28 November, 2009

Bahasaku: Kronikal Melayu Haprak Telinga Pekak Mata Tak Nampak




Dulu...
Bahasa Melayu bahasa buana...digelar orang lingua franca yang utama
Bahasa sarwajagat, bahasa yang tak pernah tergugat

Kini...
Bahasa itu semakin letai, lesu tidak bermaya
Bukan kerana bersiduga dengan bahasa asing yang semakin kaya
Tetapi dek sikap bangsanya yang mudah alpa dan terus maknga
”Kalau nak mati, matilah bahasaku” kata mereka...

Dulu...
Bahasa Melayu bahasa agama
Dengannya, tersebar dakwah Islamiah di serata ceruk nusantara
Mencantas fahaman animisme, menggantikan iman kepada yang Esa
Menyelamatkan manusia di sini daripada seksa api neraka

Kini...
Bahasa Melayu hanya diigau dan diracau
Haluannya tidak lagi lurus tetapi berpirau-pirau
Menjadi bahan mengenyeh, mengutngit dan mengaco
Pengetahuan agama mengecut semua tak hirau

Dulu...
Bahasa Melayu bahasa penggalasan
Diguna para khoja dalam urusan perniagaan
Memetrai perjanjian dan juga persahabatan
Dihormati kawan, ditakuti lawan

Kini...
Bahasa Melayu jarang digamit
Dalam perniagaan digunakan hanya sekelumit
Sudah tak diendah dan tidak lagi merelit
Bukan sahaja dipersenda, dicebik dan diece, malah tersepit

Selamanya...
Bahasa Melayu akan terus begini...
Itu pun sekiranya ia belum mati
 atau pun selagi Melayu haprak telinga pekak mata tak nampak
 masih bernafas di sini....



Nota:
Hamba bukanlah pejuang assobiyah, melulu dan semberono mempertahankan bangsa dan bahasaku.  Hamba benci pada hipokrasi sekelompok manusia dalam kalangan bangsaku yang menggunakan slogan dulu, kini dan selamanya dan slogan-slogan elusan dan retorik yang lain untuk meranapkan bangsa mereka sendiri...

Perbendaharaan kata (rujuk Kamus Dewan Edisi ke-4):
Buana = dunia, jagat, bumi
Lingua franca = bahasa perantaraan atau bahasa perhubungan antara masyarakat atau orang-orang yang berlainan bahasa;
Sarwajagat = sejagat, universal, meliputi seluruh dunia, alam semesta;
Letai = letih lesu lemah
Siduga (bersiduga) = berlumba
Maknga = cuai, lalai
Dek = kerana, oleh
Alpa = lalai, kurang mengendahkan
Igau = bercakap yang bukan-bukan, merepek
Racau = bercakap dengan tidak tentu fasal (tidak keruan) ketika demam, mengigau.
Pirau = tidak lurus perjalanannya, melencong (menyimpang) ke kiri atau ke kanan; berpirau-pirau berjalan menyimpang-nyimpang (menyerong-nyerong, berpal-pal, berperai-perai)
Mengenyeh = bergurau
Ngutngit (mengngutngit) = berkata yang bukan-bukan, meracau, merepek.
Aco (mengaco) = berkata tidak keruan (yang bukan-bukan).
Penggalasan = perdagangan
Khoja = (gelaran bagi) saudagar (yang datang dari negeri Parsi atau India Utara)
Merelit = berkilat-kilat
Ece = mengejek, mempersendakan
Elusan= memujuk(-mujuk), memperlakukan dengan baik (untuk mempengaruhi)
Retorik = pertuturan atau tulisan yang menggunakan bahasa atau kata-kata yang indah atau muluk-muluk untuk mempengaruhi pemikiran pendengar.

5 comments:

Ampuan Awang said...

salam sahabat... selamat hari raya eidul adha.

tertarik sungguh dengan perkataan 'Pirau', bahasa Melayu Brunei gayanya... nantikan, saya pun akan menitipkan sesuatu serupa ini juga menggunakan perkataan yg tuan gunakan... bukannya 'ciplak' aa :)

... said...

Salam Ampuan Awang. Ada lagi makna lain bagi perkataan pirau. 1. Warna seperti warna abu, kelabu 2. Kabur.

Daud Mili said...

salam,tertarik dengan kata-kata ;

"...Dulu... Bahasa Melayu bahasa agama, Dengannya, tersebar dakwah Islamiah di serata ceruk nusantara, Mencantas fahaman animisme, menggantikan iman kepada yang Esa, Menyelamatkan manusia di sini daripada seksa api neraka ..."

bahasa kita masih menjadi bahasa penghantar kepada usaha dakwah, semoga berterusan ,...insyaALLAH...~

Azhar Salleh said...

Salam TUAN SAMSUDIN,
Puisi ini jelas dan langsung, tidak banyak berkias, dan terus menuju tepat ke sasaran makna kendatipun rencam pustaka katanya. Puisi yang terpahat tinta benar daripada pena kesedaran untuk direnungi dengan mata rasa dan jiwa. Suara bahasa bergema dalam gelora, menikam detak nadi di jiwa, terungkap bicara untuk menyanggahi kebatilan. Tahniah, tuan!

... said...

Salam Cik Azhar. Memang hebat! Komen pun bahasanya cukup indah. Harap-harap masih sempat untuk belajar untuk menjadi orang bijak berbahasa seperti tuan. Jazakaullahu khairan kathira, ikhlas dari lubuk hati.

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...