14 October, 2009

e-Tip Bahasa Melayu 5


Kesalahan tatabahasa jika berlaku dalam bentuk penulisan laporan yang panjang, mungkin tidak disedari oleh pembaca. Kalaupun disedari, kesalahan itu mungkin dianggap tidak begitu serius. Tetapi, apabila anda melakukan kesalahan dalam penulisan ringkas, seperti memo, surat, kain rentang, tanda jalan, iklan, tirai latar (backdrop) dan lain-lain, anda dianggap telah melakukan satu kesalahan yang besar dan ini akan menjejaskan reputasi anda pada kaca mata majikan, mahupun orang ramai.  Lebih menyedihkan lagi, anda boleh diambil tindakan undang-undang oleh pihak Kerajaan Tempatan (yang sepatutnya tindakan itu diambil oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)), atas kesalahan mencemarkan bahasa kebangsaan dalam penulisan papan tanda perniagaan dan iklan, kain rentang dan kaedah pengiklanan yang lain.  Selain daripada penggunaan tatabahasa yang salah, aspek pencemaran bahasa yang lain, ialah pengutamaan bahasa asing, penggunaan warna dan saiz yang salah, kesalahan ejaan, pemilihan kata dan laras yang tidak tepat, pembentukan kata dan pengolahan ayat yang salah dan akhirnya pencampuradukan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris (rujuk laman-web DBP).









Sambungan e-Tip Bahasa Melayu

e-Tip Bahasa Melayu pada hari ini meneruskan huraian tentang kesilapan lain dalam penggunaan kata adalah.

1. Penggunaan kata adalah secara huraian atau kualitatif mesti hadir di hadapan frasa/kata adjektif.

Contoh:
Salah: KDNK Malaysia ialah lebih tinggi berbanding dengan negara ASEAN yang lain.
Betul: KDNK Malaysia adalah lebih tinggi berbanding dengan negara ASEAN yang lain.

Keterangan:
Sering terdapat kesalahan dalam penggunaan kata adalah dan ialah yang saling ditukar ganti tanpa memahami rumusan tentang penggunaannya. Penjelasan tentang kata ialah akan dihuraikan dalam siri-siri yang akan datang.

2. Penggunaan kata adalah juga mesti hadir di hadapan kata sendi.

Contoh:
Salah: Semua ini ialah untuk menjadi pedoman kita pada masa hadapan.
Betul: Semua ini adalah untuk menjadi pedoman kita pada masa hadapan.

Terdapat dua lagi kesilapan penggunaan kata adalah yang sering dilakukan oleh penulis atau penutur bahasa Melayu. Apakah kesalahan itu? Tunggu...
Read more...

e-Tip Bahasa Melayu 4


Sebelum saya menyambung e-tip Bahasa Melayu pada hari ini, saya ingin mengetengahkan satu isu yang hangat dibincangkan dalam arus perdana. Isu itu adalah berkaitan dengan penggunaan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris yang berleluasa pada nama jalan, papan tanda dan papan iklan. Kita pernah dimaklumkan bahawa istilah-istilah asing di Putrajaya, seperti Presint, Boulevard, Parcel, Palace of Justice dan lain-lain akan ditukar ke bahasa Melayu oleh Perbadanan Putrajaya menjelang pertengahan tahun lepas. tetapi atas alasan apa, cerita itu hilang begitu sahaja.  Pada masa yang sama, penggunaan bahasa asing di tempat-tempat lain masih terus berleluasa. Semasa dalam perjalanan menghantar pulang anak saya ke kampus UITM Segamat, saya terpandang satu papan iklan milik kerajaan ketika melalui Jalan Sg. Ujong, Seremban yang tertulis “Think Tourism”. Walaupun terdapat papan iklan yang dipamerkan dalam dwibahasa, iaitu “Think Tourism” dan “Fikirkan Pelancongan”, namun papan iklan itu terletak jauh di atas bukit yang tinggi dan hanya dapat dilihat oleh pengguna jalan raya dari jauh. Apalah maknanya penggunaan dwibahasa pada iklan tersebut sekiranya papan iklan itu terletak di tempat yang tidak sesuai, sedangkan iklan "Think Tourism" diletakkan di tepi jalan utama.


Papan iklan yang memaparkan ungkapan "Think Tourism" itu jelas tidak mematuhi Undang-undang Kecil Iklan kerana mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan. Sekiranya iklan tersebut menggunakan dwibahasa, bahasa Melayunya hendaklah diberikan keutamaan dari segi warna, saiz dan kedudukan. Papan iklan tersebut juga menunjukkan sikap tidak prihatinnya Majlis Perbandaran Seremban terhadap seruan kerajaan ke arah memperkasakan bahasa kebangsaan, meskipun pekeliling “Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam” telah dikeluarkan oleh Kerajaan. Pindaan ke atas Akta DBP yang akan dikuatkuasakan pada tahun ini, diharap dapat membendung gejala ini daripada terus merebak. Alangkah baiknya jika Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terus berusaha menyeru pusat-pusat pelancongan meningkatkan usaha bagi menggalakkan pelancongan dan pada waktu yang sama mempromosikan bahasa kebangsaan. Sebenarnya, bahasa kebangsaan sesebuah negara turut menjadi daya tarikan pelancong yang datang berkunjung, lebih-lebih lagi tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia. Ungkapan yang menyambut kedatangan pelancong asing yang dipaparkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau di pusat-pusat pelancongan di negara kita sewajarnya menggunakan dwibahasa. Dengan cara ini para pelancong dapat mempelajari bahasa kita, misalnya "Selamat Datang ke Malaysia" untuk "Welcome to Malaysia".

Lanjutan daripada e-Tip Bahasa Melayu 3 lepas, hari ini saya akan memberikan beberapa tip tentang kesalahan besar dalam penggunaan kata adalah.

1. Kesalahan penggunaan kata adalah di pangkal ayat.

Contoh:
Salah: Adalah dimaklumkan bahawa.....
Betul: Dengan ini dimaklumkan bahawa...

Keterangan:
Sesuatu ayat tidak boleh dimulakan dengan perkataan adalah kerana kata pemeri ini ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Selain daripada dengan ini, kata adalah di atas boleh digantikan dengan perkataan sesuai yang lain seperti dengan sukacitanya dan lain-lain atau menggugurkan kata adalah itu.

2. Kata adalah tidak boleh hadir di hadapan frasa/kata kerja.

Contoh:
Salah: Semua kakitangan adalah dipelawa memohon jawatan ini.
Betul: Semua kakitangan dipelawa memohon jawatan ini.

Keterangan:
Kata adalah sebelum kata kerja tidak membawa sebarang maksud atau fungsi tatabahasa sama ada berfungsi sebagai kata penegas atau jenis kata yang lain.

Pada artikel seterusnya kita akan sambung pelbagai lagi isu tentang kesalahan penggunaan kata adalah sebelum kita beralih kepada kesilapan menggunakan kata ialah pula.

Sekian.

Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...