23 October, 2009

Isu Semasa


PM masih belum berani menukar istilah yang salah.

Kelmarin sekali lagi Y.A.B. Perdana Menteri kita membentangkan belanjawan negara yang nama khasnya Bajet 2010.  Ini bermakna sudah tujuh tahun berturut-turut kita menggunakan perkataan yang salah berbanding dengan 53 tahun (sejak 1956) yang lalu apabila kita menggunakan perkataan yang lebih persis, iaitu belanjawan. 



Dengan berpandukan hujah ilmiah yang terkandung di dalam Kamus Dewan Edisi ke-4 (terkini) sebagai rujukan berwibawa dan diterbitkan oleh sebuah agensi di bawah Kementerian Pelajaran, saya tetap berpendapat bahawa perkataan belanjawan yang digunakan sebelum ini adalah tepat dan tidak salah, manakala perkataan bajet yang mula digunakan pada pembentangan Belanjawan 2003 di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah kurang tepat.

Kamus Dewan mentakrif belanjawan sebagai yang berikut:

1. perhitungan banyaknya wang yang akan diterima (sebagai pendapatan) dan dibelanjakan, butiran ringkas anggaran pendapatan, dan perbelanjaan: menteri kewangan bertanggungjawab menyediakan ~ negara setiap tahun;

 2. peruntukan wang untuk sesuatu keperluan atau untuk sesuatu jangka waktu: perdebatan mengenai perincian ~ kementerian pendidikan diteruskan hari ini.

Keindahan bahasa Melayu salah satunya terletak pada tatabahasa bahasa Melayu itu sendiri. Keunikan unsur imbuhan pada tatabahasa Melayu tidak terdapat pada bahasa-bahasa lain. Dalam konteks kata belanjawan, dasar kata “belanja” boleh membawa pelbagai makna dengan hanya menggunakan imbuhan, seperti berbelanja, perbelanjaan, membelanjakan, belanjaan, membelanjai dan penambahan imbuhan asing "wan" menambah satu lagi perbendaharaan  kata bahasa Melayu kepada belanjawan. Jika kaedah yang sama digunakan pada perkataan bajet,  bunyinya bukan sahaja “hodoh” didengar malah hilang kemurniaannya. Dari segi prinsip perkembangan bahasa, kita tidak perlu meminjam perkataan yang sudah ada dalam bahasa kita. Dan perkataan belanjawan sudah begitu lama digunakan, lahir daripada akar budaya dan bahasa Melayu sendiri, belanja. Semoga perkembangan dan kemurnian bahasa kita terpelihara.

Pada hakikatnya, tidak ramai yang mengetahui bahawa penggunaan imbuhan "wan" pada satu-satu kata dasar membawa makna bahawa ia sesuatu yang besar dan tinggi martabatnya, seperti bangsawan, dermawan, cendekiawan, angkasawan, sasterawan, usahawan dan lain-lain.  Sebaliknya, bajet boleh membawa pengertian sesuatu yang murah dan kecil seperti budget hotel, budget holiday, kereta sewa bajet dan sebagainya.

Ya! Selama 46 tahun (1956 - 2002) kita menggunakan perkataan belanjawan dan perkataan itu sememangnya tepat mengikut konteks yang digunakan. Tapi pada pembentangan Belanjawan 2003, perkataan itu telah ditukar (dipinjam daripada Inggeris) menjadi bajet sehinggalah ke hari ini.  Kita berharap Menteri Kewangan (sama ada yang ada sekarang atau yang akan datang) berani mengubah semula istilah ini kepada istilah yang lebih tepat dan persis, iaitu belanjawan. Wallahualam.

Konsultasi
Dalam konteks yang sama, saya juga “resah” dengan penggunaan kata konsultasi.  Perkataan perunding atau perundingan, seperti Majlis Perundingan Negara (Nasional Consultative Council) adalah lebih tepat, iaitu terbitan daripada kata runding bermaksud berbincang untuk mencari persetujuan.

Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...