Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis?” Lalu jawab sahabat: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta".
Lantas Baginda s.a.w bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis dalam kalangan umatku adalah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Dia juga (pada masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang. Lalu diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dahulu), maka dosa-dosanya itu akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadith Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis itu, dapat kita fahami bahawa golongan yang menjadi muflis pada hari akhirat pada asalnya adalah orang yang memiliki pahala yang banyak. Bagaimanapun, semua pahala ibadat mereka itu habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada manusia lain yang pernah disakiti, dikhianati, dihina, dibunuh atau dizaliminya.
Alangkah ruginya golongan muflis ini. Ganjaran pahala yang mereka kumpul dengan mengerjakan bermacam-macam ibadat, akhirnya menjadi barang tukaran kerana denda yang perlu dibayar disebabkan kesalahan mereka terhadap orang lain.
Muflis = bankrap, rugi, meleset, papa, miskin.
Di alam dunia, kebankrapan adalah satu proses di mana seorang penghutang itu diisytiharkan sebagai bankrap lanjutan daripada suatu perintah yang dibuat di Mahkamah Tinggi terhadap penghutang tersebut atas kegagalan atau ketidakupayaan mereka membayar hutang. Di Malaysia, jumlah hutang yang membolehkan individu dibankrapkan ialah RM30,000.00
Antara hutang yang boleh menyebabkan individu itu bangkrap ialah:
- sewa beli kenderaan
- pinjaman peribadi atau perumahan
- menjadi penjamin sosial
- orang yang menjadi penjamin tetapi sipeminjam gagal membayar hutang
- pinjaman pelajaran
- hutang kad kredit
- hutang cukai pendapatan
Awas, jangan jadi bankrap di dunia dan di akhirat. Hutang wajib dibayar!
Semoga Allah memelihara kita daripada muflis...
Read more...