12 October, 2009

Selembar Benang 2



Tahukah anda apakah kata dasar (root word) bagi perkataan menyuci? Adakah suci atau cuci? Untuk menjawab soalan ini, ada perlu ada sedikit ilmu tentang tatabahasa Bahasa Melayu. Mengapa saya bertanyakan perkara ini? Kerana Ahmad Jais dalam nyanyian lagu hari raya ada menyebut "mensuci hening dosa". Pada mulanya saya ingat betul. Tetapi, formula yang ada jelas menunjukkan penulis lirik lagu tersebut terlepas pandang tentang perkara ini. 

Untuk pengetahuan anda semua, imbuhan men- akan bertukar menjadi me- apabila imbuhan itu bertemu dengan kata dasar yang bermula dengan huruf k, s, p, dan t. Semua kata dasar yang bermula dengan huruf k, s, p, dan t akan mengalami peluluhan kecuali kata-kata pinjaman, sama ada kata pinjaman daripada bahasa Inggeris, Arab mahupun Jawa. Jika anda menghadapi masalah untuk mengingati huruf-huruf itu, anda hanya perlu ingat akan frasa berikut: 

Kalau sakit pergi tidur.
Men- + korek = mengorek
Men- + sapu = menyapu
Men- + pukul = memukul
Men- + tarik = menarik

Contoh:
Memastikan bukan mempastikan
Mengayakan bukan mengkayakan
Memulaukan bukan mempulaukan
Mengembangkan bukan mengkembangkan
Menabalkan bukan mentabalkan

Bagaimanapun, terdapat kekecualian dalam pengejaan kata-kata yang bermula dengan huruf k, s, p dan t yang menerima imbuhan men- atau apitan men-..-kan dan men-..i.

Contoh:
Memprotes bukan memerotes
Mentafsir bukan menafsir
Mempelopori bukan memelopori
Mempercayai bukan memercayai
Mempunyai bukan memunyai
Memperincikan bukan memerincikan
Memperlahankan bukan memerlahankan 

Adakah vs apakah
Rumusan:
Adakah digunakan untuk mendapat jawapan ya atau tidak, manakala apakah digunakan untuk mendapat jawapan tentang nama binatang, benda dan perbuatan.
Contoh: Adakah dan apakah
Salah: Apakah benar kata-katamu itu?
Betul: Adakah benar kata-katamu itu?
Salah: Adakah haiwan yang paling besar di dunia?
Betul: Apakah haiwan yang paling besar di dunia? 

Boleh vs dapat
Rumusan
Boleh lebih tepat digunakan dalam hubungan dengan keizinan, manakala dapat lebih sesuai digunakan dalam hubungan dengan keupayaan atau kemampuan.

Contoh:
Salah: Ali tidak dapat menunggang kuda (kerana tidak tahu menunggang).
Betul: Ali tidak boleh menunggang kuda.
Salah: Zairul tidak boleh hadir kerana sakit.
Betul: Zairul tidak dapat hadir kerana sakit.

Jumpa lagi minggu depan, insya-Allah

Read more...

Selembar Benang 3



Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain - sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat - orang yang sabar akan berhasil usahanya.

Mari kita mempraktikkan pepatah ini dalam mempelajari bahasa Melayu agar mantap ilmu di dada, kekal di benak semua.

Tingkap papan kayu bersegi;
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi;
Tinggi darjat kerana bahasa.

Rumah mana tidak bersampah – semua orang tidak dapat mengelak daripada membuat kesilapan. Namun begitu, salah cotok melantingkan - tiap-tiap pekerjaan hendaklah dilakukan dengan sewajarnya, yang salah hendaklah dibetulkan. Ingatlah, salah makan memuntahkan, salah tarik mengembalikan, salah langkah surut kembali - jika salah dalam sesuatu pekerjaan hendaklah segera diperbaiki kesalahan itu.

Yang kurik kundi, yang merah saga
Yang baik budi, yang indah bahasa 

Merbahaya vs berbahaya
Ketika dalam perjalanan pulang ke kampung bersempena hari raya nanti, perhatikan papan tanda ‘Awas Selekoh Merbahaya Di Depan’.
Rumusan:
• Ejaan merbahaya itu salah!
• Kata dasar sebenar ialah ‘bahaya’
• Merbahaya adalah hasil penambahan imbuhan ‘mer’ dengan bahaya
• Dalam bahasa Melayu tidak kedapatan imbuhan ‘mer’
• Ejaan yang betul ialah berbahaya. 

Mencolok mata vs menjolok mata
Rumusan:
Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4 (2005:285), kata mencolok mata bermakna 1. mencucuk mata; 2. (bahasa kiasan) tampak jelas, kelihatan jelas benar, 3. membangkitkan marah orang yang melihat, menyakitkan hati, memberi malu. Sedangkan kata menjolok pula bermakna 1. menusuk (merodok) sesuatu dengan galah dan lain-lain. supaya gugur, menusuk ke dalam lubang dan lain-lain. 2. memasukkan jari tangan ke dalam lubang hidung (kerongkong dan lain-lain); 3. memancing-mancing keterangan dan lain-lain; daripada orang, mengajuk atau menduga.

Salah: “Pakaian yang menjolok mata, bukanlah budaya kita”
Betul: “Pakaian yang mencolok mata, bukanlah budaya kita”





Jumpa lagi pada minggu depan...




Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...