14 October, 2009

e-Tip Bahasa Melayu 4


Sebelum saya menyambung e-tip Bahasa Melayu pada hari ini, saya ingin mengetengahkan satu isu yang hangat dibincangkan dalam arus perdana. Isu itu adalah berkaitan dengan penggunaan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris yang berleluasa pada nama jalan, papan tanda dan papan iklan. Kita pernah dimaklumkan bahawa istilah-istilah asing di Putrajaya, seperti Presint, Boulevard, Parcel, Palace of Justice dan lain-lain akan ditukar ke bahasa Melayu oleh Perbadanan Putrajaya menjelang pertengahan tahun lepas. tetapi atas alasan apa, cerita itu hilang begitu sahaja.  Pada masa yang sama, penggunaan bahasa asing di tempat-tempat lain masih terus berleluasa. Semasa dalam perjalanan menghantar pulang anak saya ke kampus UITM Segamat, saya terpandang satu papan iklan milik kerajaan ketika melalui Jalan Sg. Ujong, Seremban yang tertulis “Think Tourism”. Walaupun terdapat papan iklan yang dipamerkan dalam dwibahasa, iaitu “Think Tourism” dan “Fikirkan Pelancongan”, namun papan iklan itu terletak jauh di atas bukit yang tinggi dan hanya dapat dilihat oleh pengguna jalan raya dari jauh. Apalah maknanya penggunaan dwibahasa pada iklan tersebut sekiranya papan iklan itu terletak di tempat yang tidak sesuai, sedangkan iklan "Think Tourism" diletakkan di tepi jalan utama.


Papan iklan yang memaparkan ungkapan "Think Tourism" itu jelas tidak mematuhi Undang-undang Kecil Iklan kerana mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan. Sekiranya iklan tersebut menggunakan dwibahasa, bahasa Melayunya hendaklah diberikan keutamaan dari segi warna, saiz dan kedudukan. Papan iklan tersebut juga menunjukkan sikap tidak prihatinnya Majlis Perbandaran Seremban terhadap seruan kerajaan ke arah memperkasakan bahasa kebangsaan, meskipun pekeliling “Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam” telah dikeluarkan oleh Kerajaan. Pindaan ke atas Akta DBP yang akan dikuatkuasakan pada tahun ini, diharap dapat membendung gejala ini daripada terus merebak. Alangkah baiknya jika Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terus berusaha menyeru pusat-pusat pelancongan meningkatkan usaha bagi menggalakkan pelancongan dan pada waktu yang sama mempromosikan bahasa kebangsaan. Sebenarnya, bahasa kebangsaan sesebuah negara turut menjadi daya tarikan pelancong yang datang berkunjung, lebih-lebih lagi tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia. Ungkapan yang menyambut kedatangan pelancong asing yang dipaparkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau di pusat-pusat pelancongan di negara kita sewajarnya menggunakan dwibahasa. Dengan cara ini para pelancong dapat mempelajari bahasa kita, misalnya "Selamat Datang ke Malaysia" untuk "Welcome to Malaysia".

Lanjutan daripada e-Tip Bahasa Melayu 3 lepas, hari ini saya akan memberikan beberapa tip tentang kesalahan besar dalam penggunaan kata adalah.

1. Kesalahan penggunaan kata adalah di pangkal ayat.

Contoh:
Salah: Adalah dimaklumkan bahawa.....
Betul: Dengan ini dimaklumkan bahawa...

Keterangan:
Sesuatu ayat tidak boleh dimulakan dengan perkataan adalah kerana kata pemeri ini ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Selain daripada dengan ini, kata adalah di atas boleh digantikan dengan perkataan sesuai yang lain seperti dengan sukacitanya dan lain-lain atau menggugurkan kata adalah itu.

2. Kata adalah tidak boleh hadir di hadapan frasa/kata kerja.

Contoh:
Salah: Semua kakitangan adalah dipelawa memohon jawatan ini.
Betul: Semua kakitangan dipelawa memohon jawatan ini.

Keterangan:
Kata adalah sebelum kata kerja tidak membawa sebarang maksud atau fungsi tatabahasa sama ada berfungsi sebagai kata penegas atau jenis kata yang lain.

Pada artikel seterusnya kita akan sambung pelbagai lagi isu tentang kesalahan penggunaan kata adalah sebelum kita beralih kepada kesilapan menggunakan kata ialah pula.

Sekian.

1 comment:

Unknown said...

Jazakaullahu khairan kathira atas kata-kata dorongan daripada tuan. Semoga Allah memberkati segala usaha kita. Wallahualam.

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...