13 December, 2009

Sehari Selembar Benang 14


Dalam siri Selembar Benang kali ini, saya ingin mengulas serba sedikit tentang beberapa penggunaan bahasa Melayu di papan-papan tanda iklan yang terpampang di jalan-jalan raya sepanjang perjalanan saya ke utara tanah air baru-baru ini.  Saya memilih tiga iklan yang menarik untuk dijadikan contoh, seperti yang di bawah ini:

1. P1 Wimax: Rangkaian Broadband Wayarles Terpantas
Ulasan:
Dari segi penulisan, jika sesuatu perkataan itu masih belum lagi mempunyai istilah yang persis, perkataan itu boleh dieja mengikut ejaan bahasa sumber tetapi ditulis condong (italik).  Tetapi, jika perkataan tersebut telah mempunyai istilah yang mantap (diketahui umum) dan diiktiraf oleh DBP, maka istilah yang terdapat pada daftar istilah DBP perlulah diikuti.  Oleh itu, penggunaan perkataan broadband yang diitalikkan meskipun betul dari segi penulisan, istilah jalur lebar adalah lebih tepat digunakan. Namun, dari segi pengiklanan, hal-hal begini selalu diabaikan. Kononnya, penjimatan kata dapat menjimatkan ruang seterusnya dapat menjimatkan kos. Mengenai istilah wayarles pula, perkataan ini telah diiktiraf oleh DBP.  Istilah lain bagi wayarless ialah tanpa dawai bukan tanpa wayar.

2. MOA: Pitaya
Ulasan:
Istilah dragon fruit yang diguna pakai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) ialah Pitaya.  Istilah ini masih belum terdapat dalam Kamus Dewan atau daftar istilah pertanian.  Begitu juga dengan istilah buah naga, meskipun istilah ini telah lama digunakan sebagai nama Melayu bagi dragon fruit, tetapi hingga ke saat ini ia kekal sebagai nama julukan (bukan jolokan) sahaja.




3. Sharp: Tajam & Jelas
Ulasan:
Istilah sharp dalam laras foto ialah tajam (dalam fokus). Walau bagaimanapun, untuk iklan ini istilah tajam tidak sesuai digunakan kerana perkataan tajam perlu dikaitkan dengan fokus, seperti fokus yang tajam dan jelas bagi televisyen berjenama Sharp.  Tanpa perkataan fokus, iklan itu kelihatan janggal, melainkan syarikat tersebut ingin membuat gimik untuk mengaitkan tajam dengan pedang samurai yang dipegang oleh wanita Jepun berkimono yang terdapat pada iklan itu. Sekiranya wanita dan pedang samurai itu tidak termasuk dalam iklan papan tanda ini, slogan "tajam & jelas" mungkin perlu ditukar kepada "terang & jelas".




Sambungan Selembar Benang

Stesyen vs stesen
Ejaan Melayu yang betul bagi perkataan bahasa Inggeris station ialah stesen bukan stesyen.  Begitu juga dengan perkataan commission yang dieja komisen bukan komisyen (istilah lain: pesuruhjaya). Tetapi ejaan Melayu bagi istilah television ialah televisyen, manakala bagi istilah profession pula ialah profesion.

Tusyen vs tuisyen vs tiusyen
Ejaan bahasa Melayu yang betul bagi tuition ialah tuisyen, bukan tusyen atau tiusyen.  Tetapi bagi perkataan action, collection dan function, perkataan-perkataan tersebut diistilahkan dan dieja sebagai aksi, koleksi dan fungsi.  DBP tidak mengiktiraf istilah perkataan position dan corruption sebagai posisi dan korupsi. Begitu juga perkataan selection sebagai seleksi.  Istilah-istilah berkenaan diguna pakai secara meluas di Indonesia.  Di Malaysia istilah yang mantap bagi perkataan position dan corruption ialah kedudukan dan rasuah.


Babah "mengganas" dengan kamera baharu...

21 comments:

Md Nizar Parman said...

Salam Tuan Samsudin,
Begitulah kisahnya segelintir pengiklan. Alasan yang cukup biasa kita dengar. Mungkin iklan itu akan cukup gah jika menggunakan bahasa Inggeris dan lebih sedap. (Sedap mulut menyebut, tapi mata dan hati sakit!). Harap-harap pihak DBP akan memantau hal ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Iklan Petronas, bila nak diubah?

Werdah said...

Salam Samsudin,

Sejak dulu ungkapan dalam BI memang diutamakan.. itulah jadinya banyak perkataan dalam BM ditukar bunyi hujung sahaja..

Tentang istilah pula kadang2 rasa membazir sahaja diwujudkan AJK istilah kemudian menerbitkan buku-buku istilah sudahnya jarang digunakan.

Tentang pengiklanan pula dirancang supaya dapat menarik perhatian.

Kak pernah menyertai DBP seketika dulu tentang menyemak istilah-istilah kejeruteraan.. kemudian pada tahun 1993 pernah pula mengajar BM selama setengah tahun.. alhamdulillah memang banyak belajar pada masa itu, namun kak dalam bidang kejuruteraan kenalah mengajar kejuruteraan.

Bila mengajar BM baru sedar banyak kesalahan tatabahasa dan juga pemilihan kata sendi dan sebagainya.

insan marhaen said...

Tidak salahkan pengiklan sahaja, sebab aku pun selalu guna kesilapan yang sama.

Ingatkan bila BM dalam SPM 'distinction' kira hebat dah tapi rupanya berterabur juga ye...

Makin selalu baca blog MU ni, makin banyak kesilapan aku ditemui.

en_me said...

vah vah vah.. pakar bahasa nih..

Unknown said...

Salam Cikgu Nizar. Saya percaya bahawa semua ini akan berubah jika pemimpin politik campur tangan. Sama ada campur tangan memperbaiki apa-apa yang silap atau campur tangan menukar kepimpinan DBP yang tidak menjalankan tugas dengan baik. Walau bagaimanapun, DBP masih perlu ada dan menjadi rujukan utama. Segelintir yang berada di sana amat komited untuk terus memartabatkan bahasa Melayu. Sumbangan sahabat-sahabat kita, para Munsyi Dewan, juga amat besar. Cikgu sudah ada "title" Munsyi ke?

Unknown said...

Salam Werdah. Saya ingin membuat tekaan. Benarkah dahulu Werdah seorang penterjemah laras kejuruteraan yang aktif? Jika benar, bolehlah kita bergabung. Saya aktif dalam menterjemah bahan-bahan penulisan di bidang perbankan dan kewangan dan terlibat secara langsung dalam membina istilah-istilah baharu bagi bidang-bidang ini. Kali terakhir istilah laras perbankan dan kewangan dikemas kini ialah pada tahun 1992 dan Daftar Istilah Industri Perkhidmatan Kewangan pula pada tahun 2001. Cuba bayangkan betapa ketinggalan zamannya kita...

Unknown said...

Salam Insan Marhaen. Dahulu saya juga banyak membuat kesalahan. Namun dari semasa ke semasa/ dari masa ke masa saya cuba memperbaiki kesalahan itu. Bagi saya, orang yang biasa menulis seperti tuan lagi mudah mempelajari bahasa. Yang penting ialah meningkatkan sedikit sahaja kepekaan kita kepada bahasa Melayu. Insya-Allah lama kelamaan kesilapan dapat dikurangkan.

Unknown said...

Salam en-me. Saya bukan pakar bahasa tetapi peminat bahasa. Bahasa kita cukup unik, canggih dan sistematik, setanding dengan bahasa-bahasa bermutu di dunia. Bahasa ini juga indah. Tak kenal maka tak cinta. Cuba en-me buat sedikit kajian. Saya suka membuat perbandingan dengan ramai orang Islam yang mengatakan al-Quran itu tinggi nilai bahasa Arabnya, tetapi sepatah kata Arab pun tidak diketahui. Harap-harap kita tidak termasuk dalam golongan tersebut. Wallahualam.

Md Nizar Parman said...

Salam Tuan Samsudin,
Saya belum selayaknya memegang gelaran "Munsyi Dewan" itu. Munsyi Dewan Bandar Raya sahaja agaknya. Hehehe... Tetapi saya sangat bertuah bersahabatkan Saudara Azhar Salleh, Munsyi Dewan yang sangat aktif di negeri Hujung Tanah ini.

Unknown said...

Salam Cikgu Nizar. Saya sedang merancang satu pendekatan tuntas untuk bahasa Melayu di Bank. Insya-Allah, saya akan menghubungi Encik Azhar Salleh. Tunggu masa yang sesuai sahaja.

Rusdi Abd Rahman said...

Tuan Samsudin,
Kamera baharu dimanfaatkan dengan rakaman peristiwa dan rakaman perihal bahasa sungguh memberikan makna buat pengunjung blog tuan ini. Teruskan usaha baik dan murni untuk kebaikan dan manfaat semua. Tahniah tuan.
Saya juga ada merakam penggunaan bahasa di merata tempat (jika berkesempatan) sama ada dirancang dan spontan menggunakan kamera sendiri yang murah sahaja tetapi besar kegunaannya.

Maiyah said...

mcm perkataan stesyen slalu diguna gak dulu n org tua2 skrg pun eja style camtu

Abd Razak said...

Salam...

Banyak lagi yang saya perlu pelajari dari segi bahasa kita ni...:)

Unknown said...

Salam Sifu Rusdi. Kamera itu bukanlah canggih sangat. Terendah dalam kelasnya. Kamera sebelum ini sudah berusia lebih 8 tahun. Rasanya sudah sampai masa untuk ganti. Gambar yang diambil selalu kabur dan kurang berkualiti. Memang tujuan beli pun untuk gambar blog supaya lebih kelihatan profesional. Mudah-mudahan manfaatnya dapat dikongsi bersama. Wallahualam.

Unknown said...

Salam Razak. Saya selalu melawat blog saudara. Penggunaan bahasa sungguh baik dan bersahaja. Saya juga masih belajar dan ingin mengajak saudara dan kawan-kawan lain bersama-sama memperbaiki apa-apa yang kurang demi bahasa Melayu yang tercinta.

izakhairi said...

Banyak yang saya dapat pelajari di sini. Semoga setiap kesilapan bahasa yang dilakukan dapat diperbaiki. Saya akan link blog ni.

Nizam Awang Brahim said...

Assalamualaikum Tuan Shamsudin.Banyok mende koi dapat kat sini.Terutame bab ejaan nye.

wakparpu said...

Salam adik din,

Wak kdg2 musykil dgn bahasa... teknilogi..disebut 'teknoloji'

ketua negeri..'Menteri Besar'

ketua negara..."Perdana Menteri'
kenapa tidak 'Menteri Perdana' ?

tulisan jawi lagi pening....

Unknown said...

Salam Iza, Rodong dan Wak,
Terima kasih kerana sudi bertandang ke rumah saya dan memberi komen yang membina. Insya-Allah apa-apa yang boleh kita kongsi bersama, kita akan kongsi. Di blog-blog anda juga tidak kurang hebatnya. Salam perkenalan dan jazakaullahu khairan kathira.

JMR said...

nice info..:-)

Unknown said...

Salam JMR. Terima kasih atas komen dan kunjungan.

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...