02 January, 2013

Ubat-ubatan Wajib Dimakan Selepas Menjalani Prosedur Angioplasti

Mybabah dimaklumkan oleh doktor di Hospital Pakar Ampang Puteri, sumbatan di saluran arteri koronari Mybabah adalah berpunca daripada tahap kolesterol darah yang tinggi dan rokok (meskipun sudah dua tahun tabiat buruk ini ditinggalkan). Melalui pembacaan, banyak lagi punca lain yang boleh menyebabkan berlakunya CHD yang membentuk deposit lemak di dinding arteri koronari. Deposit lemak yang dikenali sebagai atheroma, terhasil daripada kolesterol dan sisa pepejal lain. Pembentukan atheroma di dinding arteri koronari menyebabkan arteri mengecil dan menghalang aliran darah ke jantung.

Risiko pembentukan atherosclerosis ini semakin meningkat jika anda merokok dan mengalami perkara-perkara yang berikut:
•  Tekanan darah yang tinggi
•  Tahap kolesterol darah yang tinggi
•  Tidak bersenam
•  Menghidap penyakit kencing manis
• Obesiti atau berat badan yang terlalu berlebihan
• Sejarah keluarga yang menghidap CHD.

Selepas menjalani prosedur angioplasti, iaitu proses meletakkan stent di saluran arteri konorari jantung Mybabah, Mybabah dikehendaki memakan lima (4) jenis ubat pada waktu pagi (selepas sarapan) dan satu (1) sebelum tidur. Selain itu, Mybabah juga digalakkan memakan dua (2) jenis pemakanan tambahan yang dapat membantu meningkatkan kesihatan jantung.

Yang berikut disenaraikan ubat-ubatan tersebut:

DISPRIN
Disprin merupakan satu jenama Aspirin. Disprin ialah dadah bukan steroid antiradang. Ubat ini digunakan untuk melegakan sakit dan mengurangkan demam. Ia juga digunakan dalam hal-hal tertentu sebagai penghalang darah beku. Disprin boleh melegakan sakit yang berkaitan dengan artritis (radang pada sendi atau tisu sendi), kesakitan otot dan demam selesema. Dos yang kecil diambil untuk mengurangkan berlakunya perulangan serangan jantung atau masalah jantung yang lain. Kesan sampingan biasa ialah sakit perut atau ketidakselesaan, ulser perut, pedih hulu hati, rasa loya, muntah dan pendarahan usus. Kesan sampingan pengambilan ubat ini termasuk pendarahan luar biasa, imsonia (penyakit tidak boleh tidur), lesu, pernafasan yang pendek, gatal, kemerahan dan bengkak pada muka dan beruam.


CONCOR® 5
Concor 5 mengandungi bisoprolol fumarate. Bisoprolol merupakan salah satu komponen dadah yang dipanggil beta-blockers. Beta-blockers mempengaruhi aliran dan peredaran darah di arteri dan urat darah di jantung. Ringkasnya, bisoprolol digunakan untuk mengurangkan tahap kadar degupan jantung dan merawat hipertegangan (hypertension), iaitu tekanan darah tinggi. Kesan sampingan pengambilan Concor 5 termasuk kelesuan, pening kepala, sakit kepala yang tidak begitu teruk, kuat berpeluh, bradikardia (penurunan denyutan jantung pada kadar yang luar biasa perlahannya), gangguan tidur, gelisah, sejuk yang melampau, rasa loya, muntah, cirit birit dan ruam di kulit. Kesan sampingan lain adalah sembelit, hipotensi, hipertegangan paradoksikal, kemurungan, kehilangan pendengaran sementara, jantung tersumbat, halusinasi, gangguan penglihatan, gangguan darah, pembendungan bendalir, kekejangan otot, tindak balas alahan, gangguan metabolik dan lain-lain.



DIOVAN
Valsartan yang terkandung dalam Diovan merupakan sekelompok ubat yang dikenali sebagai angiotensin II receptor blockers. Ubat ini digunakan untuk merendahkan tekanan darah tinggi ke sederhana. Valsartan juga digunakan untuk merawat kegagalan jantung yang serius atau mengurangkan risiko kematian selepas serangan jantung, khususnya kepada pesakit yang tidak boleh menggunakan jenis ubat lain dipanggil angiotensin-converting enzyme inhibitor. Angiotensin II merupakan bahan kimia yang dikeluarkan oleh badan untuk menyempitkan saluran darah. Valsartan menghalang tindakan angiotensin II dengan membuatkan saluran darah berada dalam keadaan relaks. Suasana relaks menyebabkan tekanan darah menurun. Kesan sepenuhnya valsartan boleh dilihat dalam masa 4 minggu. Antara kesan sampingan ubat ini ialah kenaikan berat badan.


PLAVIX
Clopidogrel yang terkandung dalam Plavix merupakan kelas ubat-ubatan yang dipanggil platelet aggregation inhibitors atau antiplatelets. Clopidogrel digunakan untuk membantu menghalang serangan jantung, strok dan masalah peredaran darah lain yang dialami oleh pesakit yang mengalami atherosclerosis (saluran darah yang mengecil disebabkan oleh arteri yang mengeras) dan yang telah mengalami atherothrombotic (seperti serangan jantung, strok, atau disahkan mengalami peripheral arterial disease (masalah aliran darah di arteri), sekurang-kurang sekali. Clopidogrel juga digunakan dengan ASA (acetylsalicylic acid) oleh pesakit yang mengalami acute coronary syndrome atau atrial fibrillation (degup jantung yang cepat dan tidak teratur). Biasanya, platelet membantu darah membeku apabila diperlukan seperti selepas berlaku kemalangan. Ketika arteri mengecil disebabkan oleh lemak (plak), biasanya platelet berkumpul bersama di dalam saluran darah. Plak yang tidak stabil boleh pecah, menyebabkan platelet tambah mengumpul yang boleh menyebabkan sekatan yang lebih besar berlaku di dalam arteri. Seterusnya, ini boleh menyebabkan arteri semakin mengecil dan ini boleh mendorong berlakunya serangan jantung, strok dan masalah-masalah lain yang berkaitan dengan peredaran darah. Antara kesan sampingan ubat ini ialah kenaikan berat badan.



LIPITOR (dimakan pada waktu malam)
Lipitor (atorvastatin) berada dalam kumpulan ubat-ubatan yang dipanggil HMG CoA reductase inhibitors atau “statins”. Lipitor mampu mengurangkan tahap kolesterol “jahat” (lipoprotein densiti-rendah, atau LDL) dan triglycerides dalam darah, dan meningkatkan tahap kolesterol "baik" (lipoprotein densiti-tinggi, atau HDL). Lipitor digunakan untuk merawat kolesterol tinggi, dan mengurangkan risiko diserang strok, sakit jantung, atau komplikasi jantung yang lain bagi pesakit kencing manis tahap 2, penyakit koronari jantung atau faktor risiko yang lain. Dalam kes-kes yang luar biasa, Lipitor boleh menyebabkan wujudnya keadaan kegagalan tisu otot skeletal yang menyebabkan kegagalan buah pinggang.



Senarai Makanan Tambahan

PROVAS
Provas  ialah produk bersari pati minyak ikan omega-3 yang tinggi dan bersih. Kajian menunjukkan bahawa pemakanan yang kaya dengan ikan dan minyak ikan boleh menawarkan perlindungan terhadap kardiovaskular (cabang ilmu perubatan yang berkaitan dengan fungsi dan penyakit jantung ) seperti serangan jantung dan strok.

BIO-QUINONE Q10
Q10 adalah makanan tambahan untuk kesihatan jantung, gusi, tahap tenaga dan sistem imunisasi.
•  Dari segi kesihatan jantung, Q10 membantu mengekalkan kecekapan fungsi jantung.
•  Q10 juga membantu mengurangkan jumlah mikroorganisma tidak sihat dalam mulut.
•  C0-Enzyme Q10 terdapat dalam mitochondria (faktor tenaga) bagi setiap sel dan terlibat dalam rantaian pemindahan elektron – satu proses yang mengubah makanan kepada tenaga.
•  Q10 juga merupakan unsur antioksidan yang melindungi badan daripada radikal bebas yang
    berbahaya kepada badan.


Mengapa perlu dilakukan prosedur stenting, tidak pintasan jantung (bypass)? Artikel selanjutnya akan membuat pencerahan tentang isu ini, termasuk kos yang terpaksa ditanggung... 




1 comment:

nora ismail said...

Askm.....cuba try chia seed. Organic food. Saya beli di cosway. Cuba google khasiatnya sama dgn ubat2an di atas terutama lipitor, provas, q10. Cuma sesudu teh sehari je sy amalkan. Boleh tgk penurunan tahap kolesterol terutama trigles n LDL dlm masa 2minggu sahaja.

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...