19 January, 2010

Rukun Islam enam atau tujuh?


Masih terpahat dalam ingatanku satu peristiwa lucu semasa aku berada dalam darjah dua. Ketika ustaz sedang sibuk mengajar, Ahmad, kawanku yang paling nakal di dalam kelas menganggu kawan-kawan lain yang sedang tekun mendengar ajaran ustaz. Dengan nada berang ustaz  memanggil Ahmad , "Mat, mari sekejap" panggil ustaz. "Ya ustaz, ustaz panggil saya ke?" Ahmad ingin mendapatkan kepastian. "Ada sesiapa lagi bernama Ahmad di dalam kelas ini?", tanya ustaz. "Tak ada, ustaz" jawab Ahmad gagap. "Kamu orang Islam atau orang bukan Islam" tanya ustaz kepada Ahmad. "Tentulah orang Islam, ustaz" jawab Ahmad pantas. Ustaz bertanya lagi "Jika kamu mengaku sebagai orang Islam, rukun Islam enam atau tujuh? Jawab dengan betul, jika tidak saya beri kamu hadiah ini" kata ustaz kepada Ahmad sambil menunjukkan sebilah rotan.



Baharu Ahmad sedar bahawa dia cuba diperangkap oleh ustaz kerana membuat bising ketika ustaz mengajar. Walaupun agak panik ketika menerima pertanyaan itu, Ahmad lega sedikit kerana diberi pilihan dua jawapan, enam atau tujuh. Tanpa membuang masa Ahmad menjawab dengan selamba "enam ustaz". "Kamu jawab enam? Hulur tangan kamu". Zarghhh... "Adoi!" rintih Ahmad. "Sekarang, saya ulangi pertanyaan saya, rukun Islam ada enam atau tujuh?" ustaz mengulangi semula soalan yang sama kepada Ahmad. Kali ini Ahmad dengan yakin menjawab "tujuh ustaz".  "Hulur tangan kamu yang sebelah lagi" kata ustaz kepada Ahmad. Zarghhh...Ahmad tunduk kesakitan. 


   
"Rukun Islam ada berapa semuanya murid-murid" tanya ustaz kepada murid-murid di dalam kelas. "Lima ustaz" murid-murid menjawab serentak. "Mat, rukun Islam ada berapa?" ustaz mengulangi pertanyaannya kepada Ahmad. "Lima ustaz", Ahmad menjawab dengan suara yang perlahan. Dia bukan sahaja malu kerana tidak dapat menjawab soalan yang mudah, tetapi juga diberi hadiah kenang-kenangan yang akan kekal di tapak tangan untuk beberapa hari.  Sekarang saya mahu bertanya kepada kamu soalan yang kedua, "Rukun Iman ada berapa pula, lima atau enam?" Ahmad sudah mengetahui muslihat ustaz, lantas tanpa berfikir panjang dia menjawab "tujuh ustaz". "Tujuh ye?" Zarghhh....



Pesan Babah:
Beberapa iktibar yang boleh kita ambil daripada peristiwa di atas ialah:
1. Membuat pilihan memerlukan ilmu, meskipun pilihan yang ada hanya dua.
2. Jawapan yang tepat tidak semestinya berada dalam pilihan yang diberikan. Berfikirlah sebelum memilih.
3. Jangan terperangkap antara dua pilihan kerana banyak jawapan yang lebih baik berada di tengah-tengah, seperti kaya atau miskin, cantik atau hodoh, cerdik atau bodoh.


Di akhirat kelak, aku berada di syurga atau neraka?





Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...