31 January, 2010

Isteri melamar untukku...


 "Semoga berbahagia" kata arwah emak dengan nada sinis, sambil bangun menuju ke bilik dan menghempas daun pintu dengan kuat. Arwah emak begitu marah apabila isteriku meluahkan hasratnya untuk meminangkan untukku seorang gadis bekas pengikut Arqam, Norlaila namanya. Emak antipoligami. Abah pun tidak bersetuju, tetapi abah tidak melenting seperti emak.Yang pasti mak dan abah tidak merestui hasrat itu.

Norlaila (bukan nama sebenar) berpurdah seperti ini.

Kami mengenali Norlaila kerana si gadis itu selalu berkunjung ke kedai kami. Lama kelamaan  hubungan isteriku dan Norlaila menjadi akrab. Menurut isteriku, Norlaila memang cantik, kulitnya putih mulus. Cun kata orang sekarang. Aku tidak pernah melihat wajahnya walau sepicing pun, kerana terlindung dik purdah. Berapa kali aku cuba menjeling  dan mengintai wajah di sebalik purdah itu, tetapi gagal. Semasa kami membawa si gadis genit makan di luar pun, aku masih tidak dapat mengintai wajahnya kerana dia menyuap makanan melalui bawah jilbab.

  Cinta Kecil?

Aku pernah membawa Norlaila berjalan-jalan, bersama-sama mahram, iaitu anak-anakku. Semasa sedang berdua, aku bertanya, apakah perasaan awak kepada saya. Dia menjawab dengan tersipu, "suka". Selang beberapa minggu selepas itu, isteriku meneruskan hasratnya melamar Norlaila. Aku menunggu di rumah. Norlaila bersetuju. Mana lelaki yang tidak memberi reaksi positif jika mengalami peristiwa yang semacam ini. Menurut isteriku, tidurku  setiap malam selepas hari itu sangat nyenyak dan senyum meleret-leret di muka. Kononnya, pada pandangan isteriku, aku seronok. Hakikatnya, perasaanku bercampur baur dan lebih cenderung pada kekhuatiran. Siapa yang tidak khuatir? Aku benar-benar khuatir rumah tangga bahagia yang kami bina bersama akan hancur musnah dengan kehadiran orang ketiga. Selepas hari itu, kami tidak henti-henti menunaikan solat hajat berjamaah, memohon petunjuk Allah. Akhirnya...



Allah menghantar bala tenteranya memberitahu kami siapakah gadis di sebalik purdah itu. Tanpa pertolongan Allah, mustahil kami dapat mengetahui sejarah lampau si gadis Ketereh, Kelantan ini. Tidak payahlah dihuraikan apa yang telah berlaku. Yang pasti, setelah peristiwa tersebut, isteriku tidak berani lagi menawarkan peluang kedua kepadaku untuk beristeri. Aku tak kisah kerana bagiku isteriku sudah hampir sempurna dalam serba serbi.


Luahan Hati Babah:
Cerita di atas adalah antara beberapa cebis kisah hidup yang pernah babah lalui. Bagi babah, isteri babah memang hebat dan sangat berani ketika itu. Katanya "apa salahnya kebahagiaan kita dikongsi bersama-bersama orang lain". Hati babah yang naik kecut dibuatnya. Perasaan bercampur baur antara seronok nak berkahwin lagi dan takut kebahagiaan yang ada musnah bak kata orang tua-tua "yang dikejar tak dapat, yang dijinjing berciciran". Selama hampir 23 tahun kami berkahwin tidak pernah kami merasa tidak bahagia. Allah mengasihi keluarga kami. Kepadamu wahai isteriku, inginku katakan, seandainya kau tidak berbuat syirik kepada Tuhanmu, aku pasti yang menantimu di akhirat ialah syurga firdaus, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai... Amin...







Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...