi mampu bertutur dalam bahasa asal mereka kerana mendapat pendidikan di Sekolah Cina.


Encik William Chai turut melawat Kampung Budaya Ami yang terletak di Daerah Hualien. Etnik Ami dalam Bahasa Mandarin disebut sebagai Ah Mei Zu.


“Naruwan! (Selamat datang)” Encik William Chai disambut oleh seorang wanita Ami, Chuang Yik Mei. Beliau dimaklumkan masyarakat Ami mengamalkan budaya sebagaimana adat masyarakat Minangkabau, iaitu perempuan menjadi ketua keluarga dan mempunyai kuasa yang lebih daripada lelaki. Walau bagaimanapun, kebanyakan adat ini tidak lagi diamalkan memandangkan ramai orang Ami yang telah berkahwin campur dengan masyarakat Han yang telah mempengaruhi budaya masyarakat Ami kini.

Chuang Yik Mei memaklumkan bagi memelihara kebudayaan etnik Ami, sebahagian penari di kampung budaya ini merupakan pelajar. Terdapat dua sesi persembahan budaya yang diadakan pada setiap petang, iaitu pada jam 5.30 petang dan 7.20 petang. Salah satu tarian etnik Ami, iaitu Tarian Buluh mempunyai persamaan dengan Tarian Alu-alu yang dimainkan oleh etnik Melanau di Negeri Sarawak.


Diambil daripada
http://ibnurusydi.blogspot.com dengan sedikit pembetulan tatabahasa dan ejaan oleh Mybabah.

2 comments:

a kl citizen said...

assalammualaikum

bila membaca puak Han ni...
teringat pemberontakan puak Uighyur dengan puak Han di China...pertelagahan "saudara"

ada juga berita yang menyatakan puak Han cuba menghapuskan etnik Uighyur yang beragama Islam, menutup peluang pekerjaan, membawa masuk puak Han secara beramai2 ke wilayah Uighyur... ala2 Israel lah jugak...

ada kaitan ke etnik Han Taiwan dengan etnik Han di China? menarik ya? mungkinkah sejarah di Taiwan ini berulang semula di Uighyur, tetapi kali ini bukan bahasa yang menjadi mangsa, tetapi agama yang menjadi terancam

... said...

Salam Warga KL. Wow, tak sangka sejarahnya begitu. Tak hairanlah ada sebahagian "Melayu" di negara ini mempunyai ciri-ciri yang sedemikian. Sikap assobiyahnya terlalu melampau!

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...