26 March, 2013

Pra-PRU13: Amanat terkini TGHH...

PAS TETAP ISTIQAMAH DENGAN ISLAM


Saya membaca dengan teliti tulisan Tun Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO dalam Utusan Malaysia beberapa hari lalu. Isi tulisan beliau telah mendedahkan hakikat sebenar bahawa itulah kefahamannya terhadap Islam dan sekadar itulah sahaja pembacaannya daripada sejarah perjuangan kemerdekaan. Tanpa merasa bersalah kerana memutarkan fakta sejarah, Tun Dr Mahathir telah menyatakan bahawa penubuhan PAS adalah kerana kebencian dan kedengkian golongan berpendidikan agama terhadap kumpulan berpendidikan barat dan kebangsaan, disebabkan harta dan pangkat, sehingga mencetuskan kebencian dengan isu kafir mengkafir dan lain-lain. Hujah ini bukan sahaja salah dengan fakta sejarah, bahkan menggambarkan fikiran simplistik dan kekeliruan yang amat nyata! Nampaknya beliau berdepan dengan “Denial Sydrome” yang amat parah.

Seluruh kajian sejarah secara ilmiah, oleh kalangan Islam dan Barat mendedahkan agenda penjajahan secara khusus ke atas umat Islam adalah bermatlamatkan permusuhan dan dengki terhadap Islam dan penganutnya, bukan sekadar menakluk bumi dan mengaut hasilnya untuk mereka . Kajian orientalis juga mededahkah bahawa penjajah lebih faham daripada penganut Islam seperti Tun Mahathir. Mereka memahami bahawa rahsia jati diri umat Islam adalah kerana pegangan mereka dengan ajaran Islam yang sempurna sebagaimana yang ada dalam al- Quran dan Sunnah secara menyeluruh, bukan sahaja dalam perkara ibadat, bahkan cara hidup (way of life) yang melibatkan politik, ekonomi dan lain-lain. Snouck Hurgronje (1857- 1936), seorang orentalis Belanda yang membuat kajian terhadap masyarakat Islam menegaskan, bahawa perkara yang paling merbahaya kepada Barat ialah doktrin politik dalam pengajian agama Islam oleh kalangan ulama yang membawa kepada perjuangan menentang penjajah dan menegakkan semula negaranya. Kenyataan ini menunjukkan kepada kita bahawa penjajahan barat adalah juga kerana kedengkian dan permusuhan terhadap agama Islam, bukan semata-mata penjajahan penganutnya sahaja. Maka agenda pertama penjajah adalah pendidikan, dilaksanakan dengan usaha menyebarkan agama Kristian di kalangan penganut Islam melalui sekolah-sekolah bahasa Barat pada masa itu (Inggeris, Belanda dll), yang menawarkan jawatan tinggi dan harta. Akan tetapi rakyat tempatan iaitu orang-orang melayu masih tetap kuat berpegang dengan agama Islam walau pun jahil dalam ilmu Islamnya. Akhirnya penjajah gagal mempengaruhi masyarakat penganut Islam dengan cara penyebaran agama Kristian dengan cara sedemikian. Berikutan dengan kegagalan tersebut dilaksanakan pula agenda pendidikan kebangsaan, bagi menanam fahaman fanatik kebangsaan (asobiyyah) yang dijadikannya sama dengan agama Islam.

Dalam keadaan jahil agama, rakyat menerima pendekatan penjajah yang membenarkan mereka beribadat dan melakukan upacara agama akan tetapi membiarkan mereka terus jahil Islam dalam hukumnya yang menyeluruh dan tidak berpolitik yang menjadi ancaman kepada mereka. Pengajian Pondok dan sekolah agama ditubuhkan oleh kalangan ilmuan Islam berkelulusan daripada Makkah, Al-Azhar, India dan lain-lain adalah daripada gerakan tajdid dan islah menentang penjajahan pemikiran terhadap umat. Mereka bukan sahaja berjaya memelihara ajaran Islam yang murni, bahkan juga telah melahirkan ilmuan Islam yang memimpin masyarakat secara percuma, tanpa hasad dengki terhadap mereka yang digajikan oleh kerajaan penjajah, bahkan ramai yang menolak tawaran jawatan kerajaan penjajah. Pendekatannya ialah ilmu Islam dipertahankan , dalam masa yang sama menerima semua ilmu dari Timur dan Barat yang berfaedah kepada umat dengan jati diri Islam, akidah, syariat dan akhlak, sehingga tidak terpengaruh dengan pemikiran negatif terhadap Islam.

Penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula adalah mata rantai perjuangan kemerdekaan yang berlandaskan Islam, sejak kejatuhan Melaka 1511 dan penubuhan parti-parti Islam selepasnya yang diharamkan oleh penjajah Inggeris dan Belanda. Para ilmuan dan ahli akademik yang mengkaji sejarah sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) telah menemui catatan-catatan penubuhan parti-parti Islam ini, yang masih disimpan dalam Public Record Office di England. Di antaranya ialah penubuhan cawangan Parti Syarikat Islam di Tanah Melayu sejak awal abad dua puluh (1908 dan selepasnya), tetapi diharamkan oleh pihak penjajah British. Kalangan yang sebaya dengan Tun Mahathir tetap tidak lupakan penubuhan Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh penjajah dan menyamakannya dengan Komunis dan “bahaya dari gunung”, sebaliknya pihak penjajah membenarkan Parti UMNO yang berteraskan kebangsaan melayu dengan Islam caranya, bergerak dengan bebas di seluruh negara di masa darurat. Penubuhan PAS pada tahun 1951 pada awalnya dengan mengambil kesempatan daripada muzakarah di bawah anjuran Biro Agama UMNO, bagi membincangkan penggunaan duit loteri untuk kerja kebajikan. Keadaan ini diambil peluang oleh kalangan Islam bukan UMNO dengan menubuhkan NGO Persatuan Islam SeTanah Melayu (PAS). Akhirnya bertukar menjadi parti politik berdaftar, bertanding menentang UMNO, kerana fahamannya yang sesat, apabila memisahkan politik daripada agama Islam, atau politik Islamnya mengikut kehendak penjajah, iaitu Islam tanpa daulat.

Paling menarik penubuhan PAS dan perjalanannya sejak awal, bukan sahaja melibatkan kalangan ulama, bahkan PAS disertai juga oleh tokoh-tokoh berbagai lapangan. Yang Dipertua PAS yang kedua ialah Dr Haji Abbas Alias lulusan Universiti Singapura seperti Tun Mahathir juga, tetapi beliau menolak UMNO kerana ideologinya salah, walau pun ahli UMNO menganut Islam. Bersama PAS juga ialah Datuk Abu Samah (SUK Pahang), Prof Ahmad Ibrahim, Prof Ungku Umar, Aminuddin Baki , Taha Kalu (pegawai polis ), Datuk Wan Ahmad dan lain-lain. Negara kita ini menerima kemerdekaan melalui permaidani merah yang dibentang, diterima oleh UMNO, dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh British. Tokoh-tokoh PAS juga berjuang kemerdekaan sebelum penubuhannya dengan menghadapi tekanan pihak British, ada yang masuk penjara dan sebagainya. PAS tetap menerima kemerdekaan negara walau pun dengan belenggu penjajahan yang masih ada, khususnya penjajahan pemikiran. PAS tetap menyertai pilihanraya kerana kewajipan politik daripada ajaran Islam, tidak ada kena mengena dengan ulama UMNO yang menuntut sepuluh kerusi dan habuan yang lain.

PAS mengemukakan dasar, konsep dan sistem pentadbiran yang berbeza dengan UMNO, walaupun menghadapi tekanan, penipuan dan khianat menjatuhkan kerajaannya di Terengganu dan Kelantan oleh UMNO yang sebangsa dan seagama, dengan cara yang tidak beretika, tidak demokratik dan mencanggahi perlembagaan. Isu kafir mengkafir bukan ciptaan PAS, tetapi adalah reaksi daripada gejala kelemahan akidah dan kejahilan Islam warisan penjajah yang diteruskan oleh UMNO. Sebaik sahaja ada pihak memperkenalkan syariat Islam yang dilupakan kerana belenggu penjajahan, ramai kalangan orang-orang Melayu yang masih Islam dalam UMNO menghina hukum – hukum Islam dan mengejeknya, melawan nas-nas yang nyata daripada al-Quran dan Hadis Mutawatir, kerana jahil murakkab. Kitab- kitab pengajian aqidah yang menjelaskan perkara-perkara yang membatalkan Iman sudah dilupakan atau jahil. Maka berlakulah pertembungan sengit di antara mereka yang tahu serba sedikit dengan pihak yang menghina Islam secara jahil. Penyakit ini berlaku di seluruh dunia Islam yang baru mencapai kemerdekaan. Bukannya bermula tahun 1981.

Beberapa orang ulama PAS menjadi mengsa tahanan ISA di awal tahun enam puluhan lagi kerana fitnah ini. Malangnya pihak UMNO yang memerintah dan yang sepertinya di negeri yang lain, menjadikannya sebagai isu politik untuk memecah dan memerintah seperti cara penjajah. Para ulama politik Islam di seluruh dunia, termasuk PAS mengambil pendekatan ilmu, dengan menjelaskan semula batas-batas iman dan kufur. Al-Marhum Pak Hamka (1908 – 1981) menulis dalam tafsir Al-Azhar (Juzuk 8 ms 181), al marhum Hassan al-Hudaybi (1891 – 1973) menulis buku dalam bahasa arab dan banyak lagi. Di masa PAS berada dalam kerajaan campuran dan BN, diusahakan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Jabatan Perdana Menteri menerbitkan kitab Mustika Hadis Jilid Pertama. PAS juga mengajak pihak UMNO dan kerajaan bermuzakarah secara ilmu, walaupun tidak disambut dengan baik, kerana kalangan ilmuan agama dalam UMNO yang penakut (ucapan Tun Mahathir). Keadaannya sudah berubah, sehingga tidak kedengaran lagi ucapan yang menghina hukum Islam atau menafikan adanya politik, ekonomi dan lain-lain dalam ajaran Islam.

PAS menerima hakikat masyarakat majmuk berbagai agama dan kaum dengan petunjuk hukum Islam. Adapun UMNO bergabung dengan MCA dan MIC mengambil pendekatan hukum akal bagi mengekalkan kuasa politik UMNO sepanjang hayat , bertali arus, walaupun mengalami kelemahan yang memalukan umat Islam dan menjatuhkan maruah agama Islam. Kerjasama UMNO dengan MCA, MIC dan lain-lain adalah tanpa memelihara hukum Islam dan maruah umat. Tanpa batas halal dan haram dengan petunjuk agama, tetapi agama ditunjuk mengikut kemahuan manusia supaya diamalkan mana-mana hukum yang difikirkan mendatangkan hasil kewangan. Maka amalan yang haram mengikut tegahan Islam tidak dipedulikan, sehingga arak , judi, riba, rasuah dan lain-lain melibatkan penganut Islam dalam kerajaan dan rakyat. Kelemahan politik umat Islam di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai barat adalah strategi salah UMNO. Demi mempertahankan UMNO maka melayu Islam yang menyokong PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan lain-lain menjadi mangsa kezaliman UMNO, termasuk pegawai kerajaan dan kalangan ilmuan yang didapati menyokong PAS akan disekat dan disikat dengan sikat besi. Ada pun kerjasama PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam dalam Pakatan Rakayat adalah berlandaskan Perlembagaan PAS yang meletakkan hukum tertinggi ialah al-Quran dan Sunnah, Ijma’ para Ulama dan Qiyas yang nyata. Pesanan Rasulullah S.A.W. : ‫ ‫والمسلِمونَ علَى شرُوطهم إَّل شَرْ طًا حرم حَلَّل أَوْ أَحل حراما ‫)سنن الترمذي - (ج 5 / ص 119 قَال أَبُو عيسى هَذا حديث حسن صحيح (Dan orang Islam itu diwajibkan di atas syarat - syarat yang mereka tetapkan, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram) PAS mewujudkan Majlis Syura Ulama bagi merujukkan segala keputusannya dengan petunjuk Islam yang tetap terpelihara, bukan semata-mata berpandukan akal manusia yang sentiasa mengalami kelemahan.

Presiden PAS,

5 Mac 2013 / 22 Rabiul Akhir 1434

Sumber di sini.



 

Allahu Akbar!

No comments:

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...