SUNGGUH berbahagia orang yang selalu berada dalam keadaan berwudu' dalam hari-harinya. Dia senantiasa ada dalam keadaan suci dalam menjalani hari, baik siang maupun malam.
Allah Ta’ala berfirman: “Hai sekalian orang yang beriman! Jikalau engkau semua berdiri hendak bersolat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai ke siku dan sapulah kepala dan basuhlah kakimu sampai ke mata kaki … Allah tidak menghendaki untuk membuat kesempitan (kesukaran) atasmu semua, tetapi hendak engkau menyucikan dan menyempurnakan kurnianya kepadamu, supaya kamu semua bersyukur.” (QS. al-Maidah: 6).
Bagi para ahli wudu', mereka berwudu' bukan hanya untuk melakukan ibadah tertentu, akan tetapi semua aktiviti dan kegiatannya selalu dalam keadaan memiliki wudu' (suci). Mereka yang ahli wudu' akan tampak daripada parasnya yang bercahaya. Bukan solekan yang membuat mereka menarik dipandang, melainkan basuhan air wudu' yang memberikan aura kesolehan dalam dirinya.
Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya umatku itu akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan bercahaya wajahnya dan amat putih bersih tubuhnya atas sebab bekas-bekasnya berwudu’. Maka oleh itu, barang siapa yang dapat antara kamu semua hendak memperpanjang (menambahkan) bercahayanya, maka baiklah ia melakukannya dengan menyempurnakan berwudu’ itu sesempurna mungkin.” (Muttafaq ‘alaih).
Wudu memiliki keajaiban yang luar biasa. Pahala bagi orang yang mengekalkan salah satu ibadah bersuci ini digambarkan dalam hadis yang berikut. Dari Abu Hurairah r.a.., ia berkata: “Saya mendengar kekasihku Rasulullah s.a.w. bersabda: “Perhiasan-perhiasan di syurga itu sampai daripada tubuh seseorang mu’min, sesuai dengan anggota yang dicapai oleh wudu yakni sampai di mana air itu menyentuh tubuhnya, sampai di situ pula perhiasan yang akan diperolehnya di syurga.” (HR. Muslim).
Wudu' dapat menggugurkan kesalahan-kesalahan seorang muslim. Daripada Usman bin Affan r.a.., dia berkata: “Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Barang siapa yang berwudu' lalu memperbagus wudu'nya (menyempurnakan sesempurna mungkin), maka keluarlah kesalahan-kesalahannya sehingga keluarnya itu sampai dari bawah kuku-kukunya.’” (HR. Muslim).
Dalam hadis lain dikatakan, daripada Abu Hurairah r.a.. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang hamba yang Muslim atau mu’min itu berwudu', lalu ia membasuh mukanya, maka keluarlah daripada mukanya itu semua kesalahan yang disebabkan ia melihat padanya dengan kedua matanya dan keluarnya ialah beserta air atau beserta tetesan air yang terakhir. Jika ia membasuh kedua-dua tangannya, maka keluarlah dari kedua-dua tangannya itu semua kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tangannya beserta air atau beserta tetesan air yang terakhir. Selanjutnya apabila ia membasuh kedua-dua kakinya, maka keluarlah semua kesalahan yang dijalankan oleh kedua-dua kakinya beserta air atau beserta tetesan air yang terakhir, sehingga akhirnya keluarlah ia dalam keadaan suci daripada semua dosa.” (HR. Muslim).
Dalam sebuah redaksi hadis yang panjang, Nabi s.a.w. bersabda: “… Sesungguhnya umatku yang akan datang itu ialah dalam keadaan bercahaya wajahnya serta putih bersih tubuhnya atas sebab berwudu' dan aku adalah yang terlebih dulu daripada mereka itu untuk datang ke telaga (haudh).” (HR. Muslim).
Dari Abu Hurairah r.a.. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sukakah engkau semua kalau aku tunjukkan akan sesuatu amalan yang dapat melebur semua kesalahan dan dengannya dapat pula menaikkan beberapa darjat?” Para sahabat menjawab: “Baiklah, ya Rasulullah.” Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Iaitu menyempurnakan wudu' sekalipun menemui beberapa hal yang tidak disenangi (seperti terlampau dingin dan sebagainya) banyaknya melangkahkan kaki untuk ke masjid dan menantikan solat sesudah melakukan solat. Itulah yang disebut ribath. Itulah yang disebut ribath (perjuangan menahan nafsu untuk memperbanyak ketaatan pada Tuhan).” (HR. Muslim).
Para ahli wudu' akan selalu berusaha menyempurnakan wudu'nya. Mereka berusaha menghayati falsafah daripada aktiviti wudu' yang dilakukannya. Wudhu' mereka melampaui batasan fikih wudu'. Wudu' mereka sudah mencapai ke aspek kejiwaan dan hikmah tertinggi daripada aktiviti membasuh sejumlah anggota wudu'. Dengan membasuh muka, mereka berharap wajah mereka terlindung daripada dosa yang dilakukan mata. Ketika membasuh tangan mereka berharap tangan mereka terjaga daripada dosa yang belum dilakukan dan dibersihkan daripada kekhilafan yang dilakukan pada masa lalu. Saat mengusap kepala, mereka berharap agar fikiran mereka terlindung daripada fikiran-fikiran yang tidak syar’i. ketika membasuh telinga, semoga hal itu dapat menghapuskan dosa yang dilakukan oleh telinga. Dan ketika membasuh kaki, mereka berdoa agar Allah senantiasa membimbing mereka agar tetap berada di jalan yang lurus (Islam). Begitulah keajaiban wudu yang ritualnya hanya ada di dalam ajaran Islam. Semoga kita senantiasa menjadi ahli wudu' sepanjang hari memelihara kesucian jiwa, fikiran, hati, lisan, dan seluruh tubuh kita. Wallahu ‘a lam.
Insya-Allah, marilah kita bersama-sama kekal dalam berwudu'!
No comments:
Post a Comment