09 November, 2009

e-Tip Bahasa Melayu 10


Sebentar tadi saya membawa teman-teman sekursus dari Timor Leste, Republik Chad dan Filipina yang sama-sama menghadiri kursus Certified Training Programme di Mount Kiara, bersiar-siar di Kuala Lumpur. Kami sempat melalui pinggir KLCC. Ketika itu, teringat saya akan ungkapan Melayu bagi Petronas Twin Towers, iaitu Menara Berkembar Petronas. Kebanyakan orang tidak menyedari bahawa terjemahan tersebut adalah salah. Malah media massa pun turut mempopularkan istilah salah berkenaan sehingga dianggap betul. Pada hakikatnya, istilah yang tepat bagi Petronas Twin Towers ialah Menara Kembar Petronas kerana nama Inggerisnya ialah Petronas Twin Towers, bukannya Petronas Twinning Towers. Bangunan pencakar langit itu tidak boleh disebut sebagai "Menara Berkembar" kerana istilah itu menggambarkan bahawa ada satu lagi mercu tanda yang serupa atau yang sama di tempat lain, seperti universiti berkembar atau twinning university dan juga bandar berkembar atau twinning city, seperti yang selalu kita dengar.



Menara Berkembar atau Menara Kembar

Sambungan e-Tip Bahasa Melayu
e-Tip kali kali ini meneruskan isu tentang ungkapan-ungkapan lain yang ditegah penggunaannya oleh ramai pakar bahasa, antaranya:

1. Di mana/ yang mana
Mana dikategorikan sebagai kata tanya, iaitu kata yang digunakan untuk menanyakan tempat, orang atau benda. Menterjemah atau menggunakan ungkapan ini bagi ayat bahasa Inggeris yang menggunakan perkataan of which atau where adalah salah.
Contoh:
Salah: Kuala Lumpur ialah bandar yang menarik di mana/ yang mana terdapat pelbagai tumpuan menarik pelancong.
Betul: Kuala Lumpur ialah bandar menarik yang terdapat pelbagai tumpuan menarik pelancong.

Nota: Selain yang, di mana/yang mana juga boleh digantikan dengan perkataan dengan, apabila, yakni dan iaitu.

2. Mereka-mereka
Mereka, iaitu kata ganti nama diri ketiga sudah berbentuk jamak dan tidak perlu diulang.
Contoh:
Salah: Mereka-mereka yang salah akan dihukum.
Betul: Mereka yang salah akan dihukum.

3. Demi untuk
Demi dan untuk ialah kata sendi nama. Oleh itu, demi tidak boleh digunakan bersama-sama dengan perkataan untuk dalam bentuk demi untuk.
Contoh:
Salah: Rakyat perlu bersatu demi untuk kestabilan negara.
Betul: Rakyat perlu bersatu demi/untuk kestabilan negara.


Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...