31 January, 2010

Isteri melamar untukku...


 "Semoga berbahagia" kata arwah emak dengan nada sinis, sambil bangun menuju ke bilik dan menghempas daun pintu dengan kuat. Arwah emak begitu marah apabila isteriku meluahkan hasratnya untuk meminangkan untukku seorang gadis bekas pengikut Arqam, Norlaila namanya. Emak antipoligami. Abah pun tidak bersetuju, tetapi abah tidak melenting seperti emak.Yang pasti mak dan abah tidak merestui hasrat itu.

Norlaila (bukan nama sebenar) berpurdah seperti ini.

Kami mengenali Norlaila kerana si gadis itu selalu berkunjung ke kedai kami. Lama kelamaan  hubungan isteriku dan Norlaila menjadi akrab. Menurut isteriku, Norlaila memang cantik, kulitnya putih mulus. Cun kata orang sekarang. Aku tidak pernah melihat wajahnya walau sepicing pun, kerana terlindung dik purdah. Berapa kali aku cuba menjeling  dan mengintai wajah di sebalik purdah itu, tetapi gagal. Semasa kami membawa si gadis genit makan di luar pun, aku masih tidak dapat mengintai wajahnya kerana dia menyuap makanan melalui bawah jilbab.

  Cinta Kecil?

Aku pernah membawa Norlaila berjalan-jalan, bersama-sama mahram, iaitu anak-anakku. Semasa sedang berdua, aku bertanya, apakah perasaan awak kepada saya. Dia menjawab dengan tersipu, "suka". Selang beberapa minggu selepas itu, isteriku meneruskan hasratnya melamar Norlaila. Aku menunggu di rumah. Norlaila bersetuju. Mana lelaki yang tidak memberi reaksi positif jika mengalami peristiwa yang semacam ini. Menurut isteriku, tidurku  setiap malam selepas hari itu sangat nyenyak dan senyum meleret-leret di muka. Kononnya, pada pandangan isteriku, aku seronok. Hakikatnya, perasaanku bercampur baur dan lebih cenderung pada kekhuatiran. Siapa yang tidak khuatir? Aku benar-benar khuatir rumah tangga bahagia yang kami bina bersama akan hancur musnah dengan kehadiran orang ketiga. Selepas hari itu, kami tidak henti-henti menunaikan solat hajat berjamaah, memohon petunjuk Allah. Akhirnya...



Allah menghantar bala tenteranya memberitahu kami siapakah gadis di sebalik purdah itu. Tanpa pertolongan Allah, mustahil kami dapat mengetahui sejarah lampau si gadis Ketereh, Kelantan ini. Tidak payahlah dihuraikan apa yang telah berlaku. Yang pasti, setelah peristiwa tersebut, isteriku tidak berani lagi menawarkan peluang kedua kepadaku untuk beristeri. Aku tak kisah kerana bagiku isteriku sudah hampir sempurna dalam serba serbi.


Luahan Hati Babah:
Cerita di atas adalah antara beberapa cebis kisah hidup yang pernah babah lalui. Bagi babah, isteri babah memang hebat dan sangat berani ketika itu. Katanya "apa salahnya kebahagiaan kita dikongsi bersama-bersama orang lain". Hati babah yang naik kecut dibuatnya. Perasaan bercampur baur antara seronok nak berkahwin lagi dan takut kebahagiaan yang ada musnah bak kata orang tua-tua "yang dikejar tak dapat, yang dijinjing berciciran". Selama hampir 23 tahun kami berkahwin tidak pernah kami merasa tidak bahagia. Allah mengasihi keluarga kami. Kepadamu wahai isteriku, inginku katakan, seandainya kau tidak berbuat syirik kepada Tuhanmu, aku pasti yang menantimu di akhirat ialah syurga firdaus, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai... Amin...







Read more...

30 January, 2010

E-KAMUS: BERBALOI-BALOI!


Kamus Bahasa Melayu Paling Canggih di Pasaran

Fungsi tetingkap untuk menaip kata carian dalam pelbagai kamus pilhan untuk rujukan bahasa


Contoh penggunaan dalam laman web, "double click" pada perkataan "venture" dan e-Kamus akan memaparkan makna perkataan tersebut dalam bahasa Melayu. Anda juga boleh mendapatkan sebutan bahasa Inggeris yang betul bagi perkataan itu.

Fungsi penyemak ejaan  dalam bahasa Melayu. Anda hanya perlu "right click"
pada perkataan untuk membetulkan ejaan.


APA ITU E-KAMUS 5.02

E-Kamus 5.02 merupakan perisian dwi-bahasa (Melayu-Inggeris, Inggeris-Melayu) dengan himpunan pelbagai kamus. Ia dilengkapi dengan pelbagai teknik pencarian bergantung kepada cara penggunaan bersesuaian dengan kemajuan teknologi perkomputeran pada hari ini. Fungsi pengimbas (text capture) membolehkan pelajar mendapatkan makna perkataan hanya dalam sesaat melalui sentuhan tetikus (double-click).

Ini merupakan cara yang sangat mudah dan cepat jika dibandingkan dengan pencarian melalui kamus buku yang tebal untuk sesuatu perkataan. Dengan cara ini, para pelajar juga akan bertambah minat untuk mempelajari istilah-istilah atau perkataan baru.

Selain dari itu, e-Kamus 5.02 juga dilengkapkan dengan penyemak ejaan dalam Bahasa Melayu yang bertindak menyemak kesalahan ejaan secara automatik. Oleh itu, semua kerja dan dokumentasi yang dihasilkan menerusi komputer dapat disemak ejaannya. Ini dapat menambahkan ketepatan sesuatu hasil kerja oleh pelajar serta pengguna.

E-kamus 5.02 sesuai digunakan pada semua peringkat usia daripada kanak-kanak (pelajar) sehingga dewasa. Kategori istilah matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris telah dirumus khas untuk kegunaan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah. Ianya dapat membantu pelajar membuat rujukan istilah dengan lebih cepat dan tepat. Begitu juga kamus-kamus istilah profesional seperti kejuruteraan dan kedoktoran dapat membantu pelajar peringkat IPT membuat rujukan dengan lebih mudah.


PENGGUNAAN DAN APLIKASI E-KAMUS DI SEKOLAH / INSTITUSI PENDIDIKAN

Sebagai Bahan Rujukan Kata
E-Kamus boleh digunakan sebagai rujukan apabila para pelajar atau guru yang tidak memahami perkataan di mana-mana sumber media. Ianya bertindak sebagai kamus alternatif kepada kamus buku yang sedia ada.

Sebagai Sumber Penyelesaian kefahaman
Pemahaman kata adalah penting dalam memastikan kefahaman yang tepat. Keperluan untuk merujuk kamus buku yang tebal selalunya membuatkan para pelajar mengabaikan kamus dan hanya mengagak makna sesuatu perkataan. Ini mungkin menyebabkan kefahaman yang tidak tepat ataupun serong sama sekali.

Sebagai Penyemak Kerja
Di dalam program MS Word, hanya terdapat penyemak ejaan dalam Bahasa Inggeris. Oleh itu, semua kerja yang ditaip dalam Bahasa Melayu tidak disemak ejaannya. Dengan penggunaan e-Kamus 5.02, ejaan dalam Bahasa Melayu bukan sahaja disemak tetapi cadangan perkataan yang terdekat juga diberikan (cadangan pintar).

Memudahkan dan mempercepatkan pembelajaran
Sumber maklumat yang utama masa kini iaitu internet merupakan sumber utama pelajar mencari maklumat apabila mengulang kaji pelajaran. Dengan kefahaman dan perbendaharaan kata yang baik, para pelajar dapat memantapkan pembelajarannya dengan lebih cepat dan mudah.

Memupuk semangat memperkaya perbendaharaan kata
Sebelum penggunaan e-Kamus, penguasaan perbendaharaan kata ini biasanya memerlukan kesabaran dan semangat ingin tahu yang tinggi. Namun demikian, dengan penggunaan e-Kamus, setiap pelajar dapat menguasai perbendaharaan kata dengan mudah dan cepat. Ini dapat menanamkan amalan mencari kata baru di kalangan pelajar.

KELEBIHAN KAMUS ELEKTRONIK BERBANDING KAMUS BUKU

Kaedah pencarian yang lebih pantas.
Kamus buku memerlukan kita membelek buku yang tebal sehingga 1500 muka surat semata-mata untuk mendapatkan sesuatu makna perkataan. Kebiasaannya, ia memakan masa sehingga 30 saat untuk mendapatkan sesuatu makna. Tetapi, dengan menggunakan perisian perkamusan, kita hanya memerlukan kurang dari 3 saat untuk mencari makna. Kita hanya perlu menaip pada papan kekunci untuk mencari beribu-ribu makna perkataan dan perisian akan melakukan proses pencarian untuk kita.

Senang untuk kemas kini
Salah satu ciri perisian kamus elektronik adalah kebolehupayaan memasukkan data. Di sini, pengguna boleh memasukkan data sendiri untuk tujuan kemas kini. Ini dapat menjimatkan masa dan ruang. Pengguna hanya perlu menaip pada ruangan yang disediakan untuk tujuan kemas kini.

Lebih informasi dan paparan yang lebih jelas
Kamus elektronik menggunakan skrin (monitor) sebagai media paparan. Skrin berkeupayaan untuk memaparkan pelbagai informasi dalam satu masa. Berbanding dengan kamus buku, ruang paparannya amat terhad dan tulisan terpaksa dikecilkan semata-mata untuk memasukkan informasi dan penerangan. Keadaan ini menyebabkan kamus buku kelihatan tidak menarik.

Kaedah teramat mudah untuk mendapatkan makna perkataan.
Kamus elektronik menggunakan kaedah enjin pencarian untuk mencari sesuatu makna. Enjin pencarian ini akan membantu pengguna untuk mencari makna perkataan dalam pangkalan data yang mempunyai beratus ribu maklumat. Dengan bantuan enjin pencarian ini, proses pencarian makna perkataan menjadi lebih mudah. Berbanding dengan kamus buku, pengguna terpaksa mencarinya sendiri dengan membelek kamus buku yang tebal. Proses ini memakan masa yang agak lama dan membosankan.

CIRI-CIRI E-KAMUS 5.02

Kelebihan dan ciri-ciri yang ditawarkan oleh e-Kamus 5.02.
Dilengkapi dengan pelbagai himpunan kamus mencakupi Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris , Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu, Bahasa Melayu – Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris (Dwibahasa), Bahasa Inggeris-Bahasa Inggeris, istilah Komputer, Matematik, Sains, kedoktoran dan kejuruteraan.

- Berkeupayaan membaca kandungan kamus-kamus terkemuka (yang dihasilkan dalam format .dic) di mana pengguna boleh menambah ataupun membuang kandungan kamus yang dikehendaki.

- Didatangkan dengan fungsi ‘editor kamus’ bagi membolehkan pengguna membina kamus / istilah sendiri.

- Mencari makna perkataan tanpa perlu menaip (hanya double-click). Pencarian makna di hujung jari anda.

- Fungsi sebutan perkataan (suara) dalam Bahasa Inggeris.

- Dilengkapi dengan ciri penyemak ejaan Bahasa Melayu pada MS Word.

- Kandungan yang boleh dikemas kini melalui internet secara percuma.

- Penggunaan yang interaktif.

- Sesuai digunakan pada semua aplikasi yang berasaskan teks.

- Lebih 500,000 kata masukan (kata pencarian).

- Sesuai untuk pelajar-pelajar dan golongan dewasa (profesional).











Read more...

25 January, 2010

Apa patut dibuat dengan Si Celaka ini?


Adakah patut kita rendam kepalanya di dalam mangkuk tandas seperti di bawah ini?



Atau kita gantung di pokok seperti ini?



Baca tulisannya di Face Book (di bawah) dan nilaikan bentuk hukuman yang setimpal untuknya:



Apa komen anda?

Perasaan Babah
Babah sudah berumur dan tidak mahu sangat melayani perkara-perkara seperti ini kerana babah tahu bahawa sebahagian besar bangsa Si Celaka ini juga tidak suka puak-puak yang rasis. Tetapi, apabila membacanya, timbul geram dan hendak sahaja babah terbang ke Terengganu mencari dan menampar muka Si Laknat Celaka ini. Astagfirullah...



Ada pesan daripada kawan sepejabat: "Sesiapa yang ada kenalan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) forwardkan berita ini dan cari budak yang tak sedar diuntung itu..."




Terima kasih Sis Norlela Rusli Ramli




Read more...

21 January, 2010

BUAYA...


Buaya Darat 
Buaya darat merupakan satu spesies "haiwan" berkaki dua. Buaya jenis ini juga dikenali sebagai "haiwan" mata keranjang, kaki betina/perempuan, donjuan, romeo, kasanova dan kadangkala disebut hidung belang. Reptilia berupa manusia ini suka menukar-nukar pasangannya dan meninggalkan mereka setelah dinodai. Tabiat buaya darat yang gemar "memakan" mangsa secara berhelah telah dibuktikan benar oleh satu saluran TV terkemuka "National Geography" yang merakamkan secara "live" gelagat sang buaya ketika berada di darat.   



Buaya di Darat
Apabila sang buaya berada di darat, haiwan itu tidak dapat bergerak aktif kerana ruas kakinya yang pendek. Ini menimbulkan kesukaran kepada sang buaya untuk mengejar mangsanya. Tiada jalan lain bagi sang buaya untuk memerangkap mangsa mereka di daratan, selain daripada mengangakan mulut seluas-seluasnya dan menanti mangsa masuk ke mulutnya sebelum di"ngap". Semua ini dipelajari oleh sang buaya daripada buaya darat.

Buaya di Air
Di Malaysia terdapat pelbagai jenis buaya di air, seperti buaya katak, buaya tembaga, buaya jenjulung, buaya jolong-jolong, buaya serunai atau aligator.  Hampir kesemua buaya ini tinggal di air tawar. Buaya yang paling dikenali dan amat berbahaya ialah Bujang Senang (bukan Bujang Susah) yang menghuni Sungai Rejang di Sarawak. Tetapi kini, buaya di laut semakin menunjukkan taringnya...


Buaya dilihat di Tanjung Tuan, Port Dickson

Gambar di atas dirakamkan di Tanjung Tuan, Port Dickson oleh Encik Khoo Swee Seng. Beliau merupakan salah seorang ahli Pencinta Alam Malaysia (MNS).  Menurut beliau, buaya yang dipercayai buaya air masin atau nama saintifiknya, estuarine crocodylus prosus, muncul kira-kira 20 meter dari pantai selama kira-kira 30 minit dan kelihatan bergerak melawan arus ke arah selatan.



Kaki dibaham buaya di Corus Paradise Resort, Port Dickson

Seperti buaya darat dan buaya di darat, buaya di laut juga boleh mengganas. Gambar di atas dirakamkan oleh salah seorang keluarga mangsa yang dibaham buaya pada kakinya baru-baru ini ketika sedang bermandi manda di tepi pantai Corus Paradise Resort.

Pesan Babah:
Dunia semakin sempit. Bahaya berada di mana-mana. Kalau dahulu, buaya hanya ditakuti di sungai-sungai yang besar, tetapi kini buaya sudah mula bermaharajalela di laut pula. Namun, ada yang lebih bahaya daripada itu, khususnya kepada anak-anak perempuan atau adik beradik perempuan kita, iaitu bahaya daripada dibaham sang buaya darat yang tubuh badan mereka menyerupai manusia. Berwaspadalah...






Peribahasa Melayu berkaitan dengan buaya
1. Adakah buaya menolak bangkai - orang yang jahat tidak akan meninggalkan kesempatan untuk membuat kejahatan;
2. Air tenang, jangan disangka tiada buaya - orang yang tidak banyak cakap itu, jangan dipermudah (jangan disangka tiada beranil);
3. Bergalah ke hilir tertawa buaya, bersuluh di bulan terang tertawa harimau - perbuatan yang sia-sia itu ditertawakan orang;
4. Kalau menyeberang sungai biarlah ditelan oleh buaya, tetapi janganlah dipagut oleh ikan kecil-kecil - kalau berbuat salah biarlah dihukum oleh orang besar, jangan dianiaya oleh orang kecil-kecil;
5. Tak akan terlawan buaya menyelam air - tidak mungkin kita melawan orang yang kaya (berkuasa, pandai, dll); dan
6. Tak usah diajar anak buaya berenang, ia sudah pandai juga (sedia) - tidak usah diajar orang yg sudah tahu.



Read more...

19 January, 2010

Rukun Islam enam atau tujuh?


Masih terpahat dalam ingatanku satu peristiwa lucu semasa aku berada dalam darjah dua. Ketika ustaz sedang sibuk mengajar, Ahmad, kawanku yang paling nakal di dalam kelas menganggu kawan-kawan lain yang sedang tekun mendengar ajaran ustaz. Dengan nada berang ustaz  memanggil Ahmad , "Mat, mari sekejap" panggil ustaz. "Ya ustaz, ustaz panggil saya ke?" Ahmad ingin mendapatkan kepastian. "Ada sesiapa lagi bernama Ahmad di dalam kelas ini?", tanya ustaz. "Tak ada, ustaz" jawab Ahmad gagap. "Kamu orang Islam atau orang bukan Islam" tanya ustaz kepada Ahmad. "Tentulah orang Islam, ustaz" jawab Ahmad pantas. Ustaz bertanya lagi "Jika kamu mengaku sebagai orang Islam, rukun Islam enam atau tujuh? Jawab dengan betul, jika tidak saya beri kamu hadiah ini" kata ustaz kepada Ahmad sambil menunjukkan sebilah rotan.



Baharu Ahmad sedar bahawa dia cuba diperangkap oleh ustaz kerana membuat bising ketika ustaz mengajar. Walaupun agak panik ketika menerima pertanyaan itu, Ahmad lega sedikit kerana diberi pilihan dua jawapan, enam atau tujuh. Tanpa membuang masa Ahmad menjawab dengan selamba "enam ustaz". "Kamu jawab enam? Hulur tangan kamu". Zarghhh... "Adoi!" rintih Ahmad. "Sekarang, saya ulangi pertanyaan saya, rukun Islam ada enam atau tujuh?" ustaz mengulangi semula soalan yang sama kepada Ahmad. Kali ini Ahmad dengan yakin menjawab "tujuh ustaz".  "Hulur tangan kamu yang sebelah lagi" kata ustaz kepada Ahmad. Zarghhh...Ahmad tunduk kesakitan. 


   
"Rukun Islam ada berapa semuanya murid-murid" tanya ustaz kepada murid-murid di dalam kelas. "Lima ustaz" murid-murid menjawab serentak. "Mat, rukun Islam ada berapa?" ustaz mengulangi pertanyaannya kepada Ahmad. "Lima ustaz", Ahmad menjawab dengan suara yang perlahan. Dia bukan sahaja malu kerana tidak dapat menjawab soalan yang mudah, tetapi juga diberi hadiah kenang-kenangan yang akan kekal di tapak tangan untuk beberapa hari.  Sekarang saya mahu bertanya kepada kamu soalan yang kedua, "Rukun Iman ada berapa pula, lima atau enam?" Ahmad sudah mengetahui muslihat ustaz, lantas tanpa berfikir panjang dia menjawab "tujuh ustaz". "Tujuh ye?" Zarghhh....



Pesan Babah:
Beberapa iktibar yang boleh kita ambil daripada peristiwa di atas ialah:
1. Membuat pilihan memerlukan ilmu, meskipun pilihan yang ada hanya dua.
2. Jawapan yang tepat tidak semestinya berada dalam pilihan yang diberikan. Berfikirlah sebelum memilih.
3. Jangan terperangkap antara dua pilihan kerana banyak jawapan yang lebih baik berada di tengah-tengah, seperti kaya atau miskin, cantik atau hodoh, cerdik atau bodoh.


Di akhirat kelak, aku berada di syurga atau neraka?





Read more...

18 January, 2010

Palestin: Tercalarkah Iman Kita?


Pada Jumaat lepas, saya menerima sekeping kalendar yang bertemakan "Selamatkan Al-Quds: Masjid Al-Aqsa Kiblat Pertama".



Yang menarik perhatian saya bukanlah kalendar tersebut, tetapi rajah yang terdapat di belakangnya (sila lihat gambar di bawah).


                              (a)                       (b)                     (c)                     (d)

Huraian Rajah di atas (diambil daripada beberapa sumber):

(a) Kawasan berlorek (gelap) merupakan kawasan milik umat Palestin, manakala kawasan berwarna putih adalah kawasan penempatan orang-orang Yahudi.

(b) Kawasan berlorek semakin mengecil berikutan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) terhadap pelan pemisahan tanah Palestin kepada negara Yahudi dan negara Arab pada tahun 1947, iaitu satu rancangan yang telah ditolak oleh masyarakat Arab.  Kepimpinan Yahudi,diketuai bakal Perdana Menteri mereka ketika itu David Ben-Gurion, telah mengisytiharkan kemerdekaan Israel pada 14 Mei 1947. Kemerdekaan  Israel dengan cepatnya diiktiraf oleh Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat, dan banyak negara lain.

(c) Perang Enam Hari terus mengubah peta negara Palestin. Perang itu (B.Ibrani: מלחמת ששת הימים Milkhemet Sheshet HaYamim, B. Arab: حرب الأيام الستة ḥarb al-ayyām al-sittaṯ) juga dikenali sebagai Perang Arab-Israel 1967 yang melibatkan negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan dan Syria.

(d) Sejak tahun 2000 hingga sekarang, tanah jajahan musuh Allah ini (Zionis) semakin meluas sehingga saudara kita, rakyat Palestin menjadi pelarian di negara mereka sendiri.


Teks Asal



Palestin merupakan negara dan tempat lahir beberapa Rasul. Al-Qur’an menceritakan bahawa Nabi Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Ya’kub, Yusuf, Daud, Sulaiman, Saleh, Zakaria, Yahya dan Isa tinggal di Palestin. Beberapa Nabi dalam kalangan Bani Israel yang tidak disebut di dalam Al-Quran juga tinggal di tanah suci ini, seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis sahih.


”Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (Al-Isra’:1).


Palestin juga merupakan negara yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. dengan peristiwa perjalanan Nabi Muhamad s.a.w. pada waktu malam (al-Isra’) ke Masjid Al-Aqsa dan dari sana Nabi Muhamad s.a.w diangkat (mikraj) ke langit. Di Masjid al-Aqsalah Allah menghimpunkan kesemua Nabi dan mereka bersama-sama bersolat dengan diimamkan oleh Nabi Muhamad s.a.w. Ini merupakan tanda kesinambungan tauhid (Percaya kepada Allah Yang Satu) yang dibawa oleh kesemua Nabi dan Rasul, dan penyerahan warisan serta dakwah kepada seluruh umat Islam. Dalam satu hadis sahih menyatakan bahawa Masjid Al-Aqsa merupakan ”tanah kebangkitan dan kiamat” - Terjemahan Babah.



Pesan Babah:
Kita hanya memerhatikan pembersihan etnik yang dilakukan oleh Zionis terhadap saudara seagama kita di bumi Palestin dan membiarkan mereka dihalau dan dibunuh, sedangkan Rasulullah s.a.w. pernah berkata "Tidak sempurna iman seseorang kamu, sehingga ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri". Bukan itu sahaja, kita telah membiarkan musuh Allah itu mencemarkan kiblat kita yang pertama (Masjid al-Aqsa) sebelum Allah memerintah Nabi s.a.w. beralih kiblat Mekah Al-Mukarramah. Oleh itu, bantulah mereka mengikut kemampuan anda sebelum datang bala Allah kepada kita dan sebelum umat yang akan datang menghina kita kerana membiarkan saudara kita sendiri disembelih oleh Zionis.







Read more...

15 January, 2010

Sofia, apa khabar kau wahai anakku?


Sudah tentulah Sofia lebih baik di bawah penjagaan Allah, berbanding  penjagaanku yang serba kekurangan ini. Allah s.w.t. menganugerahi Sofia Adila binti Samsudin kepada kami pada 23 April 2000.  Allah mengambilnya kembali pada 23 Mei 2002. Tempoh titipan ini hanya selama 2 tahun sebulan. Seandainya Allah terus meminjamkan Sofia kepada kami, umur anak itu pada 23 Mei 2010 akan menjangkau 10 tahun. Meskipun pemergian Sofia sudah lama berlalu, tetapi ingatan kami sekeluarga kepadanya tetap terpahat di hati, senyuman Sofia tetap berada di hujung kelopak mata.



Sofia anak yang senantiasa ceria

Allah s.w.t. memberi notis kepadaku hanya seminggu. Namun aku gagal mengesan notis itu. Si Anak sering muntah apabila diberi susu. Doktor klinik biasa (GP Doctor) setakat ilmunya yang ada, menasihati kami supaya menukar susu anak itu. Melihat Sofia semakin tidak selesa dan sering tidak tidur malam (namun tidak pula menangis), lantas kubawa Sofia ke Hospital Pakar Kampung Baru, Kuala Lumpur. Atas nasihat doktor pakar di sana, kami membawa pula Sofia ke Hospital  Ampang Puteri. Di sana Sofia disahkan menghidapi tumor otak (kanser) yang dipanggil "Brain Stem Gliomas" di peringkat paling kritikal. Apabila diberitahu hal itu, aku hanya mampu berkata "Ya Allah!"



Seminggu kemudian, Sofia "berjaya" menjalani pembedahan. Hospital dipenuhi keluargaku yang begitu ramai termasuk orang-orang yang aku tidak kenali. Ramai, sememangnya ramai. Dia  berjaya meraih kasih sayang hampir kesemua yang berada di sana.  Itulah Sofia kesayangan Allah. Aku tidak henti-henti menelefon kawan-kawan dan sahabat handai untuk mengungkap rasa gembiraku yang teramat sangat atas "kejayaan" pembedahan tersebut.


Hari raya Aidilfitri terakhir bersama Sofia

Tetapi, menjelang dinihari, aku dipanggil doktor kerana terdapat komplikasi pada anakku. Hatiku luluh, remuk, hancur, kakiku menggeletar hampir tidak mampu berdiri apabila melihat anakku sedang bertarung dengan nyawanya. Mulut hanya mampu berkata "Ya Allah". Sedetik kemudian, aku berlari mencari surau. Aku bersolat sunat dua rakaat. Namun, aku tidak dapat menahan tangis. Aku lebih banyak menangis daripada membaca ayat-ayat Allah.  Selepas memberi salam, aku berpaling memandang isteriku dan mendengar "bah, anak kita sudah tiada..."


Malam sebelum hari pembedahan.
Sofia sedang membaca buku bersama mama "Ini matanya, ini mulutnya..."
 Sofia selepas dibedah


Sejam sebelum Sofia meninggalkan kami

Jika masa dapat diputarkan kembali atau jika aku sedar akan notis yang Allah berikan  kepadaku, niscaya aku tidak akan melepaskan peluang untuk mendakap Sofia erat-erat, menciumnya tak henti-henti, mendukungnya biar lenguh tangan dan jari.


Sofia anak babah, babah tetap merindui Sofia walaupun Sofia telah jauh meninggalkan babah. Kita akan berjumpa di sana, tetapi ketika itu Sofia mungkin sudah dewasa.



Air mata babah mengalir di dalam hati apabila teringat lagu
Ayam Oh Ayam McD, nyanyian SOFIA.
 "Ayam oh ayam, mengapa engkau......"





Read more...

14 January, 2010

Selembar Benang 16: Bahasa yang Mulia?




Berdosakah saya jika saya mengatakan Allah bukan berfirman, tetapi berkata? Perkataan firman berasal daripada bahasa Parsi yang bermaksud amaran atau kata perintah.

Berdosakah saya jika saya mengatakan Nabi s.a.w  bukan bersabda, tetapi berkata? Perkataan sabda dipinjam daripada bahasa Sanskerta (Skankrit) yang bermaksud berkata atau bertitah.

Murkakah raja jika saya katakan mereka bukan bertitah tetapi berkata atau bercakap? Perkataan titah juga berasal daripada bahasa Sanskerta yang bermaksud berkata atau memberi perintah.

Benarkah perkataan firman, sabda dan titah lebih tinggi nilainya daripada perkataan berkata atau bercakap?

Mengapakah perkataan-perkataan itu dimuliakan, sedangkan di dalam al-Qur'an atau al-hadis tidak ada sekali pun perkataan-perkataan tersebut diguna pakai. Di dalam al-Qur'an , perkataan "qaala" digunakan untuk Allah, Nabi Muhammad s.a.w. atau sesiapa sahaja, termasuk musuh Allah, iaitu syaitan?



Sambungan Selembar Benang...

Kesilapan lumrah dalam mengungkap kata ganti diri:
1. Perkataan "beliau" tidak boleh digunakan untuk orang yang tidak dihormati (seperti penjenayah), kanak-kanak dan binatang;
2. Perkataan "dia" atau "ia" tidak boleh digunakan untuk binatang;
3. Perkataan "kami" bererti saya dengan dia, iaitu orang yang diajak bercakap tidak disertakan. Perkataan "kita" bererti anda dengan saya, iaitu orang yang diajak bercakap disertakan;
4. Perkataan "mereka" tidak boleh digunakan untuk benda dan binatang;
5. Perkataan "mereka" tidak boleh diulang menjadi "mereka-mereka"; dan
6. Perkataan "ia" dan "nya" tidak boleh digabungkan menjadi "ianya".


 Mujur nama Allah tidak diambil daripada bahasa asing!
 



Read more...

13 January, 2010

Fahami Hutang!


Usaha menguruskan hutang sama sukarnya dengan usaha "menguruskan" badan.  Biasanya, kedua-dua ikhtiar tersebut tidak bertahan lama. Kebanyakan berlangsung hanya separuh jalan, "seperti hangat-hangat tahi ayam".

 

Kesukaran orang ramai menguruskan hutang berpunca daripada ketidakfahaman mereka tentang definisi sebenar hutang. Bagi mereka hutang hanya terhad kepada pinjaman yang dibuat daripada seseorang atau daripada institusi berlesen, seperti bank dan syarikat kewangan. Pada hakikatnya definisi hutang adalah lebih luas daripada itu, sehingga bil-bil utiliti, seperti bil air, bil api dan bil telefon sepatutnya perlu dianggap  sebagai hutang kerana perkhidmatan tersebut telah digunakan terlebih dahulu dan pembayaran hanya dibuat kemudian. Menjadi penjamin juga perlu dianggap sebagai berhutang kerana seandainya peminjam tidak menunaikan tanggungjawabnya membayar hutang berkenaan, maka penjamin perlu membayar hutang itu bagi pihak peminjam yang ingkar. Sekiranya gagal berbuat demikian, penjamin boleh diambil tindakan sehingga boleh diisytihar muflis. Ingatlah, hutang merupakan satu kebocoran dalam pendapatan. Oleh itu, awas, kebocoran yang kecil, jika dibiarkan, boleh menenggelamkan sebuah kapal yang besar!




Masih ramai dalam kalangan orang Melayu (dibaca: Islam) yang tidak sedar bahawa istilah-istilah seperti kredit, pinjaman, pembiayaan, ansuran, gadaian, jual beli, overdraf dan kutu-kutu (bahagian pemain telah diterima) merupakan istilah-istilah yang indah bagi hutang.  Namun, hutang tetap hutang. Ia wajib dibayar. Ramai pula yang mendakwa bahawa mereka telah mengkhatamkan al-Qur'an sebanyak beberapa kali. Namun, hanya sedikit daripada mereka yang sedar bahawa terdapat satu ayat di dalam al-Qur'an (salah satu ayat yang terpanjang) membicarakan soal hutang secara yang amat mendalam.


Ayat 282, Surah al-Baqarah


Kesan tidak melangsaikan hutang bukan sahaja akan ditanggung di akhirat, tetapi juga deritanya dapat dirasai di dunia lagi. Sabda Rasulullah s.a.w yang mafhumnya: "Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan pada malam hari dan menyebabkan kehinaan pada siang hari.”


Rumah dibakar kerana tidak dapat membayar hutang Ah Long

Pesan Babah.
Kita boleh berhutang tetapi dengan syarat, berusahalah untuk membayar balik hutang  tersebut. Perkara-perkara yang dibolehkan berhutang, antaranya adalah untuk membiayai pembelian rumah, kenderaan, perubatan, pendidikan dan makanan (jika langsung tidak mempunyai sumber wang).  Apabila sudah berhutang, maka uruslah hutang tersebut secara yang berhemat. Banyak kaedah pengurusan hutang yang boleh dipelajari dan digunakan. Salah satu daripadanya ialah kaedah "Debt Snowball" yang diperkenalkan oleh Dave Ramsey. Untuk pembacaan lanjut klik di sini. Babah telah menggunakan kaedah ini dan mendapati ia sungguh berkesan. Babah juga mengamalkan doa yang berikut dan tidak pernah  alpa daripada membacanya selepas solat (sejak beberapa tahun dahulu).



Katakanlah (wahaiMuhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang  menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup daripada benda yang mati dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati daripada sesuatu yang hidup. Engkau jualah memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,dengan tiada hitungan hisabnya.


Babah masih berhutang kepadaku sehelai baju...



Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...