17 December, 2009

Kawan Karibku Murtad


Pengalaman saya di bawah ini boleh dijadikan iktibar oleh kawan-kawan sempena  sambutan Maal Hijrah 1431 ini.



Saya mengenali Abang Mat lebih lima tahun yang lalu.  Kami merupakan rakan kongsi dalam kegiatan penterjemahan.  Abang Mat sememangnya cukup arif dan berpengalaman dalam bidang ini dan beliau amat dikenali dalam kalangan para penterjemah tanah air. Beliau merupakan penterjemah sepenuh masa dan bergantung hidup pada usaha yang agak "mewah" ini. Klik di sini jika kurang yakin.

Hubungan persahabatan kami berputik apabila saya memberi komen yang menghina hasil karya terjemahan beliau.  Cara begini biasa saya gunakan untuk mendapat perhatian seseorang.  Tetapi awas, anda perlu ada kehebatan untuk berbuat demikian.  Maksudnya, ada perlu cukup kekuatan dari segi ilmu dan jati diri sebelum menggunakan teknik "melampau" ini.

Bermula detik itu, kami selalu berhubung antara satu sama lain dan menjadi semakin akrab apabila kami mula berkongsi "projek".  Beliau kata (bukan saya kata) saya hebat dan berbakat dalam bidang penterjemahan, khususnya dalam laras perbankan dan kewangan. Saya tidak berasa begitu, sehingga suatu hari beliau tergetar-getar menelefon saya bertanyakan sama ada saya boleh membantu beliau menterjemah laporan tahunan sebuah syarikat swasta ternama. Katanya, tanpa saya, beliau akan menolak tawaran itu.  Wow, saya rasa cukup hebat! Itu satu motivasi  yang paling terkesan di jiwa saya.

Abang Mat memang baik.  Bertutur lembut dan teratur.  Kami sering ke masjid bersama-sama.  Semasa ibu saya meninggal dunia pada tahun 2006, beliau adalah antara kawan yang terawal muncul memberikan takziah dan mengiringi jenazah ibu ke tempat persemadian. Beliau sempat menyudahkan pembacaan Surah Yasin di atas kuburan ibu. Abang Mat memang prihatin dan peka.  Satu ketika saya menerima satu pesanan ringkas (SMS) daripada beliau berbunyi "Salam Din, saya baru memasukkan duit sebanyak RM3,000 ke dalam akaun awak.  Duit itu untuk anak awak yang akan masuk ke universiti tidak lama lagi, jangan guna untuk perkara lain".  Saya kaget, tetapi cuba berbuat selamba. SMS dibalas ringkas, "TQ bang".  Banyak lagi kebaikan beliau kepada saya yang tidak dapat disebutkan satu per satu di sini, takut nanti meleret-leret pula.

Awal tahun lepas, kawan rapat kami yang seorang lagi datang bertemu saya dan berbisik kepada saya, "Din, Abang Mat sudah keluar Islam.  Dia pesan suruh beritahu engkau. Dia tidak sanggup beritahu sendiri.  Bukan baharu, tetapi lama dulu.  Sejak tahun 1998 lagi.  Sekarang ini dia sudah pun menjadi Paderi. Setiap Ahad beri khutbah di Gereja". Saya terdiam. Lidah kelu. Otak buntu.  Masya-Allah...

Saya ambil telefon dan hantar SMS kepada kawan-kawan bergelar ustaz yang saya kenali untuk meminta pandangan mereka apa yang perlu saya buat.  Semuanya memberi respons "Putuskan hubungan".  Saya balas "Mana boleh ustaz.  Sayalah sekerat dua kawan dia yang Islam.  Yang lain-lain, China, India dan Mat Saleh. Nanti siapa nak bawa dia ke pangkal jalan".  Sekonyong-konyong Ustaz menarik balik fatwa, "Berkawanlah baik-baik Din.  Tetapi ingat, jangan kau terpesong pula".

Saya pulang ke rumah lalu mengambil buku Ahmed Deedat "The Choice, Islam and Christianity, Volume I"  yang saya beli beberapa tahun lalu dan saya tulis nota di dalamnya, "Abang Mat,  saya mohon abang baca buku ini dengan hati yang terbuka. Mungkin ia bermanfaat untuk abang.  Kita bersaudara bang, tetapi persaudaraan itu tidak seperti dahulu kerana kini ia menjadi janggal dan tidak semurni persaudaraan sesama Islam".



Sampai sekarang, buku bersama nota itu masih dalam simpanan saya kerana belum ada masa yang  paling sesuai untuk saya serahkan buku tersebut kepada beliau. Kami tidak pernah berbincang tentang perkara ini dalam setiap pertemuan dan beliau senantiasa mengelak untuk berbicara tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan agama.  Maal Hijrah 1431 ini, usia Abang Mat menjangkau 57 tahun.  Semoga Allah mengasihani beliau kembali dan melontarkan semula cahaya iman di lubuk hati Abang Mat....

Pesanan Babah: 
Abang Mat (bukan nama sebenar) murtad atas pengakuannya.  Tetapi sebahagian daripada kita tidak sedar betapa kita juga terdedah pada fenomena itu kerana kejahilan kita.  Ramai yang tergelincir akidah daripada landasan iman dan Islam, tanpa disedari, melalui pertuturan dan perbuatan. Justeru, awasilah perlakuan dan pertuturan. Teruskan memperdalam ilmu dan jadikan ucapan taubat sebagai wirid yang senantiasa bermain di bibir. Wallahualam.



Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami dan terimalah taubat kami...

46 comments:

NorshahilaSabarudin said...

selalu sy baca dlm email,dgr dr mulut kwn2,1st time baca dr blog..Rupanya memang ada ya,mcm x percaya..Macammaner 'Abg Mat' nie boleh terjebak, sedangkan diakan org terpelajar..Dunia akhir zaman..

Unknown said...

Salam Ila. Semuanya bermula apabila "Abang Mat" disantau orang. Dia hilang keyakinan kepada agama kerana kesengsaraan yang teruk menanggung derita akibat perbuatan khianat itu. Beliau kecundang...di dunia dan di akhirat.

mazru said...

sedih..mudahan Allah membuka pintu hati abg mat utk kembali ke pangkuan agama Islam yg tercinta ini..

nice entry.

Unknown said...

Salam Mazru. Selama berminggu-minggu saya dirundung durja. Itu saya. Bayangkan pula bagaimana keluarga beliau. Saya mendapat tahu dari mulut "abang mat", anaknya sedang menuntut dalam bidang agama di salah sebuah IPTA. Isterinya bekas ustazah. Ada cerita lain lagi. Biar saya rizabkan untuk komen yang lain pula. Terima kasih kerana singgah di sini.

Md Nizar Parman said...

Salam Babah,
Cerita ini amat menyedihkan. Saya acapkali menonton siaran "SAKRATULMAUT" Astro Aruna (Rangkaian 121). Ustaz dalam kisah-kisah itu ada menyatakan, "Seseorang itu yang diuji kemiskinan oleh Allah S.W.T dengan kemiskinan, masih betah menempuhinya, tetapi seseorang yang sering diuji kemewahan oleh-Nya sering tewas dalam gejolak nafsunya". Kisah "Abang Mat" ini MESTI dijadikan ikhtibar. Yakin dan percayalah bahawa ALLAH tetap akan sentiasa bersama kita.

izakhairi said...

moga abang mat memperoleh hidayah dari Allah...

abu muaz said...

KIta hanya diajar tentang rukun islam yang lima itu perkara-perkara yg membatalkan solat,puasa,zakat dan haji.
Bab batal syahadah jarang diulas dan diajar.

Unknown said...

Salam Cikgu Md Nizar. Jika Si Kaya lupa akan Tuhannya, sekurang-kurangnya dia kaya di dunia. Tetapi,jika Si Miskin mengingkari Tuhannya, sungguh malang, dia papa di dunia dan merempat di akhirat.

Unknown said...

Salam Iza. Doa yang kita panjatkan kepada Allah untuk kesejahteraan diri, keluarga dan orang lain juga merupakan salahsatu cabang ibadat. Moga doa anda dimakbulkan Allah.

iBu...gUru said...

bila ibu baca citer macam ni ibu jadi sedih dan takut. moga dibalikkan semula hati abg mat kejalan yang lurus

Unknown said...

Salam Abu Muaz. Tepat sekali. Kadangkala kita terlalu fokus dengan satu-satu cabang ilmu spt ilmu fikh dan mengabaikan ilmu lain spt ilmu tauhid. Sebaiknya, ilmu yang dituntut perlulah seimbang. Di surau-surau dan di masjid jarang sekali ada pengajian yang memberi tumpuan pada ilmu tauhid. Yang lebih popular ialah ilmu fikh. Sehingga warga tua di sana terus-terusan mengulangi subjek taharah (termasuk mandi junub) dan cara memperbetul solat...

Unknown said...

Salam Ibu Guru. Abang Mat "gentleman" mengisytihar dirinya menganut kristian. Yang kita gusar, takut ada dalam kalangan keluarga yang senyap-senyap menukar agama tanpa pengetahuan kita. Akhirnya, apabila meninggal dunia, golongan sana minta ditanam di perkuburan mereka. Sekarang di Malaysia, kita sudah tidak ada kuasa menyekat perkara ini. Kini, kepala orang Islam mudah sahaja dipijak-pijak...

Tengku Speki said...

takutnyerr

Tirana said...

Mudah-mudahan Abang Mat akan diberi hidayah oleh Allah untuk kembali ke Islam.

Unknown said...

Salam Proffy. Saya Proffy bukan takut tetapi rusuh hati,cemas, gelisah atau bimbang peristiwa begini berlaku dalam kalangan keluarga. Itulah sedikit cebisan daripada iman. Wallaualam.

Unknown said...

Tirana. Semoga doa Tirana didengari Allah.

umi_e said...

Salam babah... sedihnya... semoga 'abang mat' akan diberikan taufik dan hidayah oleh-Nya untuk kembali ke pangkal jalan...

Unknown said...

Salam Kak-e. Kirim salam pada suami...

Rusdi Abd Rahman said...

Tuan Samsudin,
1. Itulah yang sama-sama kita takut, sama-sama dijadikan teladan untuk kita dan keluarga kita.
2. Sekadar makluman tuan, saya juga berminat untuk buat terjemahan kerana telah mengambil serta dianugerahkan Diploma Penterjemahan Khusus dalam Kursus Penterjemahan selama 6 bulan anjuran Persatuan Penterjamahan Malaysia (PPM) dan DBP pada Mei - November 1998 dahulu, sempat sesekali buat terjemahan untuk 2-3 halaman dahulu (ketika masih di DBP Kuala Lumpur) tetapi sejak 2001duduk di JB maka tiada peluang untuk mengembangkan bakat dan ilmu itu.
Sekian.

Unknown said...

Salam Saudaraku Rusdi. Saudara sudah jauh lebih layak untuk menjadi penterjemah yang hebat. Arif berbahasa dan tahu teknik penterjemahan. Yang tinggal hanya "marketing" dan fokus pada laras yang kita mahir. Bidang ini menjana dua perkara, iaitu duit dan kemahiran. Bagi mengelakkan bebanan, bentuk pasukan yang komited. Dapat bekerja dengan lebih santai. Rezeki diagihkan, bukan membolot seorang. Hasil kerja juga bermutu kerana banyak mata yang menilai. Nanti kita bincang panjang lebar lagi tentang perkara ini.

Lia3003 said...

takutnya babah...camne dia boleh masuk agama lain. dia dah murtad lama, tapi masa ur mum pass away, dia leh baca yassin lagi..hm, takut2..

Unknown said...

Salam Liyana. Itu sebablah babah pening kepala apabila mula-mula tahu. Kami pernah bersama-sama ke Masjid Negara untuk solat Jumaat. Masa solat macamana nak tahu dia solat ke tidak. Sekarang babah susah lagi. Apabila dia "call" dia beri salam. So, kena jawab perlahan-lahan, "kapal selam, bang".

amalhaj said...

"1Malaysia heboh cerita murtad satu ketika dulu......"
Salam ziarah dari teman. Di pagi satu Muharam ini teman "terbuka" blog tuan yang padat dengan ilmu yang perlu teman mohon kongsi bersama......
ITULAH KEHENDAK ALLAH.

Unknown said...

Salam amalhaj. Terima kasih. Insya-Allah saya juga akan menziarahi blog anda.

greenhall said...

na'uzubillahiminzalik..




terkelu lidah. saya pernah hadapi situasi yg sama. tapi alhamdulillah, sahabat saya tu dah kembali ke jalan yang diredhai Allah.

Akma Lee said...

Salam babah...
anak isteri dia sekarang macam mana?
tinggal serumah lg ke?

Norudin Draman UstazCahaya said...

Saya terkejut membaca perenggan ini:

[Saya ambil telefon dan hantar SMS kepada kawan-kawan bergelar ustaz yang saya kenali untuk meminta pandangan mereka apa yang perlu saya buat. Semuanya memberi respons "Putuskan hubungan"]

Mengapa ustaz-ustaz bersikap seperti itu?

Di Sarawak, kita boleh lihat di mana-mana pendakyah Kristian berkemeja putih dan berseluar hitam, berbasikal ke sana ke mari.

Seorang bekas Kristian, yang kini seorang Cina Muslim, pernah bercerita kepada saya. Dia adalah bekas pendakyah juga dan pernah berkursus ke Australia dan Filipina. Katanya, pendakyah Kristian itu 'bekalnya cukup'. Pertama, ilmu komunikasi dan psikologi. Kedua, ilmu mempertahankan diri. Ketiga, mereka diajar untuk 'memudahkan' Kristian (mungkin kerana yang ketiga ini, Abang Mat masih boleh membaca Yasin dan bersolat ketika bersama abang samsudin).

Berbeza dengan usaha dakwah kita. Masih ada kekurangan dan lubang di mana-mana. Di kalangan 'orang agama' bergaduh dan berselisih faham. Kita tidak 'kompak', kata Aa Gym.

Sedih dan terharu baca kisah benar ini. Semoga Allah masih menyayangi Abang Mat. Amin.

Guru said...

assalammualaikum en samsudin,

alhamdulillah samsudin dipilih Allah menjadi sahabatnya. ada hikmah yang belum terungkai lagi.
sedangkan sewaktu Rasulullah masih hidup, ada 'sahabat' yang berhijrah ke bumi Kristian menjadi kafir semula,
inikan pula di zaman ini.
cuma kita terkejut kerana dia 'kenalan' kita.
apa pun, doa kita terlebih dahulu buat iman kita dan kaum kerabat kita agar terpelihara dari fitnah tersebut. ameen.

Unknown said...

Salam Normah. Terima kasih atas titipan yang sungguh menyenangkan.

ALRIS said...

Assalammualaikum ww,
Cerita sedih kehilangan iman Islam, saya ikut berduka. Kemiskinan ternyata memang dekat kepada kufur. Kalau sudah miskin, iman bisa dibeli. Semoga jadi i'tibar, jadi pelajaran bagi semua.
Salam kenal dari Jakarta.
ALRIS

Unknown said...

Salam Alris tetamu dari seberang. Terima kasih atas kunjungan saudara. Insya-Allah, saya akan membalas kunjungan anda.

its me said...

astarafilullah...ape dah jadik la ngan org kite ni....ni la akibat malaysia boleh byk sgt ni...ehh ape aku merepek meraban ni..ampun abah

Unknown said...

Salam Ms Aireen. Sebenarnya banyak perkara anih yang berlaku di sekeliling. Masa sahaja yang menentukan bila Ms Aireen akan menjumpai salah satu yang anih itu. Saya telah terjumpa banyak kejadian anih dan semua itu akan saya ceritakan dalam blog ini nanti. Datang selalu menziarahi babah. Insya-Allah saya juga akan menziarahi blog Aireen. Terima kasih.

BUJANG SUSAH said...

Assalamualaikum babah. Tak tau nak komen apa. Cuma sedikit harapan semoga dia kembali diberi cahaya keinsafan insyaAllah.

mohon saya copy entry ni eh...

Cikgu Ibrahim said...

Terima kasih atas jemputan ke blog yang bermanfaat ini.

arizWanmerahs said...

Salam saudaraku,

Saya tak sempat nak baca semua komen2 diatas ni, namun saya ada saranan buat saudara..

pesan saya yg paling utama adalah, teruskan persahabatanmu. Dia makhluk Allah SWT yang sama juga cam kita semua, punya kelemahan, engkaulah sebagai sahabatnya yang paling rapat harus membimbingnya. Jangan ada benci pada dirinya, harus menambah kasih dan sayang terhadapnya. Kasihanilah dirinya sebagaimana engkau kasihkan dirimu sendiri. Ingatlah, dia kini terancam API YANG MENYALA2, pasti menyeksakan buat selama2nya..
Bersahabatlah sebagaimana biasa, namun cucikanlah pemikirannya secara perlahan2 agar dia tak memberontak terhadapmu.. Jangan lupa berdoa untuknya sentiasa ya.. Inilah saja yang dapat saya bantu, moga2 engkau berjaya..

Unknown said...

Salam Bujang dan Cikgu. Terima kasih kerana sudi ziarah babah pada hari Ahad yang penuh kesibukan ini. Merah_s, saranan anda melekat dalam lipatan hati saya. Moga kita semua dirahmati Allah.

~ abil CUMA ~ said...

asaghfirullah..btul tu pilihan babah..kite kne kwan ngan dorg yg murtad agar dpat kmbali ke pangkal..
bukannye ptuskan hubungan kerana itu tidak mnunjukkan akhlak yg Nabi sarankan dalam Islam..tapi stu pinta abil, babah bg la buku tu secepat yg mungkin..:)

semoga berjaya..Agar ALLAH mmbuka hati abg mat tu..amin

~ abil CUMA ~ said...

babah, mgkin abg mat tu stu ujian untuk babah..Allah ingin mlihat samaada babah kuat mengajak dia agar kembali ke pangkal ataupun babah tewas lalu mengikut jejaknya...
abil doakan iman babah akan brtambah mantap..amin..:)

Unknown said...

Terima Nabila.

azieazah said...

Semoga terpelihara iman kita.... Aminnnnnn....

jan.naimah said...

salam mybabah [:
tergamam sy membace nyer
dlu dgr2 je org2 mcm ni
tp skrg,sy pcaye
ats ujian yg d berikan,
kite tewas...

Unknown said...

Salam Azieazah dan Jan. Ingatlah bahawa Allah pernah berfirman mafhumnya "Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu". Saya lupa surah mana. Ingatan hanya di jari. Jadi, setiap seorang daripada kita dipertanggungjawab oleh Allah membimbing keluarga supaya jangan tersesat jalan. Wallaualam.

rosnanie said...

salam mybabah

perkara macam ni dah banyak sgt yg terjadi, ketakutan kita sekarang dh bermacam2, tu semua dugaan. Semoga Allah memberikan hidayah kepada abang mat kembali, dan semoga hidayahNya kekal dgn kita supaya kita kekal dlm agama yg suci ini

harap babah berusaha membawa dia kembali kpd Allah,insya Allah

Unknown said...

Salam Rosnanie. Terima kasih.

Anonymous said...

susah nak baca, boleh tukar tulisan warna lain tak?

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...