26 February, 2010

Aku Pemburu Jin 8: Pentauliahan


Anda mengangkat martabat jin semata-mata kerana jin tidak nampak pada mata kasar. Anda berasa rendah diri ("inferiority complex") disebabkan mereka boleh melihat anda, tetapi anda tidak dapat melihat mereka. Banyak perkara di dunia ini yang tidak kelihatan pada mata kasar, tetapi tanggapan kita kepada mereka masih sama sahaja. Kuman (virus), angin, bahang panas dan pencuri yang mengendap, meskipun tidak terpampang di depan mata, tidak pula tinggi penghormatan kita pada benda-benda itu. Apabila kuman (virus) menyerang, kita ubati. Jika angin kencang dan bahang panas melanda, kita berlindung. Bagi mengelak pencuri daripada mengendap, kita pasang CCTV. Jadi, mengapa atas kelebihan itu, mereka ditakuti?

Jika anda terus begini, terus takut pada bayang-bayang sendiri, sebenarnya anda telah  memalingkan muka anda daripada Allah s.w.t dan mencampakkan tauliah yang Allah kurniakan kepada anda.


"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat 'Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi'…(Al-Baqarah 30)


Daripada Abu Said Al Khudri Radiallahu Anhu, Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya dunia adalah manis dan indah. Allah telah menjadikan kamu sebagai khalifah di dunia. Lalu, Allah melihat bagaimana kamu beramal” (Riwayat Muslim)


Selain itu, Allah memerintahkan mereka tunduk kepada kita (manusia):


Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir (al-Baqarah: ayat 34)

Allah juga memperakui kelemahan jin (syaitan), tetapi anda masih tidak yakin.

"Sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah" (an-Nisa: ayat 76).

Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, kamu tidak dapat berkuasa atas mereka. Dan cukuplah Tuhanmu sebagai penjaga" (al-Isra: ayat 65).

Bukan itu sahaja, malah...

1. Makanan mereka adalah lebihan daripada makanan kita.

Ibnu Mas'ud menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda "Telah datang kepadaku tukang dakwah jin maka aku pergi bersamanya. Aku membacakan al-Qur'an kepada mereka". Baginda berjalan bersama kami, dan menunjukkan kepada kami kesan-kesannya dan kesan apinya. Mereka meminta bekal. Rasulullah bersabda kepada mereka "Setiap tulang yang disebut nama Allah padanya sebagai makanan bagimu. Dan setiap kotoran lembu adalah haiwan bagimu". Nabi bersabda: "Janganlah engkau beristinjak dengan kedua-dua benda itu (tulang dan kotoran) kerana kedua-duanya adalah makanan teman-temanmu (jin)" (HR Muslim)

2. Tempat tinggal mereka tidak secantik dan sebersih tempat tinggal kita.

Tempat tinggal yang digemari jin ialah rumah-rumah kosong, padang dan hutan belantara, tempat-tempat kotoran (ini tempat "favourate" jin kafir) dan di perkuburan. Banyak hadis Nabi s.a.w. melarang kita beribadat di tempat pembuangan najis dan di kuburan, hatta di pasar sekali pun.

"Sedapat-dapatnya janganlah engkau menjadi orang yang awal-awal memasuki pasar dan jangan pula jadi orang yang terakhir keluar darinya kerana pasar-pasar itu menjadi medan pertempuran/peperangan syaitan dan di situlah mereka mengibarkan benderanya" (HR Muslim dan Ahmad).

3.  Rupa mereka hodoh, malah bertanduk seperti haiwan, tetapi rupa kita cantik berseri.

"Sesungguhnya dia adalah sebatang pokok yang keluar dari dasar neraka yang menyala, mayangnya seperti kepala syaitan-syaitan" (as-Shafaat: ayat 64-65)

Ibnu Umar menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang mafhumnya: "Janganlah kalian salat pada waktu sedang naiknya matahari dan jangan pula ketika terbenamnya kerana ia muncul di antara dua tanduk syaitan" (HR Muslim).

4. Kebanyakan mereka makhluk yang lembik, sedangkan anak-anak kita lebih kuat daripada mereka.

"Tutuplah pintu dan sebutlah nama Allah atasnya. Sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang ditutup dengan nama Allah" (HR Imam Daud, Ahmad, Ibnu Hibban)

"Tutuplah pintu-pintumu, tudungilah makananmu, dan tudungi minumanmu, dan padamkan lampu-lampumu kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang ditutup dan tidak membuka tudung dan tidak menghalalkan tudung (untuk dibuka)" (HR Imam Ahmad).


Bersambung lagi...(nampaknya kena tambah dua tiga siri lagi sebelum babah menurunkan mutiara ilmu yang perlu dipegang erat oleh saudara-saudaraku semua).









Read more...

Babah sudah memiliki telefon idaman, BlackBerry...


Sekarang babah boleh mengakses facebook, e-mel peribadi (samsudin.jidin@yahoo.com) dan e-mel rasmi (sudin@bnm.gov.my) serta blog babah Meniti Usia dengan mudah di mana-mana sahaja, hatta di bilik mesyuarat sehinggalah di bilik hajat seni (hajat kecil). Inilah rupanya Blackberry Storm 2 yang baharu babah beli.

BlackBerry Storm 2

Untuk menilai kehebatannya, anda boleh google dengan menaip BlackBerry Storm 2.



BlackBerry Storm 2

Pada hakikatnya...
Babah lebih berminat pada yang ini...


BlackBerry Bold 2

Namun...
Cawangan Celcom Blue Cube yang terbesar di Kuala Lumpur pun telah kehabisan stok BlackBerry Bold 2 kerana permintaan ke atas telefon ini yang sangat hebat.  Hampir seluruh Kuala Lumpur babah jelajahi hinggalah ke Pusat Membeli Belah Pavillion, Jalan Bukit Bintang (Blue Cube terbesar) untuk mencari BlackBery Bold 2. Tetapi, sia-sia...

BlackBerry Storm 2 baharu dilancarkan oleh Celcom pada kira-kira tiga minggu lepas, tetapi kurang popular berbanding BlackBerry Bold 2 yang dilancarkan sebulan  lebih awal. 

Kerana stok BlackBerry Bold 2 yang kehabisan dan perlu menunggu sehingga dua hingga tiga minggu baharu tiba, Babah terus membulatkan tekad membeli BlackBerry Storm 2. 

Alhamdulillah, selepas seminggu mengguna telefon genggam (bukan bimbit: bimbit bermaksud bimbing atau jinjing) ini, babah benar-benar berpuas hati. Jika ada rakan-rakan pembaca telah memilikinya lebih awal, sila berikan komen dan cadangan supaya babah dapat menggunanya dengan lebih efisien.














Read more...

25 February, 2010

Biodata Kekasih Allah No. 1


Kita sering berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita gagal mengenali baginda secara lebih mendalam. Sempena menyambut akan hari Keputeraan Rasulullah s.a.w pada 26 Februari 2010M, bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1431H , marilah kita mengimbas kembali biodata Penghulu Para Nabi ini. Ingatlah, jangan sekali kali kita lupa akan diri baginda dan pengorbanannya kepada seluruh umat manusia.


Firman Allah dalam surah al-Ahzab: ayat 56:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا
Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

Daripada Abu Hurairah ra. bahawa Nabi bersabda:
من صلى عليَّ واحدة صلى الله عليه بها عشراً
“Barangsiapa yang berselawat ke atas aku satu kali, Allah akan berselawat ke atasnya 10 kali” [hadith sahih riwayat Muslim].


BIODATA RASULULLAH SAW
1. Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
2. Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M
3. Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
4. Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
5. Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
6. Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman)
7. Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
8. Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah)

Usia 5 tahun
Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalamnya.

Usia 6 tahun
Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah). Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.

Usia 8 tahun
Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia. Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

Usia 9 tahun (sesetengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan. Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

Usia 20 tahun
Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.

Usia 25 tahun
Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah. Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah. Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu. Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

Usia 35 tahun
Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah. Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah. Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

Usia 40 tahun
Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

Usia 53 tahun
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

Usia 63 tahun
Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.

Isteri-isteri Rasulullah s.a.w.
1. Khadijah Binti Khuwailid
2. Saudah Binti Zam’ah
3. ‘Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
4. Hafsah binti ‘Umar (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab)
5. Ummi Habibah Binti Abu Sufyan
6. Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
7. Zainab Binti Jahsy
8. Maimunah Binti Harith
9. Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
10. Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)

Anak-anak Rasulullah s.a.w.
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra’

Anak tiri Rasulullah s.a.w.
Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

Saudara sesusu Rasulullah s.a.w.
1. Thuwaibah
2. Hamzah
3. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
4. Halimah Al-Saidiyyah
5. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
6. Abdullah bin Harith bin Abdul ‘Uzza
7.. Syaima’ binti Harith bin Abdul ‘Uzza
8. ‘Aisyah binti Harith bin abdul ‘Uzza

Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

Rujukan: Pelbagai sumber









Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...