31 December, 2009

Anwar Ibrahim


Anwar Ibrahim bin Samsudin

 
 Anwar Ibrahim lahir ketika D.S. Anwar Ibrahim berada di Penjara


Anwar Ibrahim lahir pada 26 Jun 2001

 Sofia Adila binti Samsudin


Sebelum itu, kami kehilangan seorang anak perempuan bernama "Sofia Adila" yang meninggal dunia kerana barah otak. Nama anak ini diambil sempena nama ADIL, iaitu sebuah NGO yang ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib D.S. Anwar Ibrahim



AIC: Anwar Ibrahim Club



Anwar bersama Mama & Y.B. Nurul Izzah


 
Menyambut Aidilfitri tanpa D.S. Anwar Ibrahim


 
Sambutan Aidilfitri pertama selepas D.S. Anwar Ibrahim keluar dari penjara

 

Saya turut berkempen pada pilihan raya Permatang Pauh
sehingga D.S. Anwar Ibrahim kembali ke persada politik 

Entri ini sengaja dipertontonkan kepada anda menjelang 1 Januari 2010 kerana pada firasat saya, D.S. Anwar Ibrahim akan kembali menonjol dalam arena politik tanah air dan beliau dijangka akan menerima tekanan yang lebih hebat daripada musuh politiknya.

Nota:
Meskipun saya dilihat seperti penyokong tegar ("hard-core") PKR, namun saya tidak pernah mendaftar sebagai ahli parti itu. Parti pilihan saya tetap parti "Bulan Mengambang" yang komited untuk terus memperjuangkan hasrat menjadikan negara ini sebuah Negara Islam.








Read more...

28 December, 2009

Jimat...


Antonim bagi perkataan “Motainai” ialah jimat atau berjimat. Jimat bermaksud cermat (tentang perbelanjaan wang atau penggunaan sesuatu), hemat, tidak boros. Sinonim bagi kata berjimat ialah berhemat, berdikit-dikit, berekonomi, berhati-hati, beringat-ingat dan berambi. Orang yang terlalu berjimat pula dipanggil Si Kedekut, iaitu sangat berkira-kira hendak membelanjakan wang, bakhil, kikir, lokek dan pelit.  Dalam simpulan bahasa, orang yang seperti ini dipanggil tangkai jering.


Haji Bakhil dalam filem Labu Labi

Dalam konteks ekonomi secara umum, pengguna yang terlalu berjimat akan memberi implikasi negatif kepada ekonomi. Sikap yang sedemikian akan melembapkan aktiviti perniagaan akibat penurunan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan. Syarikat dan kilang akan terpaksa ditutup dan orang ramai akan kehilangan pekerjaan. Ringkasnya, sikap yang terlalu berjimat akan membawa mudarat kepada ekonomi dan masyarakat. Justeru, jika ingin berjimat hendaklah berjimat secara yang berpada-pada.



Jangan terperangkap dengan fahaman salah...

Meskipun anda digalakkan berjimat secara tidak melampau-lampau, elakkan daripada terperangkap dengan istilah berjimat dalam perkara-perkara yang berikut:

1. Pendidikan – Hantar anak-anak ke pusat tuisyen atau universiti yang terbaik mengikut kemampuan dan kelayakan mereka. Jangan sama sekali berjimat untuk membeli buku-buku rujukan (elakkan membeli buku latihan terpakai). 
2. Perubatan – Jika ahli keluarga anda ditimpa musibah penyakit, jangan berkira-kira untuk mendapatkan pengubatan secara alternatif (selain daripada perubatan moden) terlebih dahulu atas alasan untuk menjimatkan belanja. Jika perlu, berhutanglah demi menyelamat nyawa keluarga.
3. Makanan – Utamakan makanan yang berkhasiat dan segar.  Jangan terlalu memikirkan soal harga dalam memilih makanan.
4. Perbelanjaan untuk ibu bapa – Berikan keperluan yang terbaik untuk ibu bapa. Anak-anak yang “tidak mengenang budi” sahaja yang berjimat untuk memberi wang atau memberi hadiah kepada ibu bapa mereka.

Jangan berkecil hati jika saya katakan anda adalah golongan yang kedekut dan bakhil (terlalu berjimat konon!) kerana Allah s.w.t. Sendiri yang mengatakan sedemikian.



Surah Al-Ma'arij ayat 19-25 yang membawa maksud:
Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.
Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). 


Nak berjimat, berjimatlah. Tetapi jangan sampai kedekut pula...




Nota Bahasa:
Antonim = kata yang berlawanan maknanya dengan kata lain
Sinonim = kata yang sama atau hampir sama maknanya dengan kata lain
Berambi = berhati-hati, beringat-ingat, cermat, teliti.
Kikir = terlalu berkira-kira atau berhati-hati membelanjakan wang, kedekut, lokek.
Pelit = kedekut, kikir, lokek.
Berpada-pada = elok-elok cukup, tidak berlebih-lebihan

Read more...

25 December, 2009

Mottainai...


Sememangnya saya meminati iklan. Iklan mencetus kreativiti. Iklan terkini yang menarik perhatian saya ialah iklan tentang pembaziran yang menyebut perkataan "mottainai" yang menurut  pengiklan berkenaan ia bermaksud "alahai membazirnya".  Iklan ini saya dengar saban hari di radio Hot FM. Makna yang diberikan pada perkataan "mottainai" itu mungkin  tidak tepat atas alasan ungkapan "tiada lagi mottainai" pada akhir iklan.  Jika diterjemahkan ayat itu, ia akan berbunyi "tiada lagi alahai membazirnya".

Photobucket

Mottainai (もったいない, 勿体無い) is a Japanese term meaning "a sense of regret concerning waste when the intrinsic value of an object or resource is not properly utilized." The expression "Mottainai!" can be uttered alone as an exclamation when something useful, such as food or time, is wasted. In addition to its primary sense of "wasteful," the word is also used to mean "impious; irreverent" or "more than one deserves."
Terjemahan  Wikipedia


Bercakap soal pembaziran, sebenarnya bukan orang Jepun sahaja yang membenci pembaziran. Bangsa-bangsa lain di dunia juga membenci sikap buruk ini. Dalam peribahasa Melayu “beringat sebelum kena dan berjimat sebelum habis” jelas membawa maksud peri pentingnya sikap berwaspada dan berjimat cermat dalam kehidupan supaya tidak susah pada kemudian hari.

Jika diamat-amati, perkataan "mottainai" lebih berbentuk rayuan supaya orang ramai tidak melakukan pembaziran. Dalam perbendaharaan kata Melayu pula, pembaziran digambarkan sebagai berboros, membuang-buang, mubazirkan,membelanjakan berlebih-lebihan, berroyal-royal, berporah-porah, cabar dan buar. Jelasnya, perkataan Melayu lebih tegas dalam membenci sikap pembaziran ini.

Pandangan Islam tentang pembaziran malah lebih tegas lagi.
Allah berfirman yang mafhumnya berbunyi, "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya" (Surah al-Isra, ayat 27). Ini suatu gambaran yang agak keras kerana syaitan itu maklhluk yang amat ingkar terhadap perintah Allah.

Berhubung dengan larangan pembaziran ini juga, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi sedekah miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegah ke atas kamu tiga perkara, iatu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta. 

Ibnu Qaiyyim al-Jauziah, seorang ulama dan tokoh dakwah Islamiah ada mengatakan bahawa terdapat sembilan pembaziran yang sering dilakukan manusia, iaitu:
1. Ilmu pengetahuan: Membazir jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan.
2. Amalan: Membazir jika dilakukan dengan hati yang tidak ikhlas.
3. Kekayaan: Membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah.
4. Hati: Membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah.
5. Tubuh badan: Membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah.
6. Cinta: Membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau mendahului cinta kepada-Nya.
7. Masa: Membazir jika tidak diuruskan dengan sebaiknya.
8. Akal: Membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna pada agama.
9. Zikir: Membazir jika tidak memberi kesan pada hati.


Contoh Pembaziran

Gambaran "rumah saudara syaitan" mengikut Surah al-Isra, ayat 27

Kesimpulan:
Pada pandangan Babah, meminjam ungkapan-ungkapan bangsa lain demi kebaikan adalah wajar, tetapi kita juga harus meninjau dan menilai kembali sama ada kita telah memahami dan mempraktikkan kekayaan ungkapan milik kita yang menjangkau jauh daripada ungkapan asing yang kita pinjam itu, seperti yang diungkap oleh Ibnu Qayyim di atas.


Mottainai...




Nota Bahasa Melayu:
Cabar =  1. kurang hati-hati, kurang ingat-ingat, lalai; 2. kurang hemat, boros;
Buar = Boros, tidak hemat.
Mafhum = 1. sudah mengerti (maklum, tahu), sudah faham: ~lah baginda akan surat Yang Dipertuan itu; 2. pengertian;

Read more...

24 December, 2009

Amanat 2010


Amanat Buat Diriku


Memperkasa jiwa, memantapkan raga


Memperkuat jati diri, membentuk peribadi



Meningkatkan cinta kasih di hati kepada sang isteri


Photobucket
Mengurangkan racun perosak, mengelak nafas sesak



Memperkukuh "ukhwah" yang dituntut Allah


Menambah kebaikan, mengurangkan kebejatan


Photobucket
Berani menghadapi sebarang situasi...
Demi mencapai hajat di hati....



Dunia akhirat, jangan dikerat



Biar sampai tak larat, biar sampai berkarat...




Kamus Bahasa Melayu
Amanat: Pesanan, wasiat, nasihat
Raga: Badan
Kebejatan: Kerosakan, keburukan.
Konfrontasi: Persemukaan (keadaan saling berhadapan) antara dua orang (pihak, negeri, dll) yang bertentangan (berselisihan, bermusuhan);
Larat: Terdaya, mampu (untuk melakukan sesuatu pekerjaan); tak ~ tidak terdaya, tidak mampu: tak ~ hendak luluskan tali kerana sakit tangan


Read more...

21 December, 2009

Antara Dua Darjat...


Dari Kemegahan Hingga Ke Kuburan

Sepanjang hidup kita, kita banyak menyaksikan keadaan, kejadian atau peristiwa yang kita rasakan berlaku secara tidak adil.  Salah satu punca ketidakadilan ini ialah amalan pihak tertentu (biasanya, pihak berkuasa) yang salah meletakkan sesuatu pada tempatnya (salah meletakkan keutamaan) dan bersikap lebih cenderung pada sesuatu perkara atas kepentingan peribadi.  Walhasil, wujudlah ungkapan "antara dua darjat" yang dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Semasa bercuti di Pulau Pangkor bersama keluarga dua minggu lepas, saya melihat satu fenomena "antara dua darjat" berlaku di sana, seperti dalam gambar di bawah:


Pelaburan besar untuk duniawi, surau dibiarkan sehingga hilang seri...

Nota:
Pembangunan hebat telah berlaku di Pulau Pangkor selepas Dato' Seri Dr. Zambry bin Abdul Kadir, anak watan Pulau itu ditabalkan sebagai Menteri Besar Perak. Anda akan dapat merasakan kelainan Pulau itu sebaik sahaja feri yang membawa anda berlabuh di pangkalan. Tidak ada yang salah mengenai perkara ini. Apa yang mungkin Dr. Zambry terlepas pandang adalah keadaan surau yang terletak di lokasi strategik Pulau Pangkor, iaitu di Teluk Nipah yang begitu daif. Dr. Zambry sepatutnya peka tentang hal ini kerana pembangunan surau dan masjid merupakan pelaburan jangka panjang hingga ke akhirat, di samping dapat mengawal persepsi masyarakat terhadap beliau. Saya mengenali Dr. Zambry kerana kami pernah berbual beberapa kali secara empat mata. Meskipun kami berlainan "kapal", saya secara peribadi memandang tinggi pada beliau yang saya anggap cukup berkarisma, tidak seperti apa yang digambarkan oleh sebahagian media alternatif. Namun, aku tetap memilih "bulan mengambang".

Sebelum ini, saya merasakan perkara yang sama berlaku pada bahasa Melayu yang kucintai:


Bahasa Melayu yang patut dijunjung, tetapi bahasa Inggeris juga yang terus disanjung

Nota:
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.


Sebelum itu, hal ini terungkap dalam pembinaan Menara Kembar (bukan Berkembar) yang menjadi mercu tanda Kuala Lumpur sekarang ini. Gambar di bawah ini menceritakan segala-galanya.


Menara KLCC semenangnya hebat, tetapi masih ramai lagi rakyat yang hidup melarat...

Sebenarnya, hal yang sedemikian bukanlah suatu perkara yang luar biasa kerana selepas meninggalkan dunia yang fana ini pun manusia tetap memikirkan darjat, sedangkan di sisi Allah ketinggian darjat seseorang bergantung pada nilai takwanya.



Darjat dibawa ke kubur dengan harapan dapat berlibur...

Nota:
Berdasarkan Sunnah Nabi s.a.w, kubur yang tinggi harus dirobohkan dan diratakan. Berdasarkan hadis Ali bin Abi Thalib r.a. bahwa ia berkata, "Ketahuilah, aku akan mengutusmu untuk sebuah tugas yang dahulu pernah Rasulullah s.a.w. tugaskan kepadaku, iaitu janganlah biarkan patung kecuali engkau menghancurkan dan janganlah biarkan kuburan yang tinggi kecuali engkau ratakan!" (HR Muslim (969).


Akhirul kalam,
Hakikat ini perlu diterima kerana itulah sebenarnya sikap manusia.  Al-Qur'an yang diperintahkan oleh Allah untuk diikuti, manusia tetap mencari atau mengambil alternatif lain sebagai pedoman dan panduan.


Al-Quran diturunkan darjat (di bawah undang-undang dunia) menjadi bahan sedekah untuk Si Mati dan doa semasa kenduri, bukan untuk diikuti dan dipatuhi...

Nota:
Firman Allah s.w.t:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ اْلأَخِرِ
Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah s.w.t (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah s.w.t dan hari kemudian.. (QS. An-Nisaa`:59)



Firman Allah s.w.t:

وَأَنزَلْنَآإِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ بِمَآأَنزَلَ اللهُ وَلاَتَتَّبِعْ أَهْوَآءَهُمْ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ الْحَقِّ
Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Qur'an dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah SWT turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. (QS. Al-Maidah:48)


Pesanan Babah:
Sebagai insan yang lemah, kita sering alpa sehingga anak-anak sendiri pun kadang kala kita bezakan, inikan pula hal-hal lain. Bagi mengelakkan berlaku kealpaan yang berlanjutan, kita dinasihati Nabi s.a.w. untuk selalu bermuhasabah diri dan terus berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan sekadar yang termampu oleh kita. Selainnya, kita serahkan kembali kepada Allah untuk menentukannya.

Firman Allah:
Dan Katakanlah: "Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir. QS. Al-Kahfi: 29


"Mangsa antara dua darjat"



Nota bahasa:
1. Kata antara merupakan kata sendi nama, manakala kata di antara berfungsi sebagai penanda arah.
Contoh di antara:
Di antara Johor dengan Singapura terentang jambatan yang lebar.
Daud duduk di antara emak dengan bapanya.
Contoh antara:
Antara majalah yang diminati ialah Mangga dan Mastika.
Hubungan diplomatik antara China dengan Taiwan tidak pernah wujud.

2. Pangkalan bermaksud tempat perahu, feri atau kapal berlabuh. Perkataan ini sering disalah eja dengan pengkalan.
Read more...

20 December, 2009

Sakit Hatiku Membuak-buak!


Sakit Hati Tahap Pertama.
Hari ini aku mencari ATM Maybank yang masih berfungsi di sekitar Cheras. Dari stesen minyak hingga ke cawangan-cawangannya. Semua memaparkan ”Out of Service”. Perkara seperti ini biasa berlaku pada hujung minggu. Aku yang tak serik-serik mencuba nasib nak keluarkan wang sendiri!



Sakit Hati Tahap Kedua
Sebelum itu, hatiku disakiti dengan peristiwa di bawah.

Lost or stolen card?
Don't worry. Call 1-800-88 3231 or 03-2072 1373 for credit cards and 1-300 88 6688 for ATM cards to report it immediately.



Itu janji Maybank kepada kita. Janji yang dibuat dalam bahasa Inggeris kerana kita sememangnya tidak menjangkakan bahawa mereka berminat untuk menggunakan bahasa Melayu. Laman web maybank2u.com.my 100% berbahasa Inggeris, sedangkan lebih 50% pelanggannya berbangsa Melayu.

“Helo, Maybank. Saya Samsudin Jidin. Saya ingin melaporkan kehilangan kad ATM saya, tetapi saya ingin memohon supaya penggunaan kad itu digantung (suspend) terlebih dahulu sebelum ditamatkan perkhidmatannya bagi membolehkan saya mencari kad tersebut di sekitar rumah. Jika didapati benar-benar hilang, baharulah saya akan membuat aduan rasmi tentang kehilangan kad berkenaan" kata saya kepada penyambut panggilan yang ramah (?).

“Boleh tak Encik memberikan nombor kad yang hilang itu kepada saya” sampuk gadis yang bersuara lunak di sebelah sana.

“Saya tak ingat dan tak semestinya saya perlu mengingati nombor sebanyak 16 digit itu. Nombor itu tidak penting, kecuali nombor akaun dan nombor pin” kata saya yang mula naik angin.

” Ini prosedur Encik" balasnya.

”Prosedur yang tak betul kena diperbaiki”, kata saya dengan suara yang agak tinggi.

”Oklah Encik. Saya akan maklumkan masalah ini kepada pihak atasan kami. Mengenai kehilangan kad ATM Encik, kami tidak boleh menggantung perkhidmatan kad Encik. Encik kena pergi ke cawangan kami yang berhampiran untuk menukar kad baharu. Tetapi kami akan mengenakan caj sebanyak RM12.00”.

”Mengapa tidak boleh digantung dahulu, sedangkan kad kredit boleh? Saya tidak mahu dengan mudah kehilangan RM12.00 kepada Maybank" jerit saya yang sudah hilang sabar sedikit.

”Ini prosedur Encik” balas penyambut panggilan.

”Prosedur lagi... Kalau tak dapat bantu saya tak apalah” kata saya dengan kecewa.

”Ya. Ada apa-apa yang boleh saya bantu lagi” katanya mengikut format khidmat pelanggan Maybank.

”Maaf, dari mula lagi anda tidak membantu saya”, balas saya dan terus menamatkan panggilan.

Begitulah cerita bagaimana sakitnya hatiku berhadapan dengan syarikat kewangan di Malaysia yang menggunakan sepenuhnya sistem pasaran monopolistik mereka. Orang ramai terpaksa akur

Sakit Hati Tahap Ketiga
Sakit hati dan mata apabila syarikat sebesar Maybank ini tidak cuba menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Sekali-sekali guna bahasa Melayu pun masih hancai-boncai (kata pasar).


Deposit ialah kata nama yang bermaksud simpanan. Kata kerjanya ialah mendepositkan. Oleh itu ayat "Depositlah hari ini" pada kain rentang seperti dalam gambar di atas sangat jelas kesalahannya. Begitu juga dengan perkataan minima yang sepatutnya ditulis minimum.


"Tembak"mana-mana yang pincang"



Nota:
Pasaran monopolistik adalah salah satu bentuk pasaran yang terdapat banyak pengeluar dengan menghasilkan barangan serupa tetapi memiliki perbezaan dalam beberapa aspek. Penjual dalam pasaran monopolistik tidak terbatas, namun setiap produk yang dihasilkan pasti memiliki karakter tersendiri yang membezakannya dengan produk lain. Contohnya ialah syampu, ubat gigi, dan lain-lain. Meskipun fungsi semua syampu sama, yakni untuk membersihkan rambut, tetapi setiap produk yang dihasilkan pengeluar berbeza, misalnya perbezaan dari segi aroma, warna, kemasan, dan lain-lain. Dalam pasaran monopolistik, pengeluar memiliki kemampuan untuk mempengaruhi harga, walaupun pengaruhnya tidak sebesar pengeluar daripada pasaran monopoli atau oligopoli.

Read more...

18 December, 2009

Komen Sahabat Bernama Izazin...



Komen seorang sahabat bernama Izazin di blog Bujang Susah (klik di sini) tentang artikel saya “Kawan Karibku Murtad” yang diposkan di sana:


Saya salahkan kawan anda itu sekali tetapi salahkan anda 9 kali. Kenapa? Sebab anda tidak berusaha menariknya semula bila dia jatuh, kedua, lidah anda kelu nak ckp walhal jumpa dah byk kali sebab kalau bercakap kang u tak dpt pulak projek2 "baik", ketiga, sebab byk terhutang budi rela kawan gadai agama, keempat dasar lelaki pemalas kerja keras, buat terjemahan pakai otak je, kalau Allah tarik satu fius otak tu, u all dpt buat terjemahan ke?, nabi n sahabat dulu siap berperang, gadai nyawa nak naikkan n mertabatkan Islam, kelima, u pun dah dihasut oleh iblis melengah-lengahkan usaha menariknya ke jalan benar, keenam, kalau buat kerja berlantaikan material, nak martabatkan bahasa Melayu konon, mang tak dapat aper, cuba berlantaikan soleh, jadilah penterjemah soleh, nak martabatkan agama dengan mempergunakan bahasa, ketujuh, u pun dah syok dibuai duniawi, kelapan, u tulis n isi blog dgn petikan yg maha dahsyat tp u sendiri tak baca, anak ketam suruh jln lurus, u pulak jadi mak ketam, kelapan, amalan u sendiri kene perbetulkan, muhasabahlah diri sendiri, dan yang kesembilan, lu pikirlah sendiri........


Komen saya terhadap komen beliau:


1. ”Abang Mat” jatuh sudah lama dulu, iaitu pada tahun 1998 dan beberapa tahun kemudian beliau menjadi paderi. ”Mendakwah” seorang paderi (ulama Kristian) tidak semudah mulut menyebut "menarik semula bila dia jatuh".  Jika saya kenal sahabat ini, nescaya saya akan mencadangkan nama beliau sebagai ”Menteri Agama” supaya gejala murtad dapat segera dibendung.


2.  Antara cara yang berhemah yang dituntut Nabi s.a.w untuk berdakwah dengan menunjukkan keperibadian yang baik, berdakwah mengikut waktu dan keadaan yang sesuai dan berlemah lembut. Cara ”keras” yang disarankan oleh sahabat kita ini sudah tidak relevan, lebih-lebih lagi sehingga menyeru untuk berperang.  Bagi beliau cara berperang boleh menyelesaikan segala masalah agama.  Saya rasa selain daripada menjadi ”Menteri Agama”, beliau juga boleh dilantik menjadi ”Menteri Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Peperangan”.


3.   Projek itu bukan projek ”Abang Mat”.  Dia tidak ada satu projek pun.  Kami berkongsi projek bersama-sama.  Projek terjemahan tidak ada kena dalam soal ini.  Kerjasama kami dalam projek-projek ini berlaku sebelum saya mengetahui ”Abang Mat” sudah meninggalkan agama Islam.  Apa yang saya faham dengan ilmu yang cetek ini, bermuamalat dengan penganut agama lain dibolehkan oleh agama. ”Mubah” kata ulama.  Mungkin “haram” mengikut anutan Sang Sahabat.


4.  Insan ”soleh” hanya diiktiraf oleh Allah bukan makhluk, jauh sekali oleh sahabat kita ini.  Sempitnya pemikiran beliau. Mungkin selepas soleh, beliau akan mengkategorikan orang itu sebagai "keramat” pula.  Wallahualam.


5.  ”Duniawi” juga dituntut oleh Yang Maha Esa selain daripada usaha menyediakan bekalan untuk ”akhirat”.  Teringin sangat saya berjumpa dengan sahabat ini untuk melihat betapa ”zuhudnya” beliau.


6. ”u tulis n isi blog dgn petikan yg maha dahsyat tp u sendiri tak baca”. anak ketam suruh jln lurus, u pulak jadi mak ketam, kelapan, amalan u sendiri kene perbetulkan, muhasabahlah diri sendiri, dan yang kesembilan, lu pikirlah sendiri........ Komen Babah: Ayat carca-marba ini perlu dijawab oleh Bujang Susah kerana ia bukan ditujukan kepada saya. Nadanya macam ada sesuatu yang tidak disukai oleh sahabat kita kepada Bujang Susah dan artikel saya dibelasah dengan semberono (maaf Bujang).


Kesimpulan:
Pada awalnya, respons saya kepada Bujang Susah adalah supaya beliau tidak melayani komen-komen seperti itu. Golongan seperti ini telah wujud sejak dari zaman Nabi s.a.w. lagi. Mereka senantiasa tidak senang dengan usaha kebaikan yang orang lain buat.  Bagi beliau, orang lain semuanya salah kecuali beliau.  Banyak kali juga saya bertemu orang-orang seperti ini dalam hidup saya, tetapi pada amnya mereka ini tidak lebih seperti ”tin kosong” dan sebahagiannya pula seperti ”lalang”.  Akhirul kalam, ingin saya tegaskan di sini, cerita ”Abang Mat” adalah ringkasan daripada cerita yang panjang lebar tentang hubungan kami.  Jika artikel itu ditulis berjela-jela, ramai pembaca semput membacanya atau terus mengabaikannya.  Matlamatnya satu, iaitu untuk menjadi iktibar kepada pembaca blog babah bahawa di luar sana pelbagai perkara yang di luar daya fikir kita boleh berlaku.  Bukan babah mahu mereka membanteras murtad (tugas ini harus dibebankan kepada Jabatan Agama - demi keselamatan) tetapi supaya mereka berwaspada dan memelihara diri dan keluarga daripada kesesatan.  Ini adalah berdasarkan firman Allah s.a.w. yang mafhumnya:


 "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan" (Tahrim 66:6)”.  



Apo nak dikato lai...



Read more...

17 December, 2009

Kawan Karibku Murtad


Pengalaman saya di bawah ini boleh dijadikan iktibar oleh kawan-kawan sempena  sambutan Maal Hijrah 1431 ini.



Saya mengenali Abang Mat lebih lima tahun yang lalu.  Kami merupakan rakan kongsi dalam kegiatan penterjemahan.  Abang Mat sememangnya cukup arif dan berpengalaman dalam bidang ini dan beliau amat dikenali dalam kalangan para penterjemah tanah air. Beliau merupakan penterjemah sepenuh masa dan bergantung hidup pada usaha yang agak "mewah" ini. Klik di sini jika kurang yakin.

Hubungan persahabatan kami berputik apabila saya memberi komen yang menghina hasil karya terjemahan beliau.  Cara begini biasa saya gunakan untuk mendapat perhatian seseorang.  Tetapi awas, anda perlu ada kehebatan untuk berbuat demikian.  Maksudnya, ada perlu cukup kekuatan dari segi ilmu dan jati diri sebelum menggunakan teknik "melampau" ini.

Bermula detik itu, kami selalu berhubung antara satu sama lain dan menjadi semakin akrab apabila kami mula berkongsi "projek".  Beliau kata (bukan saya kata) saya hebat dan berbakat dalam bidang penterjemahan, khususnya dalam laras perbankan dan kewangan. Saya tidak berasa begitu, sehingga suatu hari beliau tergetar-getar menelefon saya bertanyakan sama ada saya boleh membantu beliau menterjemah laporan tahunan sebuah syarikat swasta ternama. Katanya, tanpa saya, beliau akan menolak tawaran itu.  Wow, saya rasa cukup hebat! Itu satu motivasi  yang paling terkesan di jiwa saya.

Abang Mat memang baik.  Bertutur lembut dan teratur.  Kami sering ke masjid bersama-sama.  Semasa ibu saya meninggal dunia pada tahun 2006, beliau adalah antara kawan yang terawal muncul memberikan takziah dan mengiringi jenazah ibu ke tempat persemadian. Beliau sempat menyudahkan pembacaan Surah Yasin di atas kuburan ibu. Abang Mat memang prihatin dan peka.  Satu ketika saya menerima satu pesanan ringkas (SMS) daripada beliau berbunyi "Salam Din, saya baru memasukkan duit sebanyak RM3,000 ke dalam akaun awak.  Duit itu untuk anak awak yang akan masuk ke universiti tidak lama lagi, jangan guna untuk perkara lain".  Saya kaget, tetapi cuba berbuat selamba. SMS dibalas ringkas, "TQ bang".  Banyak lagi kebaikan beliau kepada saya yang tidak dapat disebutkan satu per satu di sini, takut nanti meleret-leret pula.

Awal tahun lepas, kawan rapat kami yang seorang lagi datang bertemu saya dan berbisik kepada saya, "Din, Abang Mat sudah keluar Islam.  Dia pesan suruh beritahu engkau. Dia tidak sanggup beritahu sendiri.  Bukan baharu, tetapi lama dulu.  Sejak tahun 1998 lagi.  Sekarang ini dia sudah pun menjadi Paderi. Setiap Ahad beri khutbah di Gereja". Saya terdiam. Lidah kelu. Otak buntu.  Masya-Allah...

Saya ambil telefon dan hantar SMS kepada kawan-kawan bergelar ustaz yang saya kenali untuk meminta pandangan mereka apa yang perlu saya buat.  Semuanya memberi respons "Putuskan hubungan".  Saya balas "Mana boleh ustaz.  Sayalah sekerat dua kawan dia yang Islam.  Yang lain-lain, China, India dan Mat Saleh. Nanti siapa nak bawa dia ke pangkal jalan".  Sekonyong-konyong Ustaz menarik balik fatwa, "Berkawanlah baik-baik Din.  Tetapi ingat, jangan kau terpesong pula".

Saya pulang ke rumah lalu mengambil buku Ahmed Deedat "The Choice, Islam and Christianity, Volume I"  yang saya beli beberapa tahun lalu dan saya tulis nota di dalamnya, "Abang Mat,  saya mohon abang baca buku ini dengan hati yang terbuka. Mungkin ia bermanfaat untuk abang.  Kita bersaudara bang, tetapi persaudaraan itu tidak seperti dahulu kerana kini ia menjadi janggal dan tidak semurni persaudaraan sesama Islam".



Sampai sekarang, buku bersama nota itu masih dalam simpanan saya kerana belum ada masa yang  paling sesuai untuk saya serahkan buku tersebut kepada beliau. Kami tidak pernah berbincang tentang perkara ini dalam setiap pertemuan dan beliau senantiasa mengelak untuk berbicara tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan agama.  Maal Hijrah 1431 ini, usia Abang Mat menjangkau 57 tahun.  Semoga Allah mengasihani beliau kembali dan melontarkan semula cahaya iman di lubuk hati Abang Mat....

Pesanan Babah: 
Abang Mat (bukan nama sebenar) murtad atas pengakuannya.  Tetapi sebahagian daripada kita tidak sedar betapa kita juga terdedah pada fenomena itu kerana kejahilan kita.  Ramai yang tergelincir akidah daripada landasan iman dan Islam, tanpa disedari, melalui pertuturan dan perbuatan. Justeru, awasilah perlakuan dan pertuturan. Teruskan memperdalam ilmu dan jadikan ucapan taubat sebagai wirid yang senantiasa bermain di bibir. Wallahualam.



Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami dan terimalah taubat kami...


Read more...

13 December, 2009

Sehari Selembar Benang 14


Dalam siri Selembar Benang kali ini, saya ingin mengulas serba sedikit tentang beberapa penggunaan bahasa Melayu di papan-papan tanda iklan yang terpampang di jalan-jalan raya sepanjang perjalanan saya ke utara tanah air baru-baru ini.  Saya memilih tiga iklan yang menarik untuk dijadikan contoh, seperti yang di bawah ini:

1. P1 Wimax: Rangkaian Broadband Wayarles Terpantas
Ulasan:
Dari segi penulisan, jika sesuatu perkataan itu masih belum lagi mempunyai istilah yang persis, perkataan itu boleh dieja mengikut ejaan bahasa sumber tetapi ditulis condong (italik).  Tetapi, jika perkataan tersebut telah mempunyai istilah yang mantap (diketahui umum) dan diiktiraf oleh DBP, maka istilah yang terdapat pada daftar istilah DBP perlulah diikuti.  Oleh itu, penggunaan perkataan broadband yang diitalikkan meskipun betul dari segi penulisan, istilah jalur lebar adalah lebih tepat digunakan. Namun, dari segi pengiklanan, hal-hal begini selalu diabaikan. Kononnya, penjimatan kata dapat menjimatkan ruang seterusnya dapat menjimatkan kos. Mengenai istilah wayarles pula, perkataan ini telah diiktiraf oleh DBP.  Istilah lain bagi wayarless ialah tanpa dawai bukan tanpa wayar.

2. MOA: Pitaya
Ulasan:
Istilah dragon fruit yang diguna pakai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) ialah Pitaya.  Istilah ini masih belum terdapat dalam Kamus Dewan atau daftar istilah pertanian.  Begitu juga dengan istilah buah naga, meskipun istilah ini telah lama digunakan sebagai nama Melayu bagi dragon fruit, tetapi hingga ke saat ini ia kekal sebagai nama julukan (bukan jolokan) sahaja.




3. Sharp: Tajam & Jelas
Ulasan:
Istilah sharp dalam laras foto ialah tajam (dalam fokus). Walau bagaimanapun, untuk iklan ini istilah tajam tidak sesuai digunakan kerana perkataan tajam perlu dikaitkan dengan fokus, seperti fokus yang tajam dan jelas bagi televisyen berjenama Sharp.  Tanpa perkataan fokus, iklan itu kelihatan janggal, melainkan syarikat tersebut ingin membuat gimik untuk mengaitkan tajam dengan pedang samurai yang dipegang oleh wanita Jepun berkimono yang terdapat pada iklan itu. Sekiranya wanita dan pedang samurai itu tidak termasuk dalam iklan papan tanda ini, slogan "tajam & jelas" mungkin perlu ditukar kepada "terang & jelas".




Sambungan Selembar Benang

Stesyen vs stesen
Ejaan Melayu yang betul bagi perkataan bahasa Inggeris station ialah stesen bukan stesyen.  Begitu juga dengan perkataan commission yang dieja komisen bukan komisyen (istilah lain: pesuruhjaya). Tetapi ejaan Melayu bagi istilah television ialah televisyen, manakala bagi istilah profession pula ialah profesion.

Tusyen vs tuisyen vs tiusyen
Ejaan bahasa Melayu yang betul bagi tuition ialah tuisyen, bukan tusyen atau tiusyen.  Tetapi bagi perkataan action, collection dan function, perkataan-perkataan tersebut diistilahkan dan dieja sebagai aksi, koleksi dan fungsi.  DBP tidak mengiktiraf istilah perkataan position dan corruption sebagai posisi dan korupsi. Begitu juga perkataan selection sebagai seleksi.  Istilah-istilah berkenaan diguna pakai secara meluas di Indonesia.  Di Malaysia istilah yang mantap bagi perkataan position dan corruption ialah kedudukan dan rasuah.


Babah "mengganas" dengan kamera baharu...

Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...