24 February, 2010

Aku Pemburu Jin 7: Satu Kontroversi


Makluman: Entri kali ini mungkin mewujudkan sedikit kontroversi dalam kalangan pembaca. Oleh itu, dalil akli (akal) dan dalil nakli (nas) mungkin dapat mengungkai persoalan yang ditimbulkan.

Persoalan: Adakah ayat-ayat al-Qur'an dapat memusnahkan jin atau syaitan, seperti yang diyakini oleh kebanyakan orang? Betulkah jin akan lari ketakutan apabila anda membaca ayat Kursi atau surah Yasin atau ayat-ayat al-Qur'an yang lain?

Jika jawapannya "tidak", maka anda telah ditipu hidup-hidup oleh pelbagai pihak, termasuk para ustaz (?) atau pembuat-pembuat filem atau drama seram di televisyen.


Pembuktian:
Jika orang Islam sendiri tidak faham apa yang mereka baca (contoh: ayat Kursi) ditambah pula dengan pembacaan secara "tonggang terbalik" (membaca secara tidak tartil), adakah diterima oleh akal yang waras, para jin dapat memahami ayat-ayat yang anda baca? Seperti anda, jin juga perlu mendalami al-Qur'an dari aspek pembacaan dan kandungannya.

Firman Allah:
"Katakanlah (hai Muhammad)!: "Telah diwahyukan kepadaku bahawasanya telah mendengarkan sekumpulan jin (akan al-Qur'an)" (Al-Jin, ayat 1).
"Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku" (Az-Zariyat, ayat 56).
"Wahai bangsa jin dan manusia! Apakah belum datang kepadamu rasul-rasul daripada golongan kamu sendiri" (al-An'am, ayat 130).

Jika jin atau syaitan boleh dihapuskan atau lari "lintang pukang" dengan hanya membaca beberapa potong ayat al-Qur'an, letak sahaja para Qari atau Qariah di tempat-tempat syaitan bertandang, seperti di kelab-kelab malam, rumah-rumah urut atau sarang-sarang pelacuran, nescaya perniagaan di tempat-tempat maksiat seumpama itu akan segera gulung tikar.


Anda berdalih lagi: Bukan semua jin akan musnah, tetapi syaitan dalam kalangan jin sahaja yang akan terbakar dik hembusan ayat-ayat suci al-Qur'an, jin Islam tidak...(fikiran anda tergambar tangisan dan raungan jin atau hantu syaitan yang ketakutan dan kesakitan apabila dibacakan ayat-ayat al-Qur'an kepada mereka dan anda juga terbayang rupa paras pelakon hebat M. Rajoli yang membacakan ayat itu).

Alasan Babah:
Tidak ada perbezaan antara jin Islam dan jin kafir, kecuali ketakwaan mereka kepada Allah s.w.t. Ada dalam kalangan mereka awalnya Islam, kemudian kafir, begitu juga sebaliknya.

Firman Allah:
"...kecuali iblis, dia adalah daripada golongan jin" (al-Kahfi: ayat 50).

Akal yang sihat tidak dapat menerima, apabila jin menjadi kafir, mereka tidak boleh mendengar al-Qur'an, sedangkan ketika Islam, membaca al-Qur'an merupakan satu cabang daripada cabang ibadat.

Firman Allah:
"Mereka (jin) berkata:"Wahai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan al-Qur'an yang diturunkan sesudah Musa..." (al-Ahkaf, ayat 30).

Allah tidak akan memungkiri janji dan anda juga tidak sepatutnya menuduh Allah memungkiri janji-Nya.

Firman Allah:
"Iblis menjawab: "Beri tangguhlah aku sampai waktu mereka dibangkitkan". Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau termasuk orang yang diberi tangguh" (al-A'raf: ayat 14-15).


Oleh itu, apakah peranan al-Qur'an dalam menangani masalah ini?
Tunggu sambungannya dalam siri akhir Aku Pemburu Jin 8...

Nota:
Seminggu lamanya Babah a.k.a. Pemburu Jin diserang demam selesema (bukan selsema). Pemburu Jin diserang demam dan sakit tekak? Anda jangan ketawakan Babah kerana  untuk pengetahuan anda jin juga diserang penyakit. Babah akan datang berkunjung ke blog anda selepas tubuh badan sihat dan "streamyx" tidak meragam, insya-Allah.





Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...