04 November, 2009

Prosedur Membuat Aduan Terhadap Institusi Perbankan



Dalam urusan seharian, mungkin terdapat segelintir pelanggan kurang berpuas hati dengan perkhidmatan institusi perbankan atas pelbagai sebab. Biasanya, isu yang dihadapi tidaklah begitu rumit – mungkin berlaku salah faham atau perselisihan pendapat yang mudah diselesaikan, meskipun tidak kurang juga terdapat kes yang memerlukan penyelesaian di mahkamah.




Artikel ini menyediakan panduan kepada pengguna tentang prosedur membuat aduan terhadap institusi perbankan, sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat oleh institusi berkenaan.

Langkah 1 – Rujuk Aduan

Sekiranya anda ingin membuat aduan terhadap produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah institusi perbankan, anda digalakkan merujuk kembali kepada institusi perbankan anda sebagai langkah permulaan. Aduan boleh dibuat secara terus kepada pegawai institusi perbankan tersebut di kaunter bank atau dengan menghubungi pegawai yang bertugas melalui telefon di bahagian aduan pelanggan.
 
Langkah 2 – Susuli Panggilan Anda

Biasanya, anda perlu membuat tindakan susulan dengan mengemukakan aduan rasmi secara bertulis kepada Unit Aduan institusi perbankan anda. Aduan bertulis adalah lebih baik terutamanya jika isu yang dibangkitkan adalah agak rumit. Walau apa cara sekalipun, pastikan aduan anda adalah ringkas dan mudah difahami serta mengandungi semua maklumat yang diperlukan. Institusi perbankan anda dikehendaki memberikan jawapan terhadap aduan anda dalam masa dua minggu dari tarikh aduan diterima. Walau bagaimanapun, jangka masa yang lebih panjang mungkin diperlukan bagi kes yang agak rumit.
 
 Langkah 3- Surat Kebuntuan

Sekiranya masalah anda tidak dapat diselesaikan, pihak institusi perbankan akan menghantar “surat kebuntuan” kepada anda. Surat ini dengan ringkasnya menyatakan keputusan pihak institusi perbankan serta sebab keputusan itu dicapai. Jika anda tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat, anda boleh menghantar aduan anda kepada Biro Pengantaraan Kewangan (BPK) dalam tempoh 6 bulan dari tarikh penerimaan keputusan akhir daripada institusi perbankan anda, sekiranya aduan anda adalah dalam skop BPK. BPK akan meneliti kes itu bagi mencari penyelesaian terbaik dan perkhidmatan BPK adalah percuma. Jika  aduan anda tidak dalam skop BPK, anda bolehlah menghubungi BNMTELELINK di Bank Negara Malaysia.
 
 Langkah 4 – Khidmat Peguam
 
Jika aduan anda masih tidak dapat diselesaikan, anda bolehlah mendapatkan khidmat peguam dan membawa kes anda ke mahkamah.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

1) BNMTELELINK
Jabatan Komunikasi Korporat
Bank Negara Malaysia
P.O. Box 10922
50929 Kuala Lumpur

Tel: 1-300-88-LINK atau 1-300-5465
Faks: 03-2174 1515

E-mel:bnmtelelink@bnn.gov.my 
Laman Web : www.bnm.gov.my

2) Biro Pengantaraan Kewanga
Tingkat 25, Dataran Kewangan Darul Takaful
No.4, Jalan Sultan Sulaiman
50000 Kuala Lumpur

Talian Am:  03-2272 2811
Faks:  03-2274 5752

E-mel:  enquiry@fmb.org.my
Laman Web: http://www.fmb.org.my

No comments:

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...