07 November, 2009

Artikel Khas: Bahasa Rojak - Pandangan Peribadiku


Dalam bidang linguistik, tidak ada langsung istilah bahasa rojak. Istilah ini menjadi popular dan hangat diperkatakan orang dalam media dan dalam pelbagai wacana, seperti forum dan seminar, tanpa kita ketahui siapa pencetusnya. Yang pasti, pencipta istilah tidak rasmi ini ialah individu dalam kalangan orang awam yang prihatin tentang penyalahgunaan bahasa Melayu yang telah digaul uli sewenang-wenangnya dengan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris. Kononnya, penggunaan bahasa yang bercampur baur ini boleh mencemarkan bahasa Melayu yang telah dimartabatkan oleh Perlembagaan sebagai bahasa rasmi negara.


Contoh:
Bahasa rojak campuran Melayu-Inggeris: Kau memang teror la!; Bestlah benda ni!
Bahasa rojak campuran Melayu-Cina: Nak makan sini ke nak tapau?; Bos aku boleh kautim maa...
Bahasa rojak campuran Melayu-India: Mamak, kasi H1N1, Hollick 1, Nescafe 1 (sambil geleng kepala).



Istilah bahasa rojak wujud kononnya sama seperti terhasilnya istilah najis dadah yang memberi konotasi negatif, tidak murni dan hina sehingga disamatarafkan dengan najis, walaupun dadah itu bukanlah suatu benda yang kotor atau najis di sisi agama. Yang menghairankan, masyarakat telah menerima istilah bahasa rojak ini pada hal rojak ialah sejenis makanan yang amat digemari oleh rakyat Malaysia, termasuk saya yang sekurang-kurangnya sebulan sekali mendatangi Kedai Mamak untuk menikmati makanan yang enak itu.  Pada pendapat saya, tidak ada elemen negatif pada rojak. Selain berkhasiat (terkandung sayur-sayuran atau buah-buahan bagi rojak buah), tidak kelihatan cacat celanya rojak dari segi rupa mahupun rasa (kecuali yang telah basi). Istilah bahasa rojak ini mungkin boleh memberi makna yang berbeza kepada sesiapa yang baru mendengarnya. Dalam fikiran mereka bahasa rojak mungkin bermaksud bahasa sedap.

Fenomena percampuran dalam penggunaan bahasa sebenarnya bukanlah fenomena baharu, walaupun istilah bahasa rojak itu agak baharu. Dalam bidang linguistik, terdapat satu ragam bahasa yang disebut  sebagai bahasa pijin dan ini sudah sekian lama digunakan dalam sejarah pertumbuhan bahasa manusia. Dalam konteks masyarakat di Malaysia, masyarakat Cina Baba, misalnya, menuturkan satu ragam bahasa Melayu yang memperlihatkan pencampuran unsur bahasa Melayu dengan bahasa Cina. Walau bagaimanapun, ragam bahasa masyarakat Baba ini masih dapat dianggap sebagai variasi bahasa Melayu.

Ahli bahasa melihat bahasa yang bercampur aduk ini sebagai salah satu ragam bahasa basahan, iaitu bahasa yang digunakan untuk urusan yang tidak rasmi, seperti dalam perbualan, gurau senda dan sebagainya, Malah Pendita Za'ba dalam buku Ilmu Mengarang Melayu ada menghuraikan perbezaan antara bahasa surat (bahasa persuratan) dengan bahasa mulut (bahasa pertuturan) yang sememangnya berbeza. Menurut Za'ba jika bentuk tulisan dibawa dalam perbualan, kesannya agak janggal dan akan menjadi bahan tertawa. Beliau menyindir, "jika ia orang Melayu, dihitungkan dia mengada-ngada, jika ia bukan orang Melayu maka dihitungkan dia orang yang tidak biasa bercampur dengan orang-orang Melayu".

Dengan demikian, PADA PENDAPAT PERIBADIKU, yang dikatakan bahasa rojak itu bolehlah dirumuskan sebagai satu variasi atau satu ragam bahasa basahan yang sesuai digunakan dalam suasana tidak rasmi. Walau bagaimanapun, apabila bahasa ini digunakan dalam urusan rasmi, maka timbullah masalah kesalahan pemilihan ragam bahasa dan secara khusus masalah itu berkaitan dengan kerancuan atau kesalahan bahasa dan juga isu kesantunan bahasa. Hal ini disebabkan bahawa penggunaan bahasa berkaitan dengan adab. Adab bermakna bahawa sesuatu hendaklah diletakkan pada tempatnya yang betul. Oleh yang demikian, bahasa hendaklah digunakan sesuai dengan konteks dan keperluannya. Wallahualam.

6 comments:

tinta kasturi said...

setuju dengan maksud entri ini,
saya suka makan rojak juga!

abu muaz said...

Salam tuan. Penggunaan bahasa rojak secara tak rasmi lama kelamaan akan merosakkan bahasa kita sendiri.

... said...

Salam. Masyarakat perlu dididik dalam hal ini. Mereka perlu diajar membezakan penggunaan bahasa dalam keadaan rasmi dan tidak rasmi. Jangan dilanggar sempadan itu. Realitinya bahasa rojak sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita dan hampir mustahil untuk mewujudkan keadaan semua orang berbahasa baku sewaktu bersosial. Sejarah lampau pun tidak ada bukti wujud keadaan sedemikian. Kita akan dianggap suka berangan jika kita tetap mahu mengubah keadaan itu.Wallahualam.

a kl citizen said...

assalammualaikum

rasa bersalah pula bila membaca entri ini... yalah , saya salah seorang yang menggunakan bahasa rojak ni.. sudah menjadi tabiat, itulah bila hendak mengarang surat agak terkial-kial juga

... said...

Salam. Warga KL, jangan rasa macam itu. Kebiasaan memang susah diubah. Kita ubah perlahan-lahan. Ubah kelemahan dalam hal-hal yang rasmi dulu, bila semua sudah ok, baru perbaiki yang tidak rasmi.

cemomoi said...

bahasa rojak dengan makan rojak jalan seiring macam mana la nak buat ni... kadang-kadang kita rasa nak memberikan atau mempelbagaikan variasi baru dalam bicara, sudahnya rojak la jadinya

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...