20 April, 2013

Tujuh (7) Kali Umrah Bersamaan Pahala Sekali Haji: Betul ke?

Selepas sesi tazkirah bersama Ustaz Abdul Ghafur dan Ustaz Akbar Azmi, baru saya sedari dari mana asal usulnya umrah berulang kali yang dikejar oleh masyarakat Nusantara.


Dikatakan 7 kali umrah maka pahalanya sama dengan sekali haji. Hadisnya berbunyi; "Haji, Haji, Haji, Haji, 7 Kali umrah sekali Haji".

Hadis ini diriwayatkan oleh pemandu teksi Mekah. Ya, HADIS RIWAYAT PEMANDU TEKSI MEKAH menurut Ustaz Abdul Ghafur yang belajar di Mekah dan berguru juga dengan Sheikh Yusuf al-Qardhawi.

Kini pemandu teksi yang mencipta serta menyebarkan hadis palsu sebegini telah ditangkap oleh sebuah badan yang dikenali sebagai Amar Makruf Nahi Mungkar. Namun masyarakat Nusantara masih terus melakukan umrah berulang kali kerana hadis riwayat pemandu teksi itu tadi. Lebih menyedihkan apabila disampaikan perkara ini kepada jemaah yang lain, mereka beralasan takkan mutawif tak tahu sedangkan dia kata ini hadis sahih. Wallahi, ini suatu pendustaan atas nama Baginda SAW. Perbuatan mengulangi umrah beberapa kali dalam satu perjalanan tidak diketahui daripada sunnah Nabi dan para sahabat. Nabi SAW pernah berada di Makkah selama 19 hari waktu Pembukaan Makkah, baginda tidak keluar ke tanah halal untuk berihram umrah. Baginda pernah berada di Makkah 3 hari sewaktu Umrah Qadha’, tanpa melakukan umrah lain pun. Begitu juga para sahabat.

Kata Ash Sheikh `Abdul `Aziz Bin Abdullah Bin Baz رحمه الله : “ Ada pun mengerjakan `umrah berulang kali selepas selesai mengerjakan haji dengan keluar untuk berihram ke Tan`im, Ji`raanah atau lainnya, sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian orang padahal sudah mengerjakan `umrah sebelum haji, tidak mempunyai satu dalil pun yang menunjukkan disyariatkan amalan ini. Bahkan nas-nas yang ada menunjukkan bahawa yang utama ialah meninggalkannya kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan para sahabat رضي الله عنهم tidak pernah melakukannya setelah mereka menyelesaikan haji , kecuali `Aaishah رضي الله عنها . Beliau mengerjakan `umrah adalah kerana beliau belum lagi mengerjakan `umrah bersama orang lain ketika masuk Makkah kerana datangnya haidh. Kerana keuzurannya beliau meminta izin Nabi صلى الله عليه وسلم untuk mengerjakan `umrah , sebagai ganti umrahnya yang telah diniatkan sejak dari Miqat dan Nabi صلى الله عليه وسلم mengizinkannya .

Dengan demikian beliau telah mengerjakan `umrah sebanyak dua kali, iaitu `umrah yang dilakukan bersamaan dengan amalan hajinya dan `umrah secara tersendiri. Oleh itu sesiapa yang mempunyai kes sama seperti `Aaiahah رضي الله عنها maka tidak mengapa dia mengerjakan `umrah selepas selesai haji kerana mengamalkan hadith ini dan memberi keluasan kepada umat Islam . Namun begitu, tidak diragukan lagi, selain `umrah yang telah mereka lakukan ketika masuk Makkah , adalah menyusahkan orang ramai dan menyebabkan berasak-asakan serta boleh menyebabkan kecelakaan , di samping menyalahi sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم . “ Saya hanya berkongsi ilmu yang dipelajari dan terpulang kepada sesiapa untuk mengikutinya atau tidak kerana sesungguhnya hanyalah Allah yang mampu memberikan taufiq dan hidayah. Saya mohon siapa yang mempunyai dalil dari kitab hadis tentang 7 kali umrah pahala sekali haji untuk kongsikan dengan saya agar saya dapat meluaskan lagi ilmu pengetahuan saya.

Sumber artikel di sini.

  
Wallahualam.

Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...